Rabu, 29 April 2009

Banjir kilat landa KK , lima hingga sepuluh tahun lagi

Tags


Lima hingga sepuluh tahun lagi, banjir kilat akan menjadi fenomena biasa bagi penduduk di bandaraya Kota Kinabalu.
"Jika tiada tindakan proaktif yang diambil untuk mengatasi masalah itu, banjir kilat akan menjadi perkara rutin di bandaraya Kota Kinabalu, kata Dekan Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Maklumat, UMS, Dr.Rosalam Haji Sarbatly.
"Adalah tidak mustahil Kota Kinabalu akan dilanda banjir kilat seperti di Kuala Lumpur jika tiada usaha dilakukan untuk mengelakkan perkara itu berlaku," katanya kepada Abd Rashid Rahman, sahabat saya dari Utusan Malaysia dalam satu interview.
Walaupun Kota Kinabalu terletak di pinggir laut adalah tidak mustahil ia boleh dilanda banjir kilat.
"Ini kerana pembangunan semakin pesat tetapi malangnya sistem perparitan tidak dirancang dengan betuk selain kawasan tadahan yang semakin kurang.
"Jadi apabila hujan turun dengan lebat , ia seolah-olah menyiram air di atas lantai berbanding menyiram air di atas karpet sebelum ini,' katanya.
Selain tidak mencukupi, sistem perparitan sedia ada juga sering tersumbat dan boleh mengakibatkan banjir kilat.
Selain itu, tindakan kontraktor binaan yang tidak memberikan keutamaan kepada pembinaan longkang dan kawasan bagi menyalurkan sisa kumbahan binaan menyebabkan banjir kilat mudah berlaku.
"Bila buat pembangunan dulu akan sebabkan pasir dan lumpur selepas pembinaan mengalir masuk ke dalam longkang dan sungai menyebabkan sungai semakin cetek dan risiko banjir meningkat," katanya.
Dalam pada itu Rosalam berkata, meskipun mengakui faktor perubahan cuaca dijadikan alasan penyumbang kepada banjir kilat, tetapi masih ada jalan penyelesaian bagi menangani masalah itu.
"Kita tahu kita tidak boleh mengubah perubahan cuaca yang berlaku tetapi kita mesti bersedia, maksudnya bila tahu kenaikan taburan hujan, kita sediakan langkah awal pencegahan seperti menyediakan longkang yang mencukupi," jelasnya.
Sementara itu katanya, antara usaha yang perlu dilakukan bagi mengatasi masalah itu ialah memastikan jumlah dan luas longkang yang ada mencukupi berdasarkan taburan hujan.
Tambahnya, longkang dan sungai sedia ada juga harus sentiasa dibersihkan selain semua kontraktor harus beretika dengan mematuhi segala garis panduan ditetapkan, tidak hanya mengutamakan keuntungan.