Isnin, 6 April 2009

Catatan dari blog Hasyuda Abadi

Tags

Kata **Bang Mat: Kita perlu berani...
dipetik dari blog http://hasyuda-abadi.blogspot.com


Dalam perjalanan ke Kota Belud untuk meraikan majlis perkahwinan adik seorang sahabat di Kampung Tamau Kota Belud pagi hari ini agak jarang saya memancarkan sesuatu yang berbuku di kalbu. Barangkali bersama saya kali ini seorang 'bapa' dan juga 'abang' yang sentiasa meriakkan pengamatannya sebagai seorang ayah dan seorang abang kepada insan-insan yang menghargainya sedemikian. Memang Bang Mat 'gila-gila' orangnya, lucu, terlalu terbuka ketika menyatakan sesuatu mengenai realiti gender seumpama kami yang masing-masing menyimpan rahsia.

Meskipun tersesat seketika kereta kecil saya berjaya juga mengesan jalan masuk ke destinasi yang dituju iaitu Kampung Tamau. Kami disambut oleh Mabulmaddin Haji Shaiddin sebagai 'ketua projek' majlis. Kelihatan sudah agak ramai warga desa mengerumuni khemah jamuan termasuklah wakil rakyat kawasan Tempasuk Yang Berhormat Datuk Haji Musbah Haji Jamli.

Kampung Tamau didiami masyarakat Iranun. Ramai sahabat saya di sana dan yang paling rapat tentu sahaja keluarga Tuan Haji Shaiddin terutama sekali anak-anaknya Abd Naddin, Mabulmaddin dan Dayang Norkanah (Oka De). Istimewanya pakcik ini kerana semua nama anak-anak lelakinya berakhir dengan 'din'. Saya suka dengan cara hidup masyarakat Iranun yang amat kuat dengan adat dan tradisi. Walaupun tidak faham, sesungguhnya bahasa sukuan etnik ini cukup menguja, lain dari yang lain. Nilai sasteranya amat tinggi.

Di sana bertemulah sahabat-sahabat kami: Jasni Matlani dan isteri, Ailin Nor, Cikgu Ramli Jusoh dan isteri, Matnor Makbul dan Shahirul. Kami bertemu juga dengan isteri Abd Naddin dan 3 anaknya yang sejak lahir belum pernah berjumpa kerana mereka tinggal di Tawau. Selalu saya membayangkan bagaimanakah intimnya keluarga sahabat kami ini walaupun berada jauh, maksudnya isteri dan anak-anak di Tawau sedangkan dirinya di Kota Kinabalu lantaran komitmen kerja masing-masing. Setidak-tidaknya mereka berdua menjadi contoh yang baik, pada saya begitu.

Tidak sah tanpa bercakap tentang dunia kami, dunia aksara, bahasa dan sastera. Tidak sah juga jika tidak memperkatakan aktiviti yang amat wajar kami lakukan. Memang terbersit idea melaksanakan bimbingan penulis yang lebih teratur dan berobjektif, terarah dan benar-benar bermakna. Bimbingan yang dilakukan ini tidak seperti bengkel-bengkel biasa yang lebih menumpukan kepada kelompok yang ramai, walaupun barangkali pernah berhasil menerbitkan antologi selepas berbengkel tetapi selepas itu apakah para penulis yang dididik itu terus menulis? Apakah ada susulan atau pun mereka meneruskan rujukan dan bimbingan kepada mentor mereka? Kami berharap pihak DBP Sabah dapat memberikan sokongan. Insyaallah cadangan ini akan diperincikan lagi.

Beberapa hari lepas saya menulis tentang majalah Wadah. Bila menyebut tentang majalah Wadah, memang wajar sekali perkara ini dibangkitkan, diketengahkan kepada umum kerana majalah itu memberi impak yang amat berguna kepada masyarakat yang inginkan bahan-bahan sastera tempatan. Walaupun masyarkat tidak berhak untuk mencadangkan agar perlunya perubahan dalam sesebuah organisasi tetapi kami fikir tidak perlulah 'sudah siang masih bersuluh'. Seperti kata orang apa juga yang dilakukan amat memerlukan sikap dan tanggungjawab terhadap amanah yang diberikan.

Jika tidak mampu sewajarnya 'angkat tangan' bukannya 'lepas tangan' dalam erti kata menidakkan keperluan orang lain. Tentulah sesuatu yang tidak masuk di akal, mengapa tidak satu keluaran pun mampu diterbitkan; jika tidak dapat empat kali buatlah 2 kali atau sekurang-kurang setahun satu pun rasanya memadai. Inilah menjadi persoalan kami ketika berbual-bual sambil menanti pengantin turun dan menaiki usungan pengantin (sebagai salah satu adat masyarakat Irranun).Tahun 2009 tentu menjanjikan sesuatu terhadap aktiviti sastera, mudah-mudahan usaha yang kami lakukan mendapat sokongan daripada pihak-pihak yang sepatutnya atau selayaknya membantu.Pihak pemerintah pusat dan negeri Sabah harus mengambil perhatian secara bulat dan teguh, tanpa berbelah bahagi. Apalah sangat dengan sejumlah peruntukan yang diperlukan yang rasanya tidak membebankan.

Perjalanan hari ini sebenarnya membuatkan saya menerima banyak masukan pedoman dan dorongan terutama sekali daripada Bang Mat. Bercerita tentang kehidupan yang dia lalui dan yang pernah saya lalui. Pertembungan peristiwa kami diperkukuhkan oleh pengalamannya yang memang lebih 'bapa' di kalangan sahabat-sahabat yang akrab. Bila saya berkata bagaimana sekiranya kita menongkah arus, Bang Mat segera mengingat agar lebih berhati-hati khuatir akan tenggelam sekiranya tidak bersiap menghadapi cabaran arus yang deras. Begitu juga jika kita seperti rumput lalang hanya patuh kepada arah angin khuatir menjadi mangsa tusukan lalang yang ada kalanya mengenakan kealpaan kita. Kita tidak perlu gentar untuk melalui perjalanan kehidupan apabila di sana akan menzahirkan pengalaman dan juga kenangan. Mau atau tidak itulah realiti kehidupan bagi insan yang waras. Kenangan itu peristiwa yang sentiasa membuatkan kita ambil peduli tentang hari ini. Kita perlu berani, kata Bang Mat.

**Di Sabah, nama Mat Konggo sudah begitu dikenali sebagai Raja Lawak, aktivitis teater, penulis skrip drama radio, drama pentas dan antara insan seni di Sabah yang paling awal mendominasikan telemovie sebagai mata pencarian. Nama sebenarnya Mohamed Haji Salleh kelahiran Johor tetapi bermastutin di Sabah sejak berusia 12 tahun. Beliau berkahwin dengan anak pengurus estet getah di Membakut warga Australia. Bang Mat gelaran mesra kami merupakan insan seni yang amat komited dan berkebolehan khusus dalam dunia seni.
Ditulis pada 31 Januari 2009, oleh Hasyuda Abadi