Ahad, 5 April 2009

DBKK digesa tangguh program setinggan sifar

Tags


DBKK DIGESA TANGGUH PROGRAM SETINGGAN SIFAR

KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) digesa menangguhkan program setinggan sifar menjelang 2010 bagi mengkaji semula struktur dan matlamat utama yang digariskan dalam program itu, kata Ketua UMNO Bahagian Sepanggar, Jumat Haji Idris.
Beliau berkata, langkah untuk menangguhkan pelaksanaan program itu perlu dibuat memandangkan keadaan ekonomi gawat yang menekan dan mencengkam rakyat pada masa kini.
Katanya, UMNO Bahagian Sepanggar sudah berkali-kali meminta kajian semula terhadap dasar setinggan sifar yang dilaksanakan DBKK.
Jumat juga berkata, pihaknya juga meminta Ketua Menteri membuat kajian semula terhadap isu ini bagi mengekalkan kuasa politik orang Melayu dalam bandar.
Beliau juga mempersoalkan tindakan DBKK merobohkan rumah di Kampung Delima kerana DBKK tidak mempunyai kuasa terhadap isu tanah.
"Tindakan merobohkan rumah di kampung Delima Melayu perlu ditangguhkan kerana tiada keperluan mendadak untuk membangunkan tapak itu selain tiada perancangan mantap ke atas usaha menyusun semula setinggan melayu bandar oleh pihak kerajaan," katanya kepada Utusan Borneo, di sini kelmarin.
"Apa yang berlaku ialah satu gerakan untuk mengisi flat-flat yang kosong kerana lokasinya yang jauh dari keperluan penduduk setinggan. Maka usaha memaksa terpaksa dilakukan untuk mengelak pembaziran wang kerajaan," katanya.
"Saya tahu banyak pihak yang berminat ke atas tanah di Kampung Delima untuk tujuan komersil dengan memperalatkan dasar DBKK," katanya sambil menambah, dasar penempatan semula setinggan ke Tuaran amat jahil kerana walaupun rumah mencukupi tetapi bekalan air tidak berupaya menampung ramai penduduk.
"DBKK gagal mengawal rumah setinggan kerana rumah-rumah didirikan sudah lama. Kenapa tidak cegah sebelum parah, ini jelas menunjukkan DBKK tidak mempunyai perancangan dan Mayor Bandaraya harus bertanggungjawab dan meletak jawatan kerana menyusahkan rakyat dalam keadaan ekonomi gawat," katanya.
"Saya sudah bangkitkan dalam Mesyuarat Perhubungan UMNO Negeri dan Ketua Menteri telah mengarahkan menteri berkenaan mengkaji semula dasar itu. Tetapi DBKK seolah-olah tidak pandang langsung kehendak rakyat," katanya.
Beliau juga mendakwa, DBKK bertindak merobohkan perkampungan setinggan tempatan dan membutakan mata terhadap setinggan asing.
Katanya, permohonan untuk mewujudkan perkampungan Delima Melayu telah dibuat pada tahun 1995 ketika Tun Sakaran Dandai menjadi Ketua Menteri dan permohonan itu diluluskan pada prinsipnya.
Oleh sebab itu, penduduk membuat perumahan di Kampung Delima tetapi beliau mempersoalkan mengapa hanya pada tahun ini, permohonan tersebut dibatalkan tanpa sebab.
Katanya, UMNO Sepanggar sudah meminta DBKK mengkaji semula dasar setinggan sifar dengan menangguhkan tindakan meroboh rumah setinggan di Kampung Bakau dan kampung Delima tetapi mereka diberitahu bahawa arahan itu datang daripada pejabat Ketua Menteri.
"JIka ini kehendak kerajaan, sudah tentu UMNO dan BN akan menghadapi jalan sukar untuk menebus kembali Parlimen Sepanggar daripada tangan SAPP yang kini berada di pihak pembangkang.
"Perdana Menteri kita yang baru, Datuk Seri Najib Tun Razak berjanji bahawa perubahan akan dibuat iaitu parti menguasai kerajaan dan kakitangan kerajaan mesti melaksanakan kehendak parti yang memerintah.
"Tetapi di Sabah, walaupun BN yang berkuasa, pegawai kerajaan lebih mengikut emosi dan telunjuk pembangkang. Mentaliti pegawai seolah-olah mentaliti pembangkang dan tidak menghormati kehendak parti yang memerintah," katanya.
Katanya, sikap pegawai kerajaan yang merancang pembinaan rumah-rumah kos rendah ini juga dilihat tidak memikirkan aspek keseimbangan suku kaum di bandar.
Sebenarnya pembinaan pangsapuri oleh JPN atau LPPB tidak dirancang dari sudut polarisasi kaum khususnya bumiputera bandar yang miskin.
"Kebanyakan lokasi rumah di bina di pinggi bandar kerana kos tanah yang murah dan menguntungkan syarikat yang mengemukakan cadangan," katanya.
Sebagai contoh, projek Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) di Kionsom terpaksa dibatalkan kerana tiada pembeli yang berminat kerana lokasinya yang jauh dari bandar.
Kelemahan ketara apabila para nelayan yang dipindah jauh dari sungai sedangkan flat Telipok Ria terletak 15 kilometer dari Sungai Menggatal. Sungai terdekat dari flat ialah Sungai Mengkabong.
"UMNO Sepanggar melihat usaha ini semacam menjejaskan kekuatan UMNO di Sepanggar apabila ahli-ahlinya dipindah ke daerah Tuaran.
Sementara itu, penghuni flat Telipok Ria sering mengadu ketiadaan air.Kos sara hidup meningkat dengan mendadak terutamanya kos bas sekolah yang menyusahkan rakyat dalam keadaan ekonomi yang gawat.

2 comments

....Tentang setinggan...saya berpendapat, 'sesuatu' perlu dilakukan. Bukan hanya menghantar mereka ke sudut terpencil tetapi sesuatu perlu dilakukan. Sesuatu yang baru, yang tidak menyusahkan rakyat; yang ditimbang dengan akal, bukan ditimbang dengan berisi atau tidak kocek si polan atau si polan. Sang bijak pandai wajar memerah otak, memikir sedalam-dalamnya. Hutan batu tidak akan bermakna jika hanya diisi dengan jiwa yang lesu, yang hilang percaya akibat dikorbankan demi seraut wajah yang namanya kemajuan.

Mendengar mahligai hendak diradu
Air mata mengalir membasahi kalbu
Khabar dibawa lewat hembusan bayu
Ke mana hendak dituju
Tika diri lemas dihimpit waktu.

apabila diri ini masuk dunia penyiasatan... ambillah isu kg delima yang sudah lama... setelah turun padang tengok keadaan, rasa kesian pun ada dngan penduduk ... sedangkan kg pulau penampang, suang parai , sama2x wujud setelah mereka berpindah randah akibat penubuhan UMS tahun 1994 ... permohonan kemudahan dimulakan tahun 1995 ,tapi sampai sekarang hanya Kg Delima masih bukan gajer kerajaan... tapi tidak ada satu pun, usaha untuk bina penempatan untuk mereka,sekiranya kg delima dirobohkan ... sekdar pendapat :) ..apapaun terima kasih atas info kamu admin, dari sini saya dapat tambahkan ia masuk dalam data maklumat saya :)