Jumaat, 24 April 2009

Dr.Mohd Puad Zarkasih dan kisahnya

Tags

Dr.Mohd Puad Zarkasih, Timbalan Menteri Pelajaran yang baru mempunyai cerita menarik dalam perjalanannya menjiwai dan memahami permasalahan pendidikan di negeri Sabah.

"Saya telah melawat 14 buah sekolah di Sandakan,Kinabatangan,Lahad Datu,Kunak dan Semporna dan mendapati masih banyak sekolah di luar bandar yang memerlukan kemudahan asas,"katanya yang baru dilantik menjawat jawatan itu kira-kira 10 hari yang lalu.

Menurutnya, beliau telah melawat sekolah di Elopura, di Sukau, di Pulau Bum-Bum di Kampung Abai dan banyak lagi sekolah.

Ketika melawat sekolah-sekolah luar bandar itu, kata Dr.Mohd Puad, beliau diberitahu ada guru yang terpaksa menggunakan beg sebagai bantal untuk tidur.

"Ada guru yang tidur di lantai dengan atap yang berlobang-lobang,tak ada bekalan elektrik, tak ada bekalan air dan sebagainya. Ini semuanya merupakan cabaran besar dalam dunia pendidikan di negara ini," katanya.

Malahan ada sekolah yang makmal sainsnya tidak dapat digunakan kerana tak ada bekalan elektrik. Inilah antara permasalahan yang dihadapi sekolah-sekolah di luar bandar.

"Malahan, saya diberitahu, ada guru yang terpaksa memanjat pokok semata-mata untuk dapatkan talian untuk menelefon suami atau isterinya," katanya dalam satu Majlis Muhibbah bersama warga pendidik di ibu negeri malam kelmarin.

"Kalau dulu saya sering mengkritik guru dan kementerian Pelajaran mengenai isu-isu pelajaran tetapi kini saya insaf mengenang betapa sukarnya kehidupan guru di luar bandar," katanya yang sering membahaskan isu-isu pelajaran ketika berbahas di Dewan Rakyat.

Katanya, kerajaan akan terus berusaha untuk memberikan persekitaran dan suasana yang kondusif untuk melahirkan pelajar dan mutu pelajar yang berkualiti.

Beliau juga berkata, golongan pelajar boleh menjadikan angkasawan Sheikh Muszafar Shah sebagai idola atau role model untuk mereka berjaya.

"Malahan kejayaan seorang pelajar kita, Sahir bin Fadil yang mendapat Anugerah Emas di universiti di Amerika wajar dijadikan sebagai contoh bahawa pelajar kita juga mampu berjaya walau dimana mereka berada," katanya yang juga Ahli Parlimen Batu Pahat.
Menurutnya, pelajar-pelajar luar bandar di Sabah juga ramai yang telah mencapai kejayaan malahan ada di antara mereka mampu menjejakan kaki di universiti terkenal seperti Cambridge.

Kerajaan akan terus berusaha untuk merapatkan jurang pendidikan di bandar dan luar bandar dan beliau akan menjadikan perjuangan pendidikan sebagai agenda utama perjuangannya, katanya sambil meminta golongan pemimpin untuk sentiasa mengamalkan politik hati nurani.

"Ini merupakan tanggungjawab dan cabaran yang cukup berat dan tanggungjawab yang besar untuk meningkatkan kualiti pendidikan di negara ini," katanya.

"Minggu depan saya akan ke Baram dan Bario dan tidur di rumah panjang untuk menjiwai dan memahami cabaran yang dihadapi oleh golongan pendidik," katanya. Selepas itu, beliau akan ke perkampungan orang asli pula, supaya beliau dapat membantu meningkatkan mutu pendidikan di negara ini.

Turut hadir dalam majlis bersama warga pendidik Kinbalu itu ialah Pengarah Pelajaran Sabah, Datuk Normah Gagoh, Timbalan Pengarah Pelajaran, Dr.Haji Muhidin Yusin, Pegawai Pelajaran Gabungan Kota Kinabalu, Dr.Mohd Kassim Haji Ibrahim dan pegawai-pegawai pendidikan di ibu negeri.