Khamis, 30 April 2009

Kini hati tak aman di kampung Sri Aman

Tags

Kampung Sri Aman merupakan sebuah perkampungan yang aman di Lahad Datu. Penduduk kampung yang terletak kira-kira 21 km dari bandar itu menikmati kehidupan yang aman dan tenteram, setidak-tidaknya sehingga penghujung tahun lalu.
Kedamaian yang dinikmati penduduk Kampung Sri Aman Bumiputera Peringkat Dua terganggu apabila kampung mereka dikatakan berada dalam kawasan hutan simpan.
"Kami dilarang memetik buah di kebun kami sendiri.," kata Ibrahim Ismail. Penduduk kampung menanam buah di atas tanah seluas 20 lot. "Satu lot luasnya tiga ekar, jadi kesemuanya 60 ekar," katanya.
Dari situlah mereka mendapati kebahagian yang mereka kecapi direnggut secara tiba-tiba.
"Kami tidak dibenarkan memetik buah kelapa sawit dan buah-buahan yang lain di dalam kawasan kebun kami kerana kami dikatakan menceroboh kawasan hutan simpan.".
Bagaimana mereka boleh mengatakan kawasan ini hutan simpan sedangkan kami sudah bermastautin di kampung ini sejak 27 tahun lalu.
"Kami telah memohon tanah ini sejak 1982, tetapi sehingga kini belum ada penyelesaian yang muktamad.
Katanya, penduduk kampung telah mendaftarkan permohinan tanah mereka pada tahun 1982 dengan nombor PT 8211011 seluas 1,000 ekar untuk tujuan perumahan dan bercucuk tanam.
"Sejak itu kami mula menanam sawit, menanam mangga, menanam apa saja jenis buah-buahan yang boleh hidup untuk penghidupan kami,"
Tiba-tiba pihak berkuasa datang dan melarang kami memetik buah-buah dari pohon yang kami tanam.
"Ada signboard di larang masuk di pasang di kawasan kebun kami.
"Bagaimana kami dilarang masuk sedangkan kami sudah berada di dalam," katanya.
Ibrahim berkata, Kampung itu kini didiami kira-kira 1,200 penduduk dan kini terdapat 303 buah rumah di kawasan yang diterokai seluas 750 ekar.
"Pada mulanya penduduk kampung dimaklumkan bahawa Kerajaan sedang dalam proses pembubaran hutan simpan untuk dijadikan tanah kerajaan pada tahun 1980," katanya menceritakan asal muasal bagaimana kampung itu diteroka.
Beliau mengakui bahawa ketika mereka membuat permohonan pada tahun 1982, mereka dimaklumkan bahawa tanah perkampungan yang dicadangkan masih dalam status Hutan Simpan Ulu Segama.
"Tetapi pada ketika itu ada ura-ura mengenai pembubaran status Hutan Simpan Ulu Segama.
Penduduk kampung telah mengadakan mesyuarat pada tahun 1984 dan mencapai keputusan untuk merujuk perkara itu kepada Setiausaha Hasil Bumi untuk mendapat kepastian mengenai status kawasan yang telah dibubarkan.
Bagaimanapun, permasalahan mula timbul apabila Jabatan Hutan mula menguatkuasakan enakmen Hutan pada tahun 1988 dengan bertindak meroboh dan membakar rumah penduduk serta merampas segala peralatan yang ada kerana dikatakan kawasan itu terletak dalam kawasan Hutan Simpan Ulu Segama.
Sejak itu penduduk telah membuat rayuan demi rayuan kepada pemimpin-pemimpin termasuk wakil-wakil rakyat yang memberikan perhatian dan harapan penduduk kampung ke arah penyelesaian tanah itu.
Katanya, penduduk merayu kerajaan supaya mengeluarkan tapak tanah Kampung Sri Aman Bumiputera Peringkat Dua Lahad Datu daripada kawasan Hutan Simpan.
"Kami juga memohon kerajaan supaya mewartakan tanah itu sebagai tanah perkampungan bumiputera untuk kepentingan rakyat khususnya penduduk kampung Sri Aman Bumiputera Peringkat Dua," katanya.
Ibrahim merayu kerajaan supaya memberikan hati kami rasa aman dengan mewartakan Kampung Sri Aman Bumiputera Peringkat Dua Lahad Datu supaya ia dapat ditempati dengan aman sesuai dengan namanya Sri Aman.