Monday, April 6, 2009

Mataku dimasuki tekukur

Mataku dimasuki tekukur! (Kiapulingan aku sa takukur)
Bombastik bunyinya. Bagaimana seekor tekukur boleh masuk ke dalam mata? Tetapi itulah antara perkataan yang menarik waktu kanak-kanak dahulu ketika saya mampir di kedai kopi di hujung kampung kami melihat orang `bpapawala'". Bpapawala dalam bahasa Iranun maksudnya perbuatan sekumpulan orang yang bertegang urat menegakkan benang basah masing-masing.
Bpapawala berasal dari kata akar pawal ertinya bantah. Daripada perkataan pawal itu, terbitlah perkataan bpawala' ertinya berbantahan. Tapawal iaitu sikap suka membantah atau suka berhujah walaupun hujah itu tidak berasas, tidak masuk akal atau tidak berjejak di bumi nyata. Tapawal membawa konotasi negatif. Ia dikatakan antara sikap yang membawa kemunduran kepada masyarakat Iranun dan masyarakat luar bandar.Kerana asyik berbalah, maka akhirnya mereka ketinggalan.
Pernah satu ketika saya mendengar topik yang dibincangkan hangat sekali. Ramai orang memenuhi kedai kopi itu.Riuh sekali kerana terdapat dua orang yang sedang bpawala yang menegakkan pendapat masing-masing.Topik yang hangat dibincangkan itu bukanlah bagaimana untuk menjadikan Kota Belud sebagai kawasan jelapang padi atau bagaimana meningkatkan pendapatan nelayan dan petani tetapi sebaliknya ialah siapa yang betul antara British dan Argentina dalam pertikaian merebut kepulauan Falkland.
Entah apa sangkut pautnya kepulauan falkland itu dengan kehidupan kami sehingga ia menjadi topik pertentangan hangat antara orang-orang yang tapawal atau lampawi di kampung kami.

1 comment:

Pena Alam said...

aduh..betul-betul, mata ku dimasuki tekukur abang nad, membaca tulisan mu.. hebatnya penduduk kampung pun tahu, apa adanya perebutan kepulauan fakland di antara dua kuasa itu. terfikir pula macam mana sesuatu bpapawala itu berakhir?..hehehe..