Saturday, April 4, 2009

Semoga Najib mengikuti jejak langkah ayahnya

Banyak perkara menarik yang berlaku sejak dua tiga hari ini. Utusan Borneo-juga akhbar akhbar lain memaparkan mengenai proses peralihan kuasa di antara Pak Lah dan Datuk Seri Najib Tun Razak. Kami juga larut dalam kesibukan menanyai orang ramai pendapat mereka terhadap Perdana Menteri Kita yang baru itu. Semoga beliau boleh mengikuti jejak langkah bapanya, kata Haji Mastun Abas yang turut mencipta sajak berjudul `Selamat Datang' untuk anak bapa pembangunan itu.

Saya memang agak tertarik dengan ucapan penggulungan Datuk Najib ketika hari terakhir persidangan UMNO di PWTC. Saya gembira kerana dalam ucapannya itu mengajak dua negarawan Tun Dr.M dan Pak Lah duduk semeja demi penyatuan melayu. Juga dengan pembaharuan-pembaharuan dalam UMNO yang dicadangkannya. Saya gembira kerana beliau membebaskan 13 tahanan ISA dan kalau boleh semua tahanan ISA itu dibebaskan atau dibicarakan di mahkamah.
Apabila beliau menarik balik larangan menggantung permit Suara Keadilan dan Harakah, saya berpendapat ia dapat melonjakkan imej Datuk Najib. Kita berharap beliau akan terus melakukan pembaharuan-pembaharuan untuk memenangi hati rakyat.
Pada pandangan saya, BN memang agak sukar menang di Bukit Gantang dan di Bukit Selambau tetapi peluang di Batang Ai cerah sedikit meskipun khabarnya calon BN disana kurang popular dibandingkan Jawah Gerang, yang lima kali menjadi MP Lubok Antu.
Rakyat menaruh harapan kepada Datuk Najib, Tan Sri Muhyiddin, Dr.Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Hisham, Datuk Mohd.Shafie Afdal dan barisan AMT UMNO untuk dapat mentadbir dengan baik, berkhidmat kepada rakyat dan dengan itu ia dapat mengurus perasaan jutaan rakyat Malaysia.
Di tengah kesibukan itu, saya masih berhempas pulas untuk menyiapkan artikel mengenai kehidupan seorang diplomat, temuramah dengan seorang pemain utama dalam industri padi,artikel mengenai seorang penyelidik yang menemui antikanser dalam tumbuhan halia hutan dan kini saya sedang memujuk seorang penyelam skuba untuk menceritakan pengalamannya di bawah lautan.

Larut dalam kesibukan membuatkan kita larut dalam kesendirian.
Ketika menelefon ke Tawau, anak saya menyatakan bahawa hari ini dia tidak gembira.
"Iyan tak happy?"
"Mengapa iyan tak happy?"
"Iyan ingin betul ke sekolah malam ini, untuk ikut sembahyang jemaah," kata Sitti Mehran yang kini dalam tahun tiga di SJK (C) Yuk Chin.
"Tapi mama tak sihat. Lagipun Iyan belum pandai berwuduk", katanya.
"Tapi kan kita pernah solat sama-sama?
"Tapi sembahyang iyan tak sempurna".
"Tapi mengapa iyan tak gembira?"
"Kalau tak sembahyang, apa gunanya".
Saya terharu.
Terdiam.Tak dapat berkata-kata.

2 comments:

Pena Alam said...

abg nad,

sama-samalah berdoa moga negara kita terus aman, saya hanya minat keamanan, kesejahteraan dan cinta sejati..tak tahu lah najib akan ikut jejak langkah ayahnya atau lebih baik atau apa, tak mengapalah, yang pastinya anak manis tiga tahun itu benar mengikut jejak ayahnya, insyaalah...

myzatulakhmajanil said...

Kerana sentiasa dihadapkan dengan bahan politik setiap hari, malas mau campuri dan tak mengapakan andai ku bersikap 'berkecuali', untuk memerhati apa yang sedang berlaku. Antara retorik peralihan Najib dan gadis kecil yang kecewa kerana tidak gembira, saya lebih tertanya dengan aduh Iyan kepada ayahnya, walaupun perkara kecil namun ternyata amat bersisa dalam hati kecil ini. Kadang-kadang budak kecil pun boleh buat kita berfikir sejenak.