Ahad, 17 Mei 2009

Catatan Ayer Keroh 1

Tags

Dari Ayer Keroh, kami berangkat ke Kuala Lumpur kira-kira jam 1.15 petang. Selama beberapa hari di Melaka, bandaraya bersejarah itu memang banyak berubah. Saya sendiri sudah 14 tahun tidak menjejak kaki ke D Village iaitu sejak Hari Sastera diadakan di negeri Hang Tuah itu pada tahun 1995. Saya teringat dan terhutang budi kepada arwah Dr.Haji Othman Puteh, yang dengan rela hati membawa saya ke Melaka waktu itu.
dan setelah 14 tahun, saya kembali lagi ke Melaka, tetapi kali ini menghadiri Konvensyen Belia dan Hari Belia Kebangsaan juga fiesta sukan yang diadakan di MITC. Melaka negeri yang kecil tetapi tinggi kedudukannya dalam peta negara, sama ada dari segi pelancongan, budaya, sejarah, sastera, apatah lagi belia. Melaka saya kira negeri yang berada paling terdepaan sekali.
Banyak pengalaman di sana, memang, tetapi apa yang paling mengesankan ialah pengalaman menghadiri Hari Belia, ketika Usia saya sendiri di penghujung usia belia. Terima kasih kepada Majlis Belia Sabah (MBS) terutama kepada Presidennya, sdr Mustapha Haji Sakmud yang sudi menjemput saya untuk menyertai kontinjen Sabah daripada 14 hingga 18 Mei. Juga ketua kontinjen Sdr.Kevin TP Lim, Timbalan Presiden MBS.
Di Melaka saya terjumpa dengan Nurul Najiha Kamaludin, jurufoto yang sedang praktikal di Melaka Hari Ini. Bapanya Ustaz Kamaludin manakala ibunya Ustazah Misiah pernah bertugas di Sabah, dan malah najiha tujuh beradik semuanya dilahirkan di Sabah. Dan tidak hairanlah walaupun orang Melaka, tetapi ikatan dengan Sabah sangat kuat malah masih boleh bercakap slang Sabah.
Juga terjumpa dengan Farina Pudian, anak Kampung Kulambai yang kini bertugas di Jabatan Belia dan Sukan Melaka. Bila bertemu rakan se daerah, amat menyeronokkan sekali.

Hari ini kami sudah berada di Cititel Express Jalan Tuanku Abdul Rahman. Di luar hujan. Petang tadi saya sempat ke kedai buku yang banyak menjual buku dari Jakarta di Wisma Yakin, untuk membeli beberapa buah buku Saya sempat membeli buku karangan Prof. Dr.Azyumardi Azra. KH Mustofa Bisri, Orhan pamuk, esei mengenai Cak Nur dan beberapa buah buku lagi, yang apaboleh buat, walaupun mahal terpaaksa dibeli kerana maklumat dan ilmunya dapat dimanfaatkan.
Sempat juga berjumpa dengan Ina Indah dan keluarga, dan kami sempat juga minum di Kampung Baru. Esok kebetulan hari Isnin. Flight kami 9.50 malam dari KLIA dan tiba di KK sekitar jam 12.00 malam. Tidak sabar-sabar lagi pulang untuk memposting beberapa cerita dalam blog. Saya akan mencatatnya kemudian.