Rabu, 20 Mei 2009

Catatan Ayer Keroh 3- Sekitar perasmian Hari Belia

Tags

Dewan Konvensyen MITC dipenuhi belia dari seluruh negara sejak jam 2.00 petang. Tan Sri Muhyiddin Yasin, Timbalan Perdana Menteri dijadual tiba jam 3.3o petang. Perhimpunan Hari Belia Kebangsaan itu berlangsung dengan meriah. Sabah, kalau tak silap menghantar peserta kontinjen yang paling ramai iaitu 122 orang.

Hari itu 15 Mei 2009. Ayer Keroh menyaksikan perhimpunan Hari Belia Kebangsaan yang terbesar, yang pernah diadakan. Belia yang hadir dianggarkan antara 10,000 hingga 15,000 orang. Dewan riuh rendah dengan kerenah belia. Komitmen yang ditunjukkan oleh Kerajaan Negeri Melaka dibawah pimpinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Mohd.Ali Rustam terhadap pembangunan belia amat mengkagumkan. Beliau sendiri merupakan seorang pemimpin belia, yang diiktiraf sehingga ke peringkat antarabangsa.

Hari Belia itu dianjurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan dan Majlis Belia Malaysia. Presiden MBM, Datuk Shamsul Nasarah, seorang pemimpin belia yang berwibawa mampu memimpin belia menjadi salah satu tonggak penting yang tidak harus diketepikan dari arus pembangunan negara.

Belia Malaysia dari Sabah nampak bersemangat dibawah pimpinan Ketua Kontinjen Saudara Kevin Lim. Presiden MBS.Mustapha Haji Sakmud yang juga Exco MBM pusat sejak awal lagi sudah tiba. Saya turut berbangga kerana kami turut dibekalkan baju korporat MBS. Terasa gah dengan lambang MBS dan logo negeri Sabah.

Saya sengaja duduk di kerusi media yang disediakan, yang terletak betul-betul berdekatan laluan orang ramai. Saya berharap dapat bertemu rakan-rakan di Melaka. Saya mencari wajah Amirullah Andi Nur,Ketua Biro Berita Harian Melaka tetapi tak nampak. Saya sempat berkenalan dengan wartawan Nanyang Siang Pau, Leong. Juga wartawan Metro. Dan paling menarik ialah dengan Nurul Najiha Kamaludin, pelatih UiTM yang kini praktikal di Melaka Hari Ini. Rupanya beliau mempunyai ingatan sentimental mengenai negeri Sabah. Kebetulan Nurul dilahirkan di Sabah, begitu juga dengan kesemua adik beradiknya. Mereka tujuh orang semuanya. Ibu bapanya, ibunya berasal dari Melaka sementara ayahnya dari Johor, kalau tak silap bertemu jodoh di Kota Kinabalu.Malah Nurul dengan fasih masih boleh menggunakan bahasa Melayu Sabah.
Selepas upacara perasmian itu, saya pulang agak awal ke Hotel kerana ingin mencari pengecaj hand phone. Kebetulan hand phone kehabisan caj ditambah pula keypadnya rosak.Jadi tidaklah dapat berhubung dengan rakan-rakan. Nasib baik dapat pinjam daripada mr.Tan, kakitangan KKBS.
Jam 9.30 malam, saya ke berjalan kaki ke Mydin kerana perut berasa lapar. Selepas makan tilapia goreng, saya mencari pengecaj, yang malangnya kehabisan stok.
Jika pergi saya berjalan kaki, waktu pulang pun saya berjalan kaki. Ini mungkin kerana saya merasa masih belia, walaupun usia berada di penghujung usia belia.