Sunday, May 3, 2009

Pendengar di Wilayah Utara Sabah mahu Kudat FM

Tawau FM dan Sandakan FM sudah lama berkumandang di udara. Dan yang terbaru ialah Keningau FM.Bila agaknya Kudat FM akan diwujudkan, kata seorang pendengar radio dari Kudat Sabah melalui emelnya sjapdin@yahoo.com.
Katanya, Peminat dan pendengar radio di wilayah utara Sabah meliputi Kudat, Pulau Banggi, Pitas dan Kota Marudu masih menaruh harapan kepada kerajaan untuk mewujudkan stesen radio Kudat FM.
"Daerah Kudat saja, kalau tak silap saya penduduknya sekitar 70,000 orang. Jumlahnya mungkin berlipat ganda jika dicampurkan dengan bilangan penduduk Pitas dan Kota Marudu," kata Japdin Shaiddin dari Kudat.
"Pada pendapat saya, wilayah utara Sabah layak diberi kemudahan stesen radio sendiri supaya maklumat, informasi terkini mengenai peristiwa semasa, dasar-dasar kerajaan dapat disampaikan kepada pendengar," katanya.
Selain itu, lebih banyak program-program setempat, destinasi pelancongan, keunikan budaya, adat tradisi dan sebagainya dapat diketengahkan sekiranya Kudat FM itu dapat diwujudkan.
"Setakat ini belum ada terdengar desas-desus atau khabar bahawa Kudat FM bakal wujud," katanya sambil menambah, sedangkan jumlah mendengar di kawasan utara Sabah juga cukup ramai," katanya.
Menurutnya, jika kerajaan mahu mewujudkan lagi stesen radio maka keutamaan hendaklah diberikan kepada wilayah utara Sabah dengan mewujudkan Kudat FM.
Wilayah utara Sabah mempunyai ramai penduduk terdiri daripada suku kaum Bajau, Rungus, Kimaragang, Ubian,Cina, Kegayan, Suluk, Iranun, Bonggi dan sebagainya yang perlu diberikan perhatian oleh kerajaan.
"Kawasannya cukup luas kerana pulau Banggi saja mempunyai keluasan seluas tiga kali Singapura. Ini belum lagi dicampurkan dengan kawasan Kudat, Matunggong, Pitas, Kota Marudu dan sebagainya," katanya.

2 comments:

Pena Alam said...

abg nad,

bagus jg idea nih..wujud juga peluang pekerjaan utk warga kudat dan banyak lagi pintu2 akan terbuka..insyaalah..

koruang said...

Salam ya.. Buat masa ini saya ada mendengr Ponetfm yang bersiaran secara online dari daerah Pitas.. Jika ada kelapangan silalah melawat di http://ponetfm.net atau di laman utamanya http://utarasabah.net ..