Isnin, 18 Mei 2009

Saya tidak faham, kata Anuar

Tags

Saya tidak faham, kata Anuar, orang dari Buner itu. Beliau tidak faham mengapa orang Pakistan yang beragama Islam dan orang Taliban yang beragama Islam saling berbunuhan.
"Taliban pun Islam, Pakistan pun Islam," katanya kepada saya sekembalinya dari kampungnya.
Katanya semenjak perang di Buner dan Swat itu, ramai yang mati, banyak harta benda yang musnah.
"Kami hanya diberi masa dua jam untuk lari," katanya, dan penduduk-penduduk Buner terpaksa meninggalkan kampung mereka yang cantik dan indah. Ada perbukitan, ada sungai yang mengalir, ada gandum yang sedang menunggu untuk dituai. "Sekarang musim gandum, sebentar lagi mahu dipetik,' katanya
Semuanya ini telah musnah dalam sekelip mata.
Tentera Pakistan hanya beri masa dua jam saja untuk kami lari. Ada yang sempat lari, ada yang tgerperangkap, malah ada mayat yang berhari-hari tak dapat diambil.
Saya tidak faham, kata Anuar , orang dari Buner itu.
Katanya, semenjak pulang kampung dalam tempoh enam bulan yang lalu, kehadiran tentera Taliban memang sudah dirasai. Mereka datang ke rumah-rumah penduduk dan menasihatkan mereka supaya menjalankan kehidupan dengan baik. Jangan jual barang-barang keluaran Amerika, kata Anuar dalam bahasa Melayu yang hampir sempurna. Jangan campurkan barangan yang hala dengan tak halal, kata Taliban sebagaimana yang ditirukan Anuar.
Kemudian datang amaran supaya kami lari kerana Taliban akan dimusnahkan oleh Pakistan.
"Ini yang kami tak faham," kata Anuar, orang dari Buner itu.
Kalau lawan musuh seperti Amerika, itu mungkin jihad. tapi ini lawan sesama sendiri. Tapi orang Islam lawan orang Islam, ini yang saya tak faham. Susah mahu cakap, katanya.
Saya tidak faham, kata Anuar lagi.