Monday, June 8, 2009

Catatan pertemuan dengan aranam

Saya sengaja datang lebih awal ke tempat pertemuan itu. Tidak sabar rasanya bertemu aranam dan keluarganya. Aranam, orang jauh dari Tashkent itu pulang kampung untuk bercuti. Masih diserkap tanda tanya siapakah gerangan aranam. Sampai detik terakhir pertemuan kami itu, tidak ada sebarang indikasi mengenai siapa aranam, yang katanya, inshaAllah saya boleh mengenalnya. Aranam yang menulis puisi-puisi yang cantik dalam blognya http://menelusuriilham.blogspot.com/.
Temujanji jam 12.30 tengahari. Tempat di restoran hutan hujan. Bolehkan aranam mengenali saya? berbeza dengan beberapa tahun yang lalu, kini saya sudah berkacamata dan gemuk sedikit berbanding dahulu. Siapakah aranam yang katanya mengenaliku itu.
Tiba-tiba berhenti sebuah kereta. Saya dengan cepat mengenali seorang adik yang sudah lama saya tidak jumpa. Saya tidak sempat menegurnya kerana mereka berjalan cepat ke depan.
Saya fikir kami sudah lama tidak berjumpa. Paling akhir barangkali ialah ketika saya dan sepupu saya Taib berhari raya ke rumah mereka di Kampung Sembulan. Saya ingat peristiwa kerana kami datang paling akhir berhari raya dan pulang paling kemudian.
Adik ini yang ingin saya bertanya khabarnya kerana kebetulan pula saya ternampak dia di restoran hutan hujan itu tempat saya menunggu aranam.
Belum sempat lagi saya menegurnya dia ternampak saya dan senyum. Demi melihat suaminya membawa beg kamera, barulah saya tersedar bahawa dialah sebenarnya orang yang saya tunggu.
Patutlah aranam merahsiakan identitinya kepada saya. Kerana kalau saya tahu siapa dia, sudah tentulah tiada nilai suspennya. Aranam datang bersama suaminya yang baik dan peramah, dan tiga anak mereka yang comel, Ameera, Anis dan Amirul.paling tua berusia 10 tahun, kedua lapan tahun dan ketiga, lelaki. Juga bersama dalam pertemuan itu ialah makcik masnah dan suaminya, pakcik abdul majid.
Apa khabar Mehran? Mehran dah tahun tiga sekarang. Anak yang kedua Ahmad Fawzan baru tiga tahun manakala Aliff farhan baru setahun lebih. "Kakakmu masih di Tawau, masih kerja, abang ulang alik saja begitu.
Percakapan kami bermula mengenai cuaca di Uzbekistan. Musim panas sekarang. Suhu 50 darjah celsius. Di negara Islam Karimov itu, udang 70 ringgit sekilo. Ayam 20 ringgit sekilo. Yang ada ikan air tawar.harga makanan mahal. saya terlupa bagaimana mengeja nama matawangnya tetapi nilai matawang malaysia lebih tinggi.
Aranam kata minyak sawit kita yang dijual disana cepat membeku. "Saya rasa kita perlu R & D mengapa minyak sawit mudah membeku berbanding dengan minyak-minyak lain seperti minyak jagung dan sebagainya.
Komuniti malaysia di Uzbekistan sekitar 50-60 orang tetapi orang Indonesia mungkin lebih ramai.
Saya mengesyorkan supaya aranam menuliskan pengalamannya di Tashkent itu, pengalaman itu boleh menjadi bahan yang berharga jika diterbitkan untuk buku kanak-kanak. Jarang ada buku mengenai pengalaman ekspatriat malaysia di luar negara, kehidupan mereka sehari-hari, kebudayaan yang berbeza dan sebagainya.
Saya sempat meluahkan keinginan untuk ke negara Asia Tengah itu, mengunjunga kota Bukhara yang melahirkan seorang ahli hadis terkenal, Imam Bukhari. "Ketika pulang ke Bukhara, Gabenor mahu melantik Imam Bukhari untuk memegang jawatan tinggi. Tetapi beliau enggan.Itulah sebabnya makamnya sekarang terletak di samarkhand.
Tidak lama kemudian Hasyuda Abadi datang dari masjid. Beliau balik dari umrah dan banyaklah kisah-kisah sepanjang beliau menjalankan ibadah umrah.
Tambah rancaklah perbualan kami,macam-macam topik termasuk topik dalam blog sampaikan seorang kawan kami tersilap memanggil aranam `abg aranam'. Sebab musabab aranam menyembunyikan identitinya dan suaminya itu dapat kami fahami apatah lagi mereka tinggal di rantau orang. Barangkali cukuplah saya mengenali mereka sebagai keluarga, sebagai sahabat, sebagai adik dan sebagai penulis, dan saya kira tidak perlu didedahkan siapa aranam itu.
Aranam pernah mengikuti Minggu Penulis Remaja (MPR) di Sabah. Teman-teman seangkatannya, kalau tak silap, Muharsafa Kirana Bacho, Hassan Jaidin dan ramai lagi.
Saya rasa amat gembira dan bersyukur kerana pertemuan dengan aranam dan keluarganya. Saya tidak ingat bila kali terakhir kami bertemu tetapi itu terjadi beberapa tahun yang lalu ketika aranam baru bertunang dengan suaminya. Kini aranam sudah punya anak tiga yang comel, yang mutilingual kerana sudah boleh berbahasa Uzbek, bahasa Rusia disamping bahasa ibunda mereka.
Aranam sempat mengambil gambar kami.Sayang sekali, saya dan HA tidak sempat membawa kamera pada hari itu, mungkin kerana terlalu suspen dengan pertemuan dengan rakan bloggers kami, aranam yang jauh tapi dekat itu.

4 comments:

Pena Alam said...

abg nad,

hahaha...aranam rupanya wanita! slamat kembali ke tanah air utk aranam... akan kembali ke tashkent lagi?.. moga berbahagia di sabah!

Hasyuda Abadi said...

Daripada aora dalam penulisan, kita boleh mengenal gender penulis berkenaan. Jangan lihat hanya pada nama. Sebagaimana pernah orang menilai nama saya sebagai seorang wanita. Aranam dari awal saya amat pasti seorang wanita ketika mengamati karya2nya. Tepat sekali, berperawakannya lembut dan periang seperti telah bertahun2 kenal. Pada saya 'aranam' sebagai suatu nama yang telah memperkenalkan Taskent dan negaranya Malaysia dengan caranya tersendiri. Saat yang kami tunggu ini memang cukup menjadi tandatanya. Dan bila bersua hati saya berkata, macam pernah jumpa tapi di mana ya? Saya memang sedia membawa buku puisi terbaru seperti terpapar pada blog saya untuk dihadiahkan, percuma sebagai tanda persahabatan seperti kebanyakan sahabat2 yang menerima buku itu. Pertemuan yang singkat itu sungguh bermakna, mengenali suaminya yang peramah dan supportif dan anak2nya yang memiliki andatila tersendiri tentang negara orang di mana dia membesar tetapi tidak pernah menjauhi bahasanya sendiri. Tentu sahaja kami menanti karya2 Aranam yang lebih hebat seumpama novel ataupun catatan2 di perantauan.

aranam said...

Sdr. abdnaddin,
Terima kasih untuk catatan bererti ini... :)

Pa'al,
Terima kasih... :)

Sdr. Hasyuda Abadi,
Terima kasih untuk sokongan padu selama ini... :)

Azmah Nordin said...

Sdr Nadin :)

Aranam sebenarnya sudah pun menghasilkan sebuah novel kanak2 Malaysia di Tashkent, lewat Bengkel Novel online di blog saya :) dan sekarang sudah berada di bahagian penerbitan DBP SABAH. Menarik sekali novelnya.