Isnin, 22 Jun 2009

Datuk Masidi di Facebook

Tags

Barangkali saya tidak salah jika mengatakan Datuk Masidi Manjun, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah merupakan seorang menteri yang peka terhadap perkembangan teknologi baru. Sepanjang pengetahuan saya, Datuk Masidi adalah menteri kabinet Sabah yang pertama menyertai komuniti Facebook, dan melalui FB ini beliau dapat berhubung langsung dengan rakyat, bercakap dengan mereka, bertanya khabar, bertukar fikiran dan sebagainya. Malah ada juga rakan mengusulkan sambil bergurau, mungkin satu masa nanti sidang media juga boleh dibuat melalui FB.
Tahniah kepada Datuk Masidi kerana berani merangkul teknologi baru. Setakat ini, hanya segelintir pemimpin Sabah yang menyertai komuniti maya ini. Saya nampak hanya beberapa orang yang melibatkan diri, antaranya Azman Haji Roslan, Jamawi Jaafar, Moh.Joh Haji Wid, Nazliah Ali,Zulkhairi Haji Ismail (AJK Bahagian Papar) dan beberapa orang lagi yang saya tak dapat sebut namanya. Di KL, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaludin, Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub, Datuk Husam Musa, Menteri Belia dan Sukan, Ahmad Shabery Cheek, Mustapha Kamil Ayub Naib Presiden KEADILAN, Khalid Jaafar, MPT KEADILAN juga menyertai FB ini.
Saya fikir sudah sampai masanya pemimpin-pemimpin dari Sabah menyertai facebook, friendster dan sebagainya untuk berhubung terus dengan generasi baru.