Thursday, June 4, 2009

Di sebalik gambar Perdana Menteri di Beijing

Apakah makna sekeping gambar? Bagi Perdana Menteri, Dato Seri Mohd.Najib Tun Razak, gambar nostalgia lawatan allahyarham Tun Razak ke China pada tahun 1974 itu amat bererti kepadanya. Apatahlagi ibunya, Toh Puan Hajah Rahah yang turut serta dalam lawatan ke China 35 tahun yang lalu itu,ikut bersama dalam lawatan kali ini. Sudah tentu gambar itu menghimbau kenangan lampau mengenai kunjungan seorang negarawan terulung yang menjembatani hubungan antara Malaysia dan China pada ketika negara lain di Asia Tenggara enggan bersahabat dengan mereka.

Datuk Najib memilih untuk melawat China. Saya lihat beliau tersenyum ketika menerima ijazah doktor kehormat hubungan antarabangsa dari Beijing Foreign Studies University (BFSU). Prof. Hao Ping juga tampak tersenyum. Gambar Najib tersenyum menerima anugerah kehormat itu disiarkan hampir semua akhbar hari ini.

Saya yang berada di Kota Kinabalu juga ikut tersenyum. Saya tersenyum bangga bukan hanya kerana Najib menerima anugerah ijazah kehormat itu tetapi kerana disamping tulisan Cina, saya dapat membaca tulisan berbahasa Melayu ketika berlangsungnya majlis itu.

Hakikat bahawa majlis itu diadakan di Beijing dan bukan di Kuala Lumpur atau Jakarta, memberikan makna tersendiri kepada pejuang dan pencinta bahasa Melayu. Bahawa di negara yang mempunyai sejarah ketamadunan yang panjang itu, bahasa Melayu yang dituturkan oleh hampir 240 juta jiwa diberikan penghormatan yang tinggi dalam satu majlis di luar negara.

Kalau majlis itu diadakan di negara kita, apatahlagi melibatkan tamu asing, sudah pastilah bahasa yang digunakan adalah bahasa Inggeris walaupun tamu yang kita raikan itu bukan dari negara berbahasa Inggeris.Datuk Najib layak berbangga kerana BFSU turut mengajar matapelajaran bahasa Melayu disamping beratus-ratus universiti lain di dunia yang turut mengajarkan bahasa Melayu. Ini menambahkan keyakinan kepada kita bahawa bahasa Melayu mampu menjadi bahasa tamadun yang tinggi. Malah Laksamana Cheng Ho yang berlayar dengan armada yang mengandungi 300 kapal dan 35,000 anak kapal itu, menggunakan bahasa Melayu ketika mereka itu menghadap Sultan Melaka, 600 tahun yang lalu.
Gambar itu menyerlahkan sesuatu yang menarik kerana Cina sebagai sebuah negara bertamadun besar menganggap Malaysia sebagai sebuah negara yang tinggi tamadunnya dan meletakkan bahasa Melayu kepada kedudukannya yang tinggi.

China berbangga dengan bahasanya.Kita juga harus berbangga dengan bahasa kita. "Jika kita pelajari bahasa, kita akan memahami ketamadunan dua bangsa dan bila kita memahami kedua tamadun, hubungan akan bertambah mesra," kata Dato Najib dalam gesaannya supaya kita mempelajari bahasa. Jadi marilah kita mempelajari bahasa kerana hanya dengan bahasa , tamadun kita sempurna.

1 comment:

Hasyuda Abadi said...

Saya sedang mencari sebuah beg kecil di sebuah gerai di Madinah, agak saya, harus berbahasa apa ya. Namun, ternyata orang Arab juga boleh mengungkapkan kata-kata Melayu, walaupun sekadar asas. Ini menjadikan ramai jemaah tidak menghadapi masalah. Sewaktu melawat kaki bukit Thur, saya merasa bangga kerana salah satu bahasa yang digunakan pada papan maklumat terpampang dengan Bahasa Melayu. Begitu juga ketika di Mekah... sesungguhnya Melayu itu berada di mana-mana di dunia. Barangkali juga jemaah Malaysia dan Indonesia antara yang teramai mengunjungi Tanah Suci. Ini sebuah respon catatan saudara, sebuah negara yang asing untuk orang Melayu tetapi ternyata tidak demikian.