Khamis, 11 Jun 2009

Ikan tak pernah rasa masin kecuali ikan masin

Tags

Catatan 1
Kebenaran seperti ikan. Saya tidak ingat lagi siapa yang mengatakan itu. Seekor ikan tak pernah masin meskipun ia tinggal di dalam laut yang masin. Sama seperti ikan, kebenaran tetap tidak berubah walaupun ia dikelilingi kepalsuan dan pembohongan. Kebenaran tidak lagi jadi benar apabila sifatnya diubah, seperti ikan yang hanya akan jadi masin sekiranya ia dijadikan ikan masin.
Tapi ikan air tawar tidak boleh hidup lama di laut, sama halnya dengan ikan laut tidak boleh hidup lama dalam persekitaran air tawar. Kalau kebenaran seperti ikan air tawar,sudah tentu kebenaran itu tidak boleh dipaksakan untuk hidup di tengah air laut, sama airnya, jika kebenaran itu, ikan laut sudah tentu ia tidak boleh dipaksa hidup dalam air tawar.
Sebab itulah mungkin Amru Al-As mencipta dua hukum yang berbeza apabila berada di dua tempat yang berbeza.

Catatan 2
Siapakah yang lebih benar di antara parti ini dengan parti itu? Itulah pertanyaan seorang kawan saya ketika kami duduk minum teh lemon di ibu negeri pagi ini. Kebetulan di meja kami itu ada pemimpin UMNO Sepanggar manakala seorang lagi pemimpin Pemuda DAP negeri. Mereka saling kenal.
Pemimpin Pemuda DAP itu memberitahu betapa dulu dia salah faham dengan PAS, sekarang dia mengatakan dia menghormati Pas kerana mereka berjuang kerana prinsip perjuangan. Orang DAP sudah boleh menerima PAS manakala mereka boleh duduk semeja di Kota Kinabalu. Tak ada halangan. Boleh bincang sama-sama walaupun memakai topi fahaman yang berlainan.
Hari ini kawan, esok kita lawan, fatwa apa ini, kata seorang ustaz yang mirip perjuangan PKR.
Katanya salah satu petanda akhir zaman ialah apabila fitnah laris sebagai komoditi. Yang merosakkan dunia ialah fitnah, dunia hancur kerana fitnah, dunia kita sekarang cenderung bercerita fitnah. Tidak ramai orang yang mencari kebenaran kecuali kebenaran yang berpihak kepada mereka.
Banyak gosip politik yang terdengar hinggap di telinga kami. Tapi gosip bukanlah kebenaran walaupun mungkin ia mengandungi sedikit kebenaran. Antaranya, kononnya seorang pemimpin PKR Sabah akan mengambil tindakan drastik kerana kecewa terhadap DSAI berhubung deklarasi Tambunan. Entah betul entah tidak, wallahu alam.

Catatan 3.
Kalau dulu orang boleh mudik ke hulu Sungai Tandek untuk mencari ikan bekalau, kini ikan bekalau tidak ada lagi. Ini kerana sungai semakin tercemar dan sempit. Banyak sampah sarap yang hanyut melaluinya.
Di sungai telipok, dulu juga orang dengan mudah dapat ikan sungai yang besar-besar.Kini tidak ada lagi kerana dituba, diracuni dengan pencemaran.

Catatan 4.
Barangkali kerana banyak racun dan bahan-bahan yang mencemarkan, kini kebenaran sukar didapatkan kerana seperti spesies ikan tertentu, ia juga makin pupus dan terhapus kerana mungkin kebenaran kini tidak penting lagi.