Friday, June 19, 2009

Kisah sepanjang cuti 15-18 Jun 2009

Dari KK ke Tawau

Tengah malam dalam perjalanan dari KK ke Tawau itu, bas sairah yang kami naiki tiba-tiba berhenti. Saya agak terkejut dan bimbang kalau-kalau tayar bas pamsit atau enjinnya rosak. Dua tiga orang turun.Saya hanya memandang ke luar jendela melihat kepekatan malam.
Dalam hati tertanya-tanya apa yang rosak. Tidak lama kemudian mereka yang turun itupun naik.Rupanya pemandu dan konduktornya tak tahan lagi menahan diri lalu berhenti menyalakan sebatang rokok.
Bas 40 penumpang berangkat dari terminal Inanam kira-kira jam 8.00 malam. Tambang hanya RM60.00 ke Tawau. Kebetulan pula semua penerbangan, MAS ataupun AirAsia penuh hari ini, kebetulan penghujung cuti sekolah.
Di sebelah duduk seorang pemuda yang sopan dan baik hatinya. Dia bekerja di kedai hardware, berdepan sekolah Yick Nam. Bergegas pulang selepas diberitahu ayahnya telah meninggal dunia pada sebelah petangnya, meninggalkan ibu dan 14 anaknya. Ada abangnya yang masih menunggu flight dari Kuala Lumpur. Kami sempat bercerita, dan saya sempat memberi nasihat supaya dia sentiasa bersabar kerana ayahnya telah sampai waktunya dipanggil menghadap Ilahi. Saya lupa menanyakan namanya, yang saya ingat mereka tinggal di Batu 4, dan salah seorang abangnya bernama Jamal. Timbul rasa belas di hati saya. Keluarga berjauhan dan belum mendapat tiket pulang.

naik teksi orang kelantan

Bas sampai kira-kira jam 4.30 pagi di Tawau. Saya sempat membeli keropok di kedai Gemilang sebelum pulang rumah. Pakcik teksi itu berasal dari Kelantan, masih pekat logat kelantannya. Dulunya dia askar dan arwah Isterinya Sharifah Jainah, masih keluarga isteri saya. Salah seorang anaknya bertugas sebagai jurutera di SESB Tenom, kalau tak silap saya.
Dia agak terkejut bila diberitahu bahawa isteri saya suku Melayu -Bulungan- Arab dan kalau begitu, mesti ada kaitan dengan keluarga syed yang sampai sekarang masih mengamalkan budaya zapin itu.

krisis bekalan air yang teruk dan mandi kopi

Hari itu diawali dengan peristiwa-peristiwa melucukan juga. Tawau sedang menghadapi krisis bekalan air yang teruk. Sehinggakan tiga anak saya terpaksa mandi kopi. Tetapi mereka mandi kopi itu bukan kerana ketiadaan air.Cerita begini. Tengah kami rancak bercerita isu macam-macam itu, anak saya yang kecil, Aliff Farhan mencapai gelas berisi air kopi yang diletakkan di sisi peti tv sehingga tertumpah di baju kakak dan abangnya yang tengah asyik main game di laptop. Mujur kopi tak begitu panas dan tak terkena komputer si nelly itu.

Kucing mengiau majikannya meninggal

Di hujung kampung, ada juga orang tua yang meninggal.Baru sejam balik dari rawatan di hospital. Hanya dia dan isterinya yang tinggal di rumah ketika itu.
Ketika dia rebah itu, tak ada yang menyedari dia meninggal.Isterinya baru tahu apabila kucing mereka mengiau dan menggigit kain sambil menarik kain isterinya.Hanya selepas itu, si isteri baru sedar suaminya sudah meninggal.

Alhamdulillah, selama cuti itu, saya sempat membuka akaun ASB untuk anak-anak, Isteri saya sempat marah kerana staff bank itu tak tahu bangsa Iranun yang tertulis dalam sijil lahir anak saya.Mujurlah seorang pegawai bank berkata Iranun bangsa yang besar dan salah seorang Iranun yang terkenal ialah Speaker Tan Sri Pandikar. Sempat juga ke pejabat di KWSP itu untuk membuat penamaan walaupun sebenarnya sudah lama diisi borangnya tapi tak sempat diuruskan. Banyak juga perkara yang seempat dilakukan.Cuma yang tak sempat ialah melawat pakcik Arif yang khabarnya sedang sakit. Mudah-mudahan beliau sempat sembuh.

1 comment:

musli oli said...

kisah pengalaman seperti paparan saudara nadin amat menarik sekali. tahniah