Jumaat, 26 Jun 2009

namamu yang unik

Tags

Keadaan sudah berubah. Kalau dulu jalan di kampung kami agak sukar dilalui. Jalan berdebu ketika kemarau dan berlumpur bila musim hujan tiba. Tetapi kini, syukurlah, jalanraya itu sudah diaspal hingga hampir ke tangga rumah kami.
Entah berapa kali sudah jalan raya itu keluar di suratkhabar. Jalan raya tetap begitu, untuk beberapa dekad lamanya. Masyarakat kampung merayu supaya jalanraya itu diperbaiki supaya orang kampung mudah menjual hasil pertanian, hasil perikanan, hasil kraftangan ke Kota Belud. Tetapi itu cerita dulu. Sekarang jalan raya semakin baik dan ramai orang-orang kampung, yang dulunya hanya memiliki sampan, kini sudah mampu memiliki kereta, kalau tidak ninja king, atau proton wira, sekurang-kurangnya mereka memiliki kereta kancil.
Keadaan jalanraya yang teruk itu sangat erat hubungannya dengan kehidupan kami. Bahkan jalanraya yang teruk lagi sukar dilalui itu turut mempengaruhi proses penamaan anak-anak yang baru lahir di kampung kami. Sehingga lahirlah nama-nama yang unik, nama-nama yang diambil dari jenama makanan atau minuman. Tetapi sungguh, ia bukan hal yang disengaja.
Setiap kali ada ibu yang melahirkan anak, dan kebetulan pula sukar untuk turun ke pekan, biasanya mereka menitipkan nama anak mereka untuk didaftarkan di Jabatan Pendaftaran melalui seorang haji, satu-satunya pemilik kereta pick up di kampung kami, yang baik hatinya tetapi pelupa.
Beliaulah yang banyak membantu mendaftarkan kelahiran anak-anak untuk mendapatkan surat lahir. Tahun-tahun 70-an dan 80-an memang kehidupan agak susah dan derita. Jadi melalui orang tua inilah, ibubapa menitipkan nama-nama anak mereka untuk didaftarkan.
Tetapi ada kalanya dia terlupa nama anak yang baru lahir itu. Untuk berpatah balik, kampung agak jauh manakala jalan raya agak teruk. Untuk menunggu esoknya, tentu banyak kerja yang tergendala.
Jadi ketika ditanya kerani pendaftaran , siapa nama anak itu pakcik? untuk beberapa ketika beliau cuba mengingat-ingat. Tetapi yang diingatnya ialah pesanan orang kampung yang lain, yang minta dibelikan makanan bayi.
"Siapa nama budak itu, pakcik?"
"simpan namanya dumik." Sebenarnya yang melintas di kepalanya ialah dumex, yang dipesankan kepada oleh seorang ibu untuk anaknya.
Ada juga nama Liktojen, daripada Lactogen dan macam-mcam lagi nama yang unik.Mujur ada diantara mereka telah berganti nama, bila dewasa. Ada juga nama desik, ada juga nama bagna (joe bugner) dan banyak nama lagi.
Walaupun bukan semuanya, ternyata keadaan jalan yang teruk itu mempengaruhi proses penamaan nama anak-anak yang pada mulanya cantik tetapi berubah jadi unik kerana pak haji itu terlupa. Apatah lagi tak ada telefon, dan jalan ke kampung itu memang berbukit bukau.
Tetapi sekarang keadaan jauh berubah. Ini hanyalah sepotong kisah bagaimana setengah orang di kampung kami memiliki nama yang unik.

3 comments

KESUKARAN PERHUBUNGAN JUGA MENYEBABKAN ADA IBU TERPAKSA BERSALIN DI ATAS PAC UP YANG LEBIH DI KENALI DENGAN JENAMA DATSUN MAKA TIDAK HAIRANNYA ADA YANG MENGAMBIL NAMA DATSUN KERANA TIDAK SEMPAT MELAHIRKAN DI HOSPITAL JADI SI IBU TERPAKSA BERANAK DI ATAS PICK UP DATSUN
PELIK TAPI BENAR...NAMUN APA ADA PADA NAMA

Lucu juga..nama orang dulu2 memang unik dan penuh sejarahnya disebaliknya..ada seorang adik teman bernama natabek. Namanya natabek sempena nama pil zat besi untuk ibu2 mengandung iaitu natabech. bila si bapa membawa kad klinik ibu ke pejabat pendaftaran, dia menunjukkan nama ubat yang tertulis di atas kad sebagai nama anaknya. maklumlah, tak pandai membaca. sepatutnya dia menunjukkan nama anak yang tertulis di sebelah bawah kad.