Isnin, 13 Julai 2009

Catatan dari belakang lensa-R syad

Tags














































Saudara R Syad Hussin, sahabat saya yang kini merupakan Setiausaha Akhbar Menteri di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Haji Nasir Tun Sakaran meminta saya menyiarkan catatan perjalanan ini dalam blog saya. Saya mengucapkan terima kasih kepadanya.R.Shad, seorang penulis dan penyair menulis mengenai perjalanan mereka ke medan.Berikut ini saya perturunkan catatan yang diemel kepada saya.


PENERBANGAN kami yang sepatutnya dijadualkan berangkat dari Kuala Lumpur ke Medan pada 14:45 petang waktu Malaysia tiba-tiba ditunda lewat setengah jam akibat penerbangan lewat tiba dari Kota Kinabalu.
Kata seorang kawan yang turut dalam rombongan masalah seperti ini memang sering menyusahkan penumpang dan merimaskan menunggu keberangkatan apa lagi kalau melibatkan penumpang ‘Connecting Flight’ ke suatu destinasi tertentu.
Dalam hati turut rasa resah kerana penerbangan kami dari Lapangan Terbang Polonia, Medan akan berangkat ke Banda Acheh tepat pada 15:35 petang waktu Medan .
Sementara menunggu penerbangan kami melihat beberapa orang petugas lewat dinding kaca mengangkat bagasi penumpang dilemparkan sesuka hati ke dalam perut kapal terbang seperti menghumbankan buah kelapa ke dalam lori barang.Dalam hatiku berkata,tidak hairan kalau ada bagasi penumpang yang pecah dan rosak.Cuai.
Penerbangan kami tiba di Lapangan Terbang Polonia, Medan kira-kira jam 14:20 petang waktu Medan dan berangkat ke Banda Acheh tepat pada 15:35 petang.
Ketika melihat jam di tangan seorang penumpang warga Indonesia menyapa dari belakang," Nggak usah bingung,pak.Bapak ngak kehilangan waktu.Waktu di sini satu jam mundur berbanding waktu Malaysia ," ujarnya ramah.Kami hanya mampu tersenyum lega dalam kehairanan.
Selepas pemeriksaan dokumen perjalanan kami menuju ke ruang bagasi yang sudah dikerumuni Porter yang lebih sibuk daripada penumpang.
"Pak, biar kami yang urus bagasinya,bapak tenang-tenang saja.Ini nomor saya 189.Bapak tunggu saja di sono,ya," ujar salah seorang Porter ramah.
Selesai urusan bagasi kami terus menuju ke ruang pendaftaran masuk dan menyerahkan tikit penerbangan kepada petugas tak rasmi yang mencari makan di Lapangan Terbang Polonia.
" Maaf ya,Pak. Dua tikit kelas bisnis saja yang komfom dan yang satu lagi terpaksa duduk kelas ekonomi.Tapi,nggak usah kuatir bapak-bapak tetap bisa berangkat semua ke Banda Aceh," ucap petugas itu penuh yakin.
Kami hanya mampu mengomel sesama sendiri dengan karenah warga Indon yang sengaja mencari akal menambah pendapatan.
Setelah menerima Pas Naik Pesawat ( Boarding Pass ) Penerbangan GA146 ke Banda Acheh kami menuju ke ruang keberangkatan sambil meneliti pas naik yang dikepilkan resit Airport Tax yang sepatutnya dibayar Rp25,000.tetapi dibayar lebih tiga kaliganda.Muakal!
Sepanjang perjalanan menuju ke hotel di Banda Acheh kami tidak melepaskan peluang meninjau lewat cermin kereta sambil mendengar penerangan ringkas pemandu yang menyambut kami di lapangan terbang Acheh.
PROVINCI Nanggroe Banda Acheh Darussalam yang dikenali dengan jolokan Serambi Mekah kini mula membangun selepas dilanda gempa bumi yang disusuli Tsunami 26 Disember 2004.
Bencana Tsunami yang meranapkan rumah penduduk khususnya pekan-pekan di sepanjang pesisir pantai Acheh itu khabarnya telah mengorbankan 130,000 nyawa dan lebih 90,000 orang hilang tidak diketahui jasadnya hingga sekarang.
Selain itu lebih setengah juta orang terpaksa hidup dikhemah-khemah penempatan dengan segala penderitaan dan keperitan hidup.
Namun selepas tiga tahun setengah keadaan perkampungan yang dilanda tsunami itu mula berubah dengan pembangunan perumahan hasil bantuan dana dari pelbagai Negara termasuk dari Malaysia .
Selepas membersihkan diri kami dibawa ke Masjid Raya BairurRahman untuk menunaikan solat magrib berjamaah yang diimamkan Imam Besar,Prof.Dr.Tengku H.Azman M.Ismail M.A.
Selepas solat semua jamaah berdoa masing-masing dan tidak seperti solat berjamaah di masjid-masjid di Malaysia yang dipimpin oleh imam solat.
Antara jemaah yang turut solat Menteri DiJabatan Ketua Menteri Negeri Sabah,selaku Menteri yang bertanggungjawab mengenai Hal Ehwal Agama Islam di Sabah merangkap ketua rombongan,Datuk Haji Nasir Tun Sakaran; Ketua Dewan Kemakmuran Masjid (DKM) Acheh,Drs. H.Hasan Basry; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS),Haji Amri Suratman; Setiausaha Rendah 1,JKM Sabah,Datuk Haji Ag.Sharin Alimin ; 15 orang ahli rombongan negeri Sabah ke Banda Acheh yang terdiri dari Ahli Jawatankuasa Masjid Bandaraya Kota Kinabalu serta masyarakat Islam Banda Acheh Darussalam.
Sementara menunggu solat Isyak satu ceramah khas disampaikan Pengerusi Program Al-Mubarak Masjid Bandaraya Kota Kinabalu,Haji Jamal Tun Sakaran mengenai Perancangan Strategik Pembangunan Masjid Di Alaf Baru;Masjid Sebagai Nadi Pembangunan Strategik Kemajuan Agama,Sosial & Ekonomi Ummah disiarkan secara langsung melalui radio masjid Raya BaiturRahman ke seluruh Acheh dan Sumatera,Indonesia serta mendapat sambutan hangat pendengar dengan beberapa panggilan ke studio mini Masjid Raya BaiturRahman.
Masjid Raya BaiturRahman yang menyimpan seribu cerita duka bencana Tsunami dan menempatkan ratusan ribu mayat mangsa sebelum dikebumikan di tanah perkuburan besar di Acheh tetap masih teguh berdiri menjadi rumah ibadat utama masyarakat Islam Acheh menyebarkan syiar Islam ke seluruh pelusuk bumi Indonesia raya.
Sebagai memulakan acara lawatan kami dibawa melawat Syiah Kuala University dan disambut mesra Rektor Syiah Kuala University , Dr.Darni M.Daud.
Pada mula kami menyangka universiti itu ada kaitan dengan golongan Syiah namun selepas diberikan taklimat sebenarnya ia mengambil nama sempena seorang pemimpin dan ulama tersohor Acheh, Syeikh di Kuala.
Acara lawatan kami terlalu padat sehingga membuat setiap rombongan terkilan tidak sempat merakamkan banyak gambar untuk dijadikan kenangan kerana bumi Acheh sememangnya kaya dengan pemandangan alam semulajadi cukup indah serta warna-warni kehidupan penduduknya yang unik dan tabah.
Dari kampus Universiti Kuala Syiah kami terus melawat perkampungan Persahabatan Indonesia – Tiongkok ( China ) yang didirikan di atas bukit dan sempat melihat keadaan perkampungan pesisir pantai yang musnah dilanda tsunami sudah mula ditumbuhi rumah-rumah penduduk yang sebahagiannya hasil sumbangan Negara asing.Namun kesan kemusnahan bencana itu tetap masih kelihatan melalui beberapa lokasi yang masih lapang bagaikan padang jarak, padang tekukur.
Selepas singgah makan di Restoran Masakan Padang kami sempat menunaikan solat zohor di salah sebuah perkampungan Camat Baitussalam dan meneruskan lawatan singgah menjenguk asrama Anak-Anak Yatim Negeri Johor yang dibangunkan kerajaan Negeri Johor selepas bencana Tsunami menempatkan 50 orang anak-anak yatim dan yatim piatu.
Kami melihat disetiap wajah anak-anak kecil yang rata-rata berusia antara tujuh hingga belasan tahun itu menyimpan seribu harapan yang dibaluti sejuta kedukaan meratapi nasib walang yang amat dalam membuat hati kami mengharu sendu.
Anak-anak kecil yang kehilangan ibu,ayah dan keluarga itu tetap ramah menguntum senyum menghulur salam kepada setiap rombongan yang datang sambil mengusap lembut kepala anak-anak itu dengan penuh kasih sayang.
Kami membayangkan betapa perit pedih kehidupan tanpa kasih sayang ibubapa dan keluarga yang pergi buat selamanya dalam tragedi menyayat hati sedemikian. Sayu pilu mengilir sanubari melihat sebahagian anak-anak kecil itu tidur lena dalam bilik asrama yang diselenggarakan para sukarelawati yang dipimpin seorang wanita cekal prihatin itu.
Tidak cukup melihat kesedihan anak-anak yatim kami dibawa mengunjungi sebuah kapal laut besar PLTD Apung 1 yang terdampar di Kelurahan Punge Blang Cut.
Menurut penduduk Punge Blang Cut kapal sepanjang lebih 70 meter dan lebar 25 meter itu merupakan kapal pembekal tenaga letrik dan sebelum itu berada kira-kira lima kilometer di tengah laut telah dihanyutkan ombak tsunami dalam masa kurang sepuluh minit serta menghempap sebelas buah rumah yang dipercayai masih terdapat mayat di bawahnya sehingga sekarang.
Kapal yang memiliki dek tiga tingkat itu kini dijaga serta dijadikan lokasi pelancongan oleh Sekteriat Pemuda Kelurahan Punge Blang Cut sebagai bukti bencana tsunami yang penuh tragis dan dahsyat dalam abad kini.
Selain itu disekitar kawasan berhampiran kapal itu dibina Taman Edukasi Tsunami menempatkan sebuah bangunan mini muzium menyimpan gambar-gambar semasa bencana tsunami dan dijual kepada pelancong asing yang mengunjungi kawasan itu.
Keesokan harinya sebelum balik ke tanahair kami amat bertuah kerana mendapat undangan menghadiri majlis makan malam hidangan Ala Timur Tengah dan majlis menandatangani perjanjian (MoU) Pembangunan Masjid dan Pertukaran Aktiviti antara Masjid Bandaraya Kota Kinabalu dengan Masjid Raya BaiturRahman Banda Acheh di kediaman Wakil Gubnur Provinsi Nanggroe Acheh Darussalam,Muhamad Nazar S.A.G.
Majlis MoU itu diwakili Pengerusi Program Mubarak Masjid Bandaraya Kota Kinabalu,Haji Jamal Tun Sakaran dan Prof.Dr.Tgk.H.Azman Ismail mewakili Masjid Raya BaiturRahman serta disaksikan Menteri DiJabatan Ketua Menteri Sabah,Datuk Haji Nasir Tun Sakaran,Ketua Dewan Kemakmuran Masjid (DKM) Acheh,Drs. H.Hasan Basry; Pengarah JHEAINS,Haji Amri Suratman dan Wakil Gubnur Acheh,Muhamad Nazar.
Sempena majlis itu juga Datuk Haji Nasir menyampaikan sumbangan dana kerajaan Negeri Sabah kepada Muhamad Nazar S.A.G. berjumlah RM50 ribu untuk tujuan pembangunan Masjid BaiturRahman sebanyak RM10 ribu dan bakinya RM40 ribu untuk rumsh-rumah anak yatim di Banda Acheh Darussalam.
Perjalanan panjang yang amat meletihkan membuat kami terlena panjang dalam penerbangan balik melalui Medan dan terus ke Kuala Lumpur sebelum balik ke Negeri Di Bawah Bayu dengan membawa seribu kenangan dan catatan ingatan yang amat berharga.
Sesungguhnya kesan bencana tsunami yang melanda bumi Acheh serta beberapa buah Negara termasuk Tamil Nadu,India; Meldev dan Phuket Thailand cukup memberi pengajaran dan keinsafan kepada tiap warga yang mahu bersyukur terhadap keamanan serta kemakmuran yang dinikmati di bumi Malaysia ini.
Ihsan R.Syad Hussin