Thursday, July 30, 2009

Dari kan dekat hati merana, elok ku jauh tinggal mendengar

Pagi itu, dalam perjalanan ke ibu kota, saya terjumpa dengan Ustaz Jalidar Abd.Rahim. Bertemu dengan Ustaz yang baik ini amat menggembirakan saya. Lama kami tidak bersua kerana beliau sudah agak lama juga berkiprah di Shah Alam selepas pencen dari JHEAINS.
"Saya memang sudah lama mahu jumpa,", katanya. Dengan kata-kata itu, kami kemudian duduk minum di kedai di bawah bangunan SEDCO. Maka berceritalah kami mengenai sastera, nadwah, puisi, nasyid, dunia penulisan dan sebagainya. Pendapat kami sama mengenai Pengucapan Puisi Islam sabah, mengenai anugerah Tokoh penyair Islam, mengenai nadwah, yang tidak lagi gah seperti dahulu. Padahal teraju kerajaan kita sekarang ialah kerajaan BN.Sejauh mana perhatian pihak kepimpinan terhadap perkembangan sastera dan budaya di negeri ini. Mujurlah, ada Haji Arifin (Datuk Haji Mohd.Arifin Arif) yang terus memberi perhatian terhadap nasib sastera kita. Kalau dahulu, nadwah dan pengucapan puisi Islam itu diadakan tidak seperti ini. Ya, memang diakui bahawa sepatutnya ramai tokoh-tokoh lama yang patut diberikan penghargaan dan tidak dilupakan sumbangan mereka. Sepatutnya kerajaan memberikan perhatian yang memadai tetapi sebaliknya, perhatian kerajaan negeri terhadap perkembangan sastera di negeri ini boleh dipertanyakan, kata saya.
Ustaz Jalidar pulang sebentar untuk bersama kumpulan nasyid membuat persembahan pada malam di MUIS itu.Beliau juga melahirkan rasa terharu terhadap ingatan seorang sahabatnya, payung negeri ini, ketika mereka sama-sama di German dan England, sewaktu membuat persembahan dalam festival kesenian Islam di sana. Beliau segan dan merasa dihargai apabila dicari dan diajak duduk di meja VVIP.
Kemunculannya memang sudah lama dinantikan kerana ketiadaannya sering ditanyakan kawan-kawan. Walaupun singkat, pertemuan itu dapat mengubat kerinduan kerana lama tidak berjumpa dengan ustaz ini, yang suka saya pinjam buku-bukunya. Kami memang lama tak jumpa.
"Dari kan dekat, hati merana, elok ku jauh, tinggal mendengar," saya sangat terharu apabila Ustaz Jalidar mengulang kata-kata Prof. Haji Ahmad Baqi itu.

No comments: