Rabu, 22 Julai 2009

Jadikan bekas tapak bangunan Maktab Sabah tapak bersejarah

Tags


KOTA KINABALU: Kerajaan diminta menjadikan bekas tapak bangunan Maktab Sabah (Sabah College) dan Dewan Turnbull sebagai tapak bersejarah yang perlu dipulihara kerana ia mempunyai nilai sejarah yang tinggi.
Pengerusi Persatuan Sejarah Negeri Sabah (PSMCS), Datuk Seri Panglima Dr.Hasbollah Haji Mohd.Taha berkata kerajaan hendaklah mengambil langkah proaktif unttuk menyelamatkan bangunan sekolah itu daripada dirobohkan.
Katanya, bangunan lama Maktab Sabah itu kini terbiar dan bangunan itu sedikit masa lagi akan roboh jika tidak ada usaha untuk memuliharanya.
"Pperkara itu sungguh memalukan apatah lagi sekolah itu pernah menjadi sebuah sekolah utama kerajaan pada satu ketika dahulu.
"Kini bangunan sekolah itu hanya tinggal bangunan yang buruk menyakitkan mata memandang," katanya kepada Utusan Borneo.
Menurutnya, Dewan Turnbull atau lebih dikenali sebagai Turnbull Hall merupakan sebuah bangunan bersejarah dan meninggalkan banyak kenangan kepada bekas-bekas penuntutnya.
Sebelum ini, Utusan Borneo pernah menyiarkan keluhan seorang bekas penuntut sekolah itu yang berkata jiwanya sentiasa terusik apabila memikirkan nasib bangunan lama sekolah itu.
"Kenangan menghadiri perhimpunan mingguan, sambil menyanyi lagu `morning had broken', pertandingan drama dan majlis tari menari sentiasa mengusik jiwa," katanya.
Katanya, "bukan Dewan Turnbull itu saja yang menanti masa rebah ke bumi tetapi lain-lain bangunan bekas bilik darjah juga kini menunggu untuk rebah ke bumi dan dibiarkan kosong".
Menurutnya, bangunan yang dimaksudkan ialah bekas tapak sekolah lama Maktab Sabah atau dahulunya dikenali sebagai Sabah College yang ditinggalkan begitu saja sejak tahun 2000 apabila sekolah itu berpindah ke bangunan baru.
Maktab Sabah ditubuhkan pada tahun 1957 dan telah melahirkan ramai pemimpin negeri dan persekutuan.
Antara pemimpin yang pernah bersekolah di Maktab Sabah ialah Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Haji Aman, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan, Datuk Seri Panglima Haji Yahya Hussin, Menteri Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Masidi Manjun, Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat, Datuk Dr.Yee Moh Chai, Menteri Pembangunan Infrastruktur, Datuk Dr.Ewon Ebin, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Hajah Azizah Haji Mohd Dun dan Menteri di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Haji Nasir Tun Sakaran dan ramai lagi pembantu menteri .
Pemimpin di peringkat pusat yang pernah menjalani persekolahan di maktab itu ialah Menteri Pembangunan Luar Bandar , Datuk Haji Shafie Apdal, Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr.Maximus Ongkili.
Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Datuk Pandikar Amin Haji Mulia dan timbalannya, Datuk Ronald Kiandee dan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Haji Juhar Mahiruddin juga merupakan bekas pelajar Maktab Sabah.
Katanya, sehingga kini bangunan itu terus terbiar dan dilupakan dan kerajaan digesa supaya mengambil langkah menyelamatkan bangunan bersejarah itu.