Isnin, 20 Julai 2009

Katakanlah si penderma memiliki hati yang jahat?

Tags

"Katakanlah si penderma memiliki hati yang jahat, apakah si penerima organ juga akan turut memiliki hati yang jahat," Begitulah kira-kira antara pertanyaan yang dikemukakan dalam Forum sempena Kempen Promosi Pendermaan Organ. Si penanya, seorang pelajar, melihat hati dalam bentuk batini padahal yang didermakan itu hanyalah organ dalam bentuk fizikalnya.
Mujurlah Ustaz Norjam dapat menjawab persoalan itu dengan memuaskan. Timbul juga pertanyaan seperti seseorang yang telah mendermakan matanya, bila mati kelak, diakhirat nanti akan dibangkitkan dalam keadaan yang buta?
Saya fikir Ustaz Norjam dapat memberi jawapan yang memuaskan dengan memetik ayat Quran dan juga pendapat Ulama terkenal, Sheik Yusuf Qardhawi.Banyak silap faham dalam masyarakat kita mengenai derma organ ini.
Kementerian Kesihatan sedang berusaha meningkatkan kempen Promosi Pendermaan Organ di kalangan masyarakat bagi menambah bilangan pengikrar dan penderma organ bagi membantu menyelamatkan nyawa mereka yang memerlukan iaitu pesakit jantung, hati, paru-paru dan buah pinggang, kata Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Dr.Haji Marzukhi Md.Isa.
"Pendermaan organ merupakan satu amalan kebajikan terakhir yang sangat tinggi nilainya, yang boleh dilakukan oleh seseorang kepada insan lain selepas kematiannya.
"Dengan kata lain, seseorang insan masih boleh melakukan amalan kebajikan selepas meninggal dunia dengan mendermakan organ mereka seperti jantung, paru-paru, hati dan buah pingggang kepada insan lain," katanya.
"Ini kerana pemindahan organ atau transplan terbukti merupakan satu kaedah rawatan yang boleh menyelamatkan nyawa bagi pesakit-pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggang peringkat akhir, hati, jantung dan paru-paru," katanya ketika merasmikan Forum Pendermaan Organ, Hospital Queen Elizabeth di Dewan Sri Kinabalu, Kompleks Tabung Haji, di ibu negeri pada 17 Julai lepas.
Bilangan pesakit yang memerlukan pemindahan organ jauh melebihi bilangan organ yang diperlukan, katanya sambil menambah, setiap tahun lebih 2,500 pesakit baru mengalami kegagalan akhir buah pinggang.
"Sehingga tahun 2006, seramai 13,000 pesakit buah pinggang sedang menjalani rawatan dialysis dimana 50 peratus daripada mereka sedang menunggu pemindahan organ," katanya.
"Manakala bagi pesakit yang mengalami kegagalan jantung, hati dan paru-paru ramai yang meninggal dunia semasa menunggu untuk mendapatkan organ yang baru. Lebih daripada 50 % daripada mereka sedang menunggu kegagalan jantung meninggal dunia dalam penantian," katanya.
Menyingkap sejarah pemindahan organ di negara ini, beliau memberiathu, kejayaan pemindahan organ buah pinggang yang pertama di Malaysia dijalankan pada tahun 1975.
"Sehingga Disember 2006 sebanyak 1,143 pemindahan buah pinggang telah dijalankan manakala kadar kejayaan hidup bagi pemindahan buah pinggang adalah lebih 95 peratus bagi tahun pertama, 90.0 peratus pada tahun ke lima dan lebih 75.0 peratus pada tahun ke-10. Penerima buah pinggang yang pertama ini telah hidup selama 31 tahun," katanya.
Sementara itu, pemindahan jantung yang pertama dilakukan pada tahun 1997.Sebanyak 17 pemindahan jantung telah dijalankan sehingga Disember 2006. Pada amnya kadar daya hidup bagi pemindahan jantung adalah 85 peratus bagi tahun pertama, 70 peratus bagi tahun kelima dan 50 peratus bagi tahun kesepuluh. Setakat ini terdapat penerima jantung yang masih hidup setelah 9 tahun menjalani pemindahan jantung.
"Pemindahan paru-paru (single) yang pertama ialah pada Disember 2005 dan pemindahan paru-paru (double) pada Mei 2006. Pemindahan hati di Malaysia pula bermula sejak tahun 1995 dan sehingga Disember 2006 lebih daripada 70 pemindahan telah dijalankan ke atas orang dewasa dan kanak-kanak dan 10 daripadanya adalah melibatkan penderma kadaverik (selepas kematian).
Malaysia juga telah mencatatkan sejarah apabila berjaya melakukan pemindahan tangan pertama di dunia yang melibatkan kanak-kanak berumu 1 bulan pada tahun 2000, katanya lagi.Beliau berkata,Walau bagaimanapun, kadar pendermaan organ masih rendah jika dibandingkan dengan negara-negara lain.
Mengikut Laporan Medical Development Division Review, Kementerian Kesihatan Malaysia pada tahun 2004, kadar pendermaan organ di Malausia ialah 0.67 orang bagi setiap sejuta penduduk; berbanding dengan Sepanyol kadar penderma orgnan ialah 34.6 orang bagi sejuta penduduk dan Amerika Syarikat 24.1 orang bagi setiap sejuta penduduk. Manakala Arab Saudi kadar pendermaan organnya ialah 2.3 orang bagi setiap sejuta penduduk.
Walaupun pesakit buah pinggang mempunyai rawatan alternatif dengan dialisis tetapi kos rawatan hemodialisis di pusat rawatan swasta adalah di antara RM120-RM300 bagi satu sesi. Maka seorang pesakit memerlukan rawatan sebanyak 3 sesi seminggu dan mereka terpaksa membelanjakan RM1500 hingga RM3,600. sebulan tidak termasuk kos perubatan dan kos lain-lain.
Jangkamasa pesakit menunggu untuk mendapatkan pemindahan buah pinggang adalah sehingga 16 hingga 20 tahun.
Menurutnya, sesiapa saja di Malaysia boleh menjadi pengikrar untuk menderma organ seperti jantung, paru-paru, hati dan buah pinggang.Manakala tisu yang boleh kita dermakan ialah mata, kulit, sum-sum tulang, injap jantung dan uri. katanya.
Teks ucapannya dibacakan oleh Timbalan Pengarah Kesihartan Sabah, Dr Enoch Tan.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Ketua Penolong Pengarah (Klinikal) Hospital QEH, Dr.Yusmaniza Abd.Rashid, Ketua Jabatan Anestesiologi, Hospital Queen Elizabeth Dr.Lily Ng Moi Hang dan Ketua Unit Promosi Kesihatan, Abd.Razak Md.Noh yang juga Pengerusi penganjur Forum Penderma Organ Hospital Queen Elizabeth.