Khamis, 23 Julai 2009

`Malaysia' digunakan 74 tahun sebelum pembentukan Malaysia

Tags



NAMA MALAYSIA DIGUNAKAN 74 TAHUN SEBELUM PEMBENTUKAN MALAYSIA


KOTA KINABALU: Nama `Malaysia' sudah digunakan 74 tahun sebelum pembentukan negara Malaysia pada 16 September 1963, kata seorang sejarawan dan ahli akademik,Profesor Madya Mat Zin Mat Kib.
Beliau berkata, perkataan itu digunakan dalam akhbar The British North Borneo Herald terbitan 1 Januari 1889 dalam satu nota laporan oleh J.E Tenison-Woods, seorang ahli kehormat Royal Asiatic Society bertajuk `Geographical Notes in Malaysia and Asia'.
Penemuan ini membetulkan kajian awal yang dibuat oleh pihak Arkib Negeri Sabah yang menyatakan bahawa perkataan Malaysia mula digunakan pada 1 JulaI 1929 keluaran akhbar yang sama, katanya kepada Utusan Borneo, kelmarin.
Prof.Madya Mat Zin, yang juga seorang pensyarah di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA Sabah mula terlibat dalam kajian sejarah sejak 1984 dan pernah membentangkan kertas kerja di peringkat kebangsaan dan antarabangsa manakala artikel kajiannya telah diterbitkan dalam pelbagai di dalam dan luar negeri.
Setakat ini, beliau telah menyunting beberapa buah buku dan menghasilkan buku antaranya, Kristian di Sabah 1884-1994 terbitan UKM dan Persatuan Buruh Keretapi Maut Siam- Burma terbitan UiTM.
"Sebelum ini, kita hanya tahu `Malaysia' digunakan apabila Sabah, Sarawak, Singapura dan Malaya membentuk sebuah negara baru yang diberi nama `Malaysia', pada 16 September 1963" katanya yang juga Ahli Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Sabah (PSMCS).
Sementara itu, akhbar The British North Borneo Herald pada 1 Julai 1929 menyiarkan rencana mengenai Gunung Kinabalu, yang menunjukkan gunung setinggi 13,455 kaki yang nemiliki pelbagai flora dan fauna yang unik merupakan gunung tertinggi di Malaysia.
"Itu bermakna nama Malaysia telah digunakan terlebih dahulu sebelum pembentukan Malaysia seperti yang terkandung dalam catatan sejarah yang ditemui itu," katanya.
Bagaimanapun, penemuan nama Malaysia yang digunakan lebih awal iaitu pada 1 Januari 1889 membuktikan bahawa nama Malaysia telah digunakan secara meluas oleh orientalis barat bagi merujuk kawasan Semenanjung Tanah Melayu dan kepulauan di kawasan Nusantara.
Katanya,Laporan yang dibuat oleh J.E Tenison-Woods dalam `Geographical Notes in Malaysia and Asia' memberikan maklumat ringkas mengenai catatan perjalanannya ke Semenanjung Tanah Melayu, Labuan, Brunei, Gaya, Sandakan di Borneo dan juga kunjungannya ke Sulu sekitar tahun 1883 hingga 1886 menggunakan HMS Pegasus.
Penemuan ini sekaligus merangsang para sejarawan untuk mengkaji lebih mendalam lagi mengenai kewujudan nama `Malaysia' dalam sejarah negara, katanya.



INI SEJARAH....Nama Malaysia digunakan sejak 1889, kata Prof.Madya Mat Zin Mat Kib sambil menunjukkan keratan akhbar The British North Borneo Herald.

2 comments

salam.. kena cek.. bahan kertas yang digunakan

aku mmg percaya dengan agenda ini. byk penipuan dan keraguan terhadap negara dan kerajaan kita. nice post admin. TQ