Monday, July 27, 2009

Maryamah Karpov-kisahmu menakjubkan

Sebaik-baik Maryamah Karpov sampai di Kota Kinabalu, saya terus bermesra dengannya. Dan hanya dalam waktu tiga hari, di tengah-tengah kesibukan sebagai wartawan, novel karangan Andrea Hirata itu habis saya baca. Sebelum ini, kesemua novelnya Lasykar Pelangi, Sang Pemimpi dan Edensor telahpun saya baca kesemuanya. Agak menarik juga diceritakan kerana Maryamah Karpov saya beli dengan cara yang lain. Iaitu melalui online www.ujanailmu.com.my dan pesanan itu sampai dalam tempoh dua hari kemudian.Sangat efisien dan boleh dikatakan cepat.

Novel Maryamah Karpov ini memang sangat menarik. Ia menggambarkan keberanian dan keteguhan hati seorang lelaki Melayu Belitong bernama Ikal yang mengembara hampir ke seluruh dunia untuk mencari A Ling. A Ling bukan saja seorang perempuan yang berjaya menakluk hati Ikal, tapi perempuan inilah yang menjadi sumber inspirasi Ikal sehingga beliau berjaya menjejakkan kaki ke universiti Sorbonne, yang merupakan sebuah universiti terbaik di dunia yang terletak di Perancis.Pencariannya terhadap A Ling sebenarnya adalah pencariannya terhadap dirinya sendiri. Dan ketika akhirnya, beliau menemui A Ling di sebuah pulau di gugusan Pulau Batuan, selepas menyusur dari Karimata, berminggu-minggu lamanya, Ikal bukan saja berjuang untuk menemukan perempuan itu malah dia juga berjuang untuk harga dirinya.

Kisah Maryamah Karpov memang menakjubkan.Kadang-kadang ia membuat saya tertawa apabila Ikal bercerita mengenai kebiasaan masyarakat Melayu Belitung, pandangan hidup mereka dan sebgainya, tetapi sebaliknya kisah ini juga mengharukan saya. Saya tertarik dengan pelukisannya mengenai lanun asli yang tersisa, Dayang Kaw dan juga mengenai orang sawang-orang bersarung dan sebagainya.

Kekuatan novel ini terletak bukan semata kerana kehebatan pengarang merangkai ayat-ayatnya, bukan setakat sihir kata-katanya tetapi juga kerana muatan ilmu yang terdapat di dalamnya.

2 comments:

azmah nordin said...

sdr Nadin :) menarik sakali tulisan anda. Di mana saya boleh dptkan karya hebat ini? Pinjam boleh? hehehe

Pena Alam said...

sifu, pa'al pun nak pinjam juga..hehe.. laskar pelangi itu baru satu bab habis abg. nad, hehehe