Isnin, 13 Julai 2009

masyarakat perlu minda kreatif

Tags



MASYARAKAT PERLU MINDA KREATIF

PITAS: Masyarakat hari ini perlu mempunyai minda yang kreatif agar mereka mampu berinteraksi dengan sopan dan beretika dalam kehidupan seharian, kata Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Bolkiah Haji Ismail.
"Menikmati sastera kreatif pada hari ini bukan lagi satu perkara yang boleh dianggap sekadar bermain-main dengan emosi sahaja tetapi melalui karya-karya kreatif pembaca akan dapat membuka cakerawala minda yang lebih kritis dan dinamik," katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Pitas.
Beliau berkata, kesudian DBP Cawangan Sabah membawa pelbagai kegiatan di daerah Pitas membantu mendedahkan masyarakat di daerah itu dalam pelbagai kegiatan bersifat keilmuan.
"Ini menunjukkan bahawa agensi-agensi kerajaan persekutuan sentiasa menyokong pelbagai usaha kerajaan negeri memajukan masyarakat bukan saja dalam konteks pembangunan fizikal tetapi juga dalam pembangunan mentalmasyarakat," katanya ketika merasmikan Malam Baca Puisi Juri Durabi di Dewan Serbaguna Pitas, malam kelmarin.
Teks ucapannya dibacakan oleh Pemimpin Kemajuan Rakyat, Mohd. Lahab Enul.
"Kejayaan Juri Durabi sebagai sasterawan di negeri ini telah mengangkat imej daerah Pitas dan ini amat membanggakan," katanya sambil melahirkan keyakinan bahawa daerah Pitas mampu melahirkan lagi penulis-penulis baru dengan sokongan dan bimbingan dari Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah.
Katanya, puisi-puisi Juri Durabi memberikan tafsiran tentang kehidupan masyarakat bukan sahaja di Pitas tetapi rakyat Malaysia secara keseluruhannya.
"Melalui seni kreatifnya kita akan dapat membaca ketajaman cetusan hati nurani Juri melalui pemilihan kata-kata yang puitis dan penuh bermakna," katanya.
Sementara itu, Pengarah DBP Sabah, Zubaidi Abas berkata Malam Baca Puisi Juri Durabi dianjurkan oleh DBP Cawangan Sabah sebagai penghargaan kepada penulis dan golongan sasterawan atas sumbangan mereka terhadap pembangunan minda masyarakat melalui karya-karya dalam bentuk puisi, cerpen dan sebagainya.
"Malam Baca puisi Juri Durabi diadakan sebagai salah satu usaha DBP cawangan Sabah untuk memperkenalkan golongan penulis dan sasterawan serta karya-karya mereka kepada masyarakat," katanya sambil menambah, negara-negara maju menghargai karya dan golongan sasterawan.
"Di negara maju, karya Karya penulis dibaca dan dihargai, serta golongan sasterawan diberi penghormatan dan ditempatkan di kedudukan yang sewajarnya tetapi masyarakat di negara kita masih kurang memnbaca dan menghargai karya-karya sastera.," katanya.
Golongan sasterawan masih `terpinggir' tidak dikenali masyarakat, apatahlagi diberi penghormatan yang sewajarnya sesuai dengan sumbangan besar mereka kepada pembangunan minda masyarakat,kata Zubaidi.
Malam Baca Puisi Juri Durabi diserikan dengan pembacaan puisi oleh Juri Durabi, penulis kelahirkan Kampung Kusilad Pitas, Timbalan Yang Di Pertua Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA) Ramli AR, Juara Sayembara Deklamasi Puisi Kebangsaan, Dulamid Rudin, Ng Loi Tect, Naib Ketua UMNO Bahagian Pitas, Harun Durabi, lagu puisi oleh Rablin Nordin dan lain-lain lagi.




1 comments so far

Ada lagi seorang penulis kelahiran Melubang Pitas Jair Sulai perlu diberikan ruang seperti program ini, kerana kehebatannya dalam bidang penulisan khususnya puisi juga perlu dihargai dan jangan lupa program ini juga perlu beterusan ke lain lain daerah menjejaki para penulis yang telah memberikan sumbangan kepada bidang kesusteraan di Sabah
Salam tahniah DBP cawangan sabah