Ahad, 26 Julai 2009

Terkenang perjalanan ke Jawi Jawi

Tags




Kami solat Jumaat di Masjid Lok Batik.Jemaah tidak begitu ramai. Ada satu bas dari SMK Teknik Kudat yang turut singgah. Edui memberitahu bahawa sering juga dia bertemu dengan rakan-rakan sekampung yang baru pulang main golf di Tuaran.
Khatibnya bersahaja. Khutbahnya datar tapi saya melihat keikhlasan di wajahnya.
Selepas berjumaat, kami terus bergegas pulang kerana acara bermula jam 2.30 di SK Jawi-Jawi. Tapi oleh kerana masih awal, kami sempat singgah di warung tepi jalan dan menikmati air tebu. Saya melihat penjual itu memasukkan batang tebu empat lima kali ke dalam mesin pengisar. Di pekan KB, sambil menunggu waktu, saya mengajak Edui ke Restoran Pandan. Saya teringat ada kuih pau kacang yang sedap di sana.
Telefon berdering menanyakan dimana kami berada. Seketika itu juga, kami sudah meluncur laju ke Jawi-Jawi.
Saya melihat Saudara Asli, Setiausaha Biro Pendidikan UMNO KB sudah menunggu. Juga saudara Roslan Haji Manshor, Pengerusi Biro Pendidikan UMNO KB sedang menanti ketibaan Ketua Bahagian, Datuk Seri Panglima Salleh Tun Said yang juga Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah.
Sebenarnya saya kurang yakin dengan kehadiran Datuk Salleh. Kalau tidak silap, petang sebelumnya beliau berada di Kuala Lumpur.
Ketika menunggu nunggu itu, saya sempat bersalaman dengan Ustaz Abd.Aziz Rejab, ustaz yang mengajar saya selama enam tahun sewaktu menuntut SRK Tamau. Beliau tidak lagi balik ke kampungnya di Johor setelah sebahagian usianya dihabiskan untuk berbakti di Sabah.
Pengerusi PIBG Sk Jawi-Jawi ialah Derisa Sidin, yang juga kerabat kami. Guru Besar Maznie Mohd.Said rupanya masih mengajar.
Tidak lama kemudian Datuk Salleh tiba. Ketibaan mantan Ketua Menteri ini disambut oleh ibubapa dan JK penganjur.Beliau tersenyum. Apabila kami berjabat tangan, beliau serta merta bercerita mengenai Facebook.Masukkan di Facebook, katanya setengah bergurau. Sepanjang yang saya kenali, beliau seorang yang tidak gemar protokol.Kadang-kadang beliau datang lebih awal ke sesuatu majlis, menyebabkan JK penganjur tersipu-sipu juga.
Beliau menjadi orang besar di negeri ini, ketika saya mula menjadi wartawan di Utusan Borneo pada tahun 1994. Saya kira beliau seorang pemimpin yang punya wibawa dan kualiti kepimpinan yang tinggi.
Memang, ada beberapa hal juga yang saya tidak setuju dengan beliau ini tetapi tidaklah berlebihan kalau saya katakan beliau adalah antara Ketua Menteri Sabah yang terbaik yang pernah dimiliki negeri ini.Sayangnya beliau menjadi Ketua Menteri dalam jangkawaktu yang agak singkat, dan kita kehilangan seorang pemimpin yang berwibawa.
Dipenghujung khidmatnya sebagai Ketua Menteri saya pernah bertanya, akan kemana beliau selepas itu.
Beliau tidak menjawab dengan jelas dan menyerahkan kepada kebijaksanaan pucuk pimpinan. Saya membuat kesimpulan sendiri bahawa beliau tidak akan menerima portfolio di KL waktu itu kecuali diberi jawatan yang penting, misalnya Menteri Pendidikan. Tetapi waktu berlalu, dan beliau tetap istiqamah dalam perjuangannya malah pernah tidak bertanding jawatan Ketua Bahagian.
Beliau mengistilahkan dirinya pemimpin masyarakat juga seorang ahli politik.
Tetapi keprihatinan beliau terhadap betapa pentingnya pelajaran di kalangan anak-anak terbukti atas kehadirannya dalam majlis anjuran PIBG SK Jawi-Jawi dan Biro Pendidikan UMNO Bahagian di bawah pimpinan Roslan Haji Manshor.
"Sebagai seorang pendidik, sudah tentulah saudara Roslan tahu mengenai bagaimana memajukan bidang pendidikan," katanya dalam ucapannya.
Program yang dianjurkan oleh Biro Pendidikan UMNO KB dengan kerjasama PIBG SK Jawi-Jawi itu sesungguhnya mampu memberi semangat kepada pelajar.
Saya juga terkesan betapa UMNO mementingkan dan memberi ruang kepada tenaga-tenaga muda dan pemimpin-pemimpin pelapis ketika membaca barisan AJK Biro Pendidikan UMNO KB itu. Syabas dan tahniah.
Apa yang agak mengharukan saya ialah Edui. Edui atau Ustaz Daiman itu merupakan seorang senior saya dan kami berjiran.Beliaulah yang meminta saya datang. Walaupun dikepung oleh kesibukan, permintaan beliau itu sukar ditolak. Saya ingat waktu masih remaja dulu, beliau prihatin terhadap saya. Kadang-kadang bila balik dari Semenanjung, beliau memberikan saya hadiah baju batik dan sebagainya.Ketika beliau kuliah di Bandung, beliau tidak lupa. Bila beliau pulang, saya sering bertandang ke rumahnya, kadang berbincang banyak perkara.
Banyak jasa dan baktinya kepada saya. Dan ketika beliau meminta saya hadir untuk buat liputan, saya setuju datang walaupun saya tahu, banyak program di KK.
Selepas acara itu, selepas minum di Kotaraya, beliau menghantar saya ke perhentian bas. Teksi sudah tiada.bas juga tiada.Akhirnya saya menumpang kereta sapu.

2 comments

Sdra Abd Naddin,Salam perkenalan.

Agak nya ini lah pertama kali saya bagi komen di blog sdra ini, Ya?
Apa yang menarik hati saya ia lah cerita yang selamba namun penuh bermakna.

Tidak banyak cerita poltik yang tidak berketantuan. Walau pun pada hakikat nya, acara hari itu di hadiri olah warga politik.
Atau mungkin agenda nya ada lah bertujuan politik.

Namun, sentuhan kemanusian, ciri hormat dan menghormati maseh di kekalkan.

Salam dan teruskan menulis hal-hal saperti ini.

Terima kasih saudara Solymone,
perlu saya catatkan bahawa saya amat menghargai komen saudara di blog saya. Terima kasih.Saya cepat rasa terharu bila diberitahu ada orang yang membaca tulisan saya, apatahlagi orang yang membaca itu pula, bukan calang-calang orangnya. Terima kasih sebelum dan sesudahnya.