Wednesday, July 8, 2009

TWU-BKI 8 Julai 2009




i-Hujan turun dengan lebat di Tawau pagi tadi.Saya sedang bersiap-siap untuk mengejar bas ke airport Tawau yang akan berangkat jam 8.30 pagi.Flight jam 10.45 pagi ke Kota Kinabalu. Jadi ada sedikit masa lagi yang tersisa tetapi tidaklah sempat minum bersama isteri kerana kami tiba hanya beberapa minit sebelum bas berangkat.
Tambang bas dari bandar ke lapangan terbang Tawau yang jauhnya kira-kira 40 minit perjalanan itu ialah RM10.00. Saya berazam untuk menghabiskan buku mengenai perang Vietnam dan derita rakyat di Indocina karangan seorang penulis Perancis yang kini sedang bermastautin di Amerika.
Selepas check in, saya mengajak Husin Akiah untuk minum di Kantin. Anak muda ini,orang kampung saya bekerja di lapangan terbang Tawau. Kami sempat berkongsi banyak cerita sambil minum. Telah menjadi kebiasaan saya-satu kebiasaan yang saya contohi dari mentor saya, arwah Dr.Datu Bandira, iaitu dimana saja daerah kami sampai, kami tidak akan lupa mencari orang Iranun atau orang KB yang bekerja di sana. Selain Husin, ada juga orang Iranun dari Tungku bernama Naim yang bekerja di sana.Saya tak sempat menemuinya. Saya beritahu Husin, bahawa sepanjang pengalaman saya orang Iranun di Kota Belud dan di Tungku itu sama cara berfikirnya. Bezanya orang Iranun di Tungku dapat melihat matahari ketika ia terbit dari Laut Sulu manakala orang Iranun di KB hanya dapat melihat matahari terbenam di laut china selatan. Kemudian ada beberapa perkataan yang berbeza pengertiannya misalnya jika Iranun Tungku berkata, tibaw ia membawa maksud melawat atau menziarahi sedangkan maksud tibaw bagi Iranun KB ialah menziarahi orang atau keluarga yang meninggal. Meninggal dunia, bagi orang Iranun KB boleh disebut `nya pantag' yang boleh diertikan bahawa si mati sedang ditunggu oleh sang maut tetapi bagi Iranun Tungku, nya saut atau nya raut, yang boleh membawa maksud ia dikejar maut.

ii- Saya teringat sewaktu mengambil anak di sekolah Yuk Chin, teksi yang saya tumpangi melalui sebatang jalan. Ada papan tanda yang berbunyi `di sini ada jual batu nisan'. Saya tak sempat bertanya berapa harganya.

iii-Saya tertidur sepanjang perjalanan itu. Saya agak ngeri jjuga melihat gadis-gadis yang menutup mulut dan hidung mereka kerana khuatirkan H1N1. Tawau mencatat empat kes, setakat ini, dan menurut kata Shamry,wartawan kami di Tawau, salah satunya di eastern plaza.

iv. Turun dari kapal terbang, saya bergegas naik teksi ke Suhakam.Prof.Datuk Hamdan Adnan sudah menunggu. Saya sudah lama tidak bertemu mantan pesuruhjaya Suhakam yang lantang mengenai isu-isu hak asasi manusia.Beliau juga seorang tokoh isu-isu kepenggunaan.Janji jam 12.30 tengahari.

v. Tambang teksi dari Terminal Dua ke Centre Point ialah RM20.00. Kemungkinan akan naik lagi, kata Suhaili , pemandu Teksi, orang kampung Lokub itu. Mengikut maklumat, ia akan naik kepada RM30 mulai 18 julai, konon atas arahan LPKP. Beliau mengeluh juga mengenai kenaikan itu. Harga minyak sekarang RM1.80 seliter dan kemungkinan naik Rm0.20 bulan September, mereka dimaklumkan begitu. Tambang dari Terminal Dua Air Asia ke UMS kini RM35 manakala ke UiTM RM40. Kadang-kadang ada pelajar baru yang minta dihantar ke Kampung A atau Kampung B, jauh jaraknya. Sudah tentulah meningkat kosnya tetapi beliau tidaklah berkira sangat kerana mereka student.

vi- Prof.Hamdan memberitahu mengenai satu kes ada orang menggunakan nama Suhakam untuk mengutip sejumlah wang di Lahad Datu. Dia sebagai bekas pesuruhjaya Suhakam meminta orang ramai jangan tertipu jika berjumpa orang-orang seperti ini.

vii-Isu lain yang kami bincangkan ialah harga barang. Kalau harga barang bermasak di negeri ini jauh lebih tinggi berbanding di Semenanjung padahal harga ikan, harga sayur, barangan mentah lebih murah.Gaji di Sabah lebih rendah berbanding di Semenanjung sementara harga paku, harga simen, bahan binaan, harga rumah, Sabah lebih tinggi. Kata penasihat FOMCA ini, adalah wajar jika kerajaan menguatkuasakan konsep 1 harga di seluruh Malaysia supaya konsep 1 Malaysia dapat direalisasikan dengan segera.

viii- Kawan saya Jip, minta saya ke Tanjung Aru. Tetapi oleh kerana saya sibuk, beliau hanya meminjam kamera untuk syuting filem. Mungkin watak pelakon itu memerlukan kamera, mungkin watak yang dilakonkannya watak seorang wartawan.

ix-Kemudian saya ke Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI) di Kota Kinabalu. Warga Indonesia keluar mengundi untuk pilihanraya Presiden. Presiden Susilo Bambang Yudhoyono yang berpasangan dengan Prof.Dr.Boediono bersaing dengan pasangan H Jusuf Kalla dengan Jenderal (B) Wiranto manakala Megawati Sukarnoputri berpasangan dengan H.Prabowo Subianto. Jika tak ada yang berjaya meraih 50 persen undi, pusingan kedua akan diadakan pada September depan. Saya sempat menemubual Pemangku Konjen, Bapak Rudhito Widagdo mengenai perjalanan pilihanraya itu. Berjalan lancar, katanya dan pihak majikan juga memberikan kerjasama. Selain itu, hebahan mengenai pengundian itu dibuat melalui surat khabar, radio, tv, malah melalui persembahan dangdut.

x- Selepas itu, saya sempat dipelawa makan kacang dan jagung rebus sebelum menemui Haji Mustapha yang tergesa-gesa mencari saya untuk melaporkan mengenai isteri adik iparnya yang kehilangan pasport. Hari yang melelahkan tetapi beginilah kerja kami.

1 comment:

Mariani Abdullah said...

Rindunya dengan Tawau, ndak sabar mo balik..hehe