Thursday, August 27, 2009

Dari gesekan biola Tun

Biola tuanya masih tersimpan di sana.
Satu waktu, biola tua itu menyelamatkan dia dari dibunuh Tentera Jepun. Kalau kepalanya dipenggal, saya tidak dapat membayangkan apa yang berlaku kepada kita hari ini. Banyak kali beliau terlibat dalam pertempuran demi pertempuran melawan tentera maharaja Hirohito itu. Ketika perang dunia kedua itu, beliau dianggap telah menyelamatkan nyawa ramai orang di utara Sabah sehingga ramai orang tua berkata," jangan derhaka, kalau bukan beliau Tun...".

`Beliau Tun', itulah antara nama yang biasa digunakan untuk menyebut Almarhum Tun Datu Mustapha Datu Harun oleh penyokong-penyokongnya. `Beliau Tun' adalah satu sebutan betapa tokoh itu begitu di`tua'kan dan dihormati.

Pagi itu kami sengaja berkunjung Galeri Tun Mustapha. Rashid sedang mencari bahan-bahan mengenai Tun Datu Mustapha Datu Harun untuk ditulis dalam Utusan Malaysia.
"Kenapa tidak banyak buku yang ditulis mengenai perjuangan dan sumbangan Tun," tanyanya kepada saya."Banyak bahan sejarah yang perlu ditulis belum ditulis".

Saya membiarkan pertanyaan itu berlalu kerana dalam fikiran saya banyak benarnya pertanyaan itu.

Dari biola, saya melihat topi yang selalu dipakainya. Pernah dulu ketika berselisih faham dengan isterinya, Toh Puan membuang topi itu tetapi ia kemudian disimpan oleh sahabatnya.
Ketika menjadi Ketua Menteri dahulu, saya melihat beliau Tun selalu tidak lupa memakai topinya.

Banyak hal yang menarik mengenai beliau Tun ini. Satu ketika selepas satu majlis di Wisma MUIS kira-kira pada tahun , ketika Datuk Najib yang datang, untuk merasmikan kemasukan UMNO Ke Sabah.

Saya ingat beliau Tun dihadang oleh seorang tua, yang tidak berselipar dan memakai pakaian apa adanya. Ketika itu beliau Tun begitu terharu dan cepat memperkenalkan kepada Datuk Najib bahawa orang tua itu merupakan rakan seperjuangannya ketika perang gerila melawan Jepun dulu.

Datuk Najib mengangguk-angguk ketika diperkenalkan orang tua itu.Sayang sekali kerana saya tidak sempat menemuramahnya. Tapi peristiwa ini membuktikan betapa dekatnya Tun dengan rakyatnya.

Apakah yang istimewa terhadap tokoh yang dilahirkan pada 31 Julai 1918 di kampung Limau-Limauan Kudat ini.Beliau merupakan anak keempat dari sembilan adik beradik. Ayahnya, Datu Harun merupakan Ketua Anak Negeri ketika pemerintahan British tetapi kehidupan mereka tetap miskin. Pada tahun 1928, beliau menjadi peon dan bekerja sebagai pembantu di rumah Residen Kudat Waktu itu.

Ketika itu usianya baru 10 tahun. Empat tahun kemudian, iaitu pada tahun 1932, beliau menjejakkan kaki ke alam persekolahan di Sekolah st.James Kudat.Malangnya, Tun hanya sempat bersekolah selama sembilan bulan dan terpaksa berhenti kerana kemiskinan.



Bagaimanapun, pada tahun 1934, beliau mendapat kerja sebagai Office Orderly.Tiga tahun kemudian iaitu pada tahun 1938,Beliau Tun dilantik sebagai Ketua Anak Negeri Kelas Pertama yang membawa gelaran Orang Kaya-Kaya.

Namun tidak lama kemudian Perang Dunia Kedua Meletus. Jepun datang ke Kudat. Beliau Tun, kerana kedudukannya yang tinggi dalam masyarakat kemudian dilantik bekerja dengan Jepun. Tun banyak membantu melepaskan orang tempatan daripada siksaan Jepun.namun satu hari beliau dituduh sebagai talibarut British dan kemudian dihukum penggal kepala.

Disinilah beliau memainkan biolanya yang merdu.Memainkan lagu kegemaran Jepun sehinggalah beliau terlepas daripada dibunuh. Selepas itu, beliau lari ke Filipina dan disana dia berlatih gerila.Tidak lama kemudian beliau melancarkan melawan Jepun secara gerila. Dari pangkat prebet, beliau dilantik sebagai Leftenan dan kemudian kapten pada September 1945.

Apabila Perang Dunia tamat, Tun bersama sembilan orang lagi dari Sabah menyertai Victory Parade di London pada tahun 1946.

Pada tahun 1951 hingga 1952, Beliau Tun dihantar menjalani kursus Rural Industry Development Authority (RIDA) di Maktab Pertanian Serdang (kini Universiti Putra Malaysia)
Beberapa tahun kemudian iaitu pada tahun 1959, beliau dihantar berkursus di England mendalami Bahasa inggeris dan mempelajari bidang pentadbiran kerajaan.

Ketika itu gerakan untuk membebaskan diri dari belenggu kolonialisme pecah di negara-negara jajahan.Di sanalah, Tun menyaksikan betapa tidak beruntungnya menjadi orang yang dijajah.

Sekembalinya ke tanahair, bersama rakan-rakannya beliau menubuhkan United Sabah National Organization (USNO) pada 24 Disember 1961, nama yang terilham daripada nama UMNO di Semenanjung yang ditubuhkan pada tahun 1946 dan memerdekakan Tanha Melayu pada 31 Ogos 1957.

Setelah menjalani proses yang cukup genting dan penting, maka pada 16 September 1963, bendera Union Jack diturunkan di padang bandaran bagi memberi laluan kepada lahirnya sebuah negara baru yang merangkumkan Sabah, Sarawak, Singapura dan Malaya sebagai sebuah negara baru bernama Malaysia.

Beliau Tun dilantik sebagai Yang DiPertua Negara manakala Tun Fuad Stephens sebagai Ketua Menteri Sabah yang pertama.

Beliau Tun yang mengilhamkan tertubuhnya Lembaga Padi Sabah, SEDCO, Lembaga Tabung Getah dan sebagainya. Beliaulah yang mengilhamkan lahirnya Yayasan Sabah, menubuhkan Yayasan Sabah-ITM (YS ITM) dan mendorong UKM membuka cawangan nya di sabah pada tahun 1974.

"Kesemua wang yang dibelanjakan bagi pelajaran dan penggalakan pengetahuan sebenarnya adalah suatu pelaburan jangka panjang yang akan mendatangkan pulangan yang tak dapat dinilai dengan wang ringgit,"katanya satu ketika.

Sebagai pencinta Bahasa Melayu, beliau yang berkhidmat sebagai Ketua Menteri ketika itu mengisytiharkan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi di sabah pada 15 September 1973 dan berkuatkuasa keesokan harinya.
Peminat lagu keroncong dan dendang rakyat ini, juga merupakan pemain bola yang disegani. Selain itu beliau juga meminati sukan golf.

Sebenarnya banyak lagi jasa Tun. Saya ingat seorang tokoh yang berjalan dengan tongkatnya, bersalam dengan rakyat yang menganggapnya sebagai pemimpin dan tokoh bangsa. beliau meninggal pada 3 Januari 1995 selepas mengalami sakit jantung.
Walaupun sudah 14 tahun Beliau Tun pergi, namun gesekan biola kadang terdengar mendayu tetapi tetap merdu hingga kini.

1 comment:

Mohd Isa Abd Razak said...

Salam.

Catatan ini amat bermanfaat dan dapat menjadi rujukan. Syabas!

Wassalam.