Tuesday, August 25, 2009

Bersama Dato' Aziz Sattar



saya tidak melepaskan peluang untuk bergambar dengan Seniman Dato' Aziz Sattar ketika beliau berada di Kota Kinabalu, minggu lalu.
Pasti ramai yang meminati Dato Aziz Sattar. Selain seniman agung Tan Sri P.Ramlee dan S.Shamsudin, pak Azizlah yang melengkap dan menyempurnakan trio bujang lapuk itu.
Sebenarnya kami pernah bergambar sebelum ini. Kedua-duanya dipotret oleh www.Jebat.net
rakan saya yang begitu baik hati itu.
Saya teringat ketika mula mula berkenalan dengan isteri dan mengirimkan foto kepadanya. Gambar sewaktu saya membaca puisi bertajuk kebenaran yang antara bunyinyua kebenaran adalah seperti seekor cicak, yang kita tangkap cuma ekornya sementara kepalanya terlepas.
Saya mengirimkan gambar itu, satu potret yang dekat, yang jelas supaya wajah saya dapat dilihat dan ditatap dengan baik oleh isteri saya.
Ada satu dialog Aziz Sattar ketika menunjuk muka Ahmad Nisfu.
Satu dialog yang antara lain berbunyi".....sungguhpun kau tidak kukenal tapi lubang hidungmu tetap menjadi pujaan hatiku".
Dialog yang lucu inilah yang dikatakan isteri ketika dia mengulas mengenai foto itu.
Itulah antara kenangan manis kami dan mungkin kerana itu, sampai sekarang dialog itu tetap saya hafal kerana `isteriku tetap menjadi pujaan hatiku'. Syukran.

1 comment:

Pena Alam said...

maintain juga dato kita ni ya, abg nad..:-)