Friday, August 21, 2009

Bertemu pelajar Jepun di Cenderamata Dua







Mulanya saya agak terkejut melihat pemuda Jepun itu duduk di bawah pintu gerbang cenderamata 2. Saya fikir dia mesti orang Jepun, atau kalau tidak pun orang Korea. Tapi buat apa dia di sini? Saya lihat dia membawa kamera, tentu dia datang untuk mengambil gambar pemandangan.
Kemudian saya terlihat lagi dua tiga orang rakannya. Saya mendekati mereka dan cuba bertanya. Tidak lama kemudian datang lagi rakan-rakannya yang lain.

Rupa-rupanya mereka pelajar dari Jepun, yang sedang melaksanakan apa yang mereka panggil `Borneo Project' dan disponsori oleh WASEDA Volunteer Center.
Rombongan 19 pelajar itu datang ke Kampung Cenderamata Dua Likas untuk meninjau bagaimana masyarakat kampung itu menguruskan sampah mereka sehingga diiktiraf oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) sebagai sebuah zon Kampung Tanpa Sampah.
Sebenarnya mereka ada projek pendidikan alam sekitar di Kampung Numbak. Dua hari lepas mereka mengunjungi Mayor Bandaraya Kinabalu, Datuk Iliyas Ibrahim yang menyarankan kepada mereka agar berkunjung ke Kampung Cenderamata Dua.
Mereka nampak gembira bila mengetahui saya seorang `reporter' yang kebetulan pula tinggal di Cenderamata Dua. Belum sempat lagi mereka bertanya, saya lebih dulu bertanya kepada mereka.
Mengikut Projek Leader, Masateru Konno, 20, projek Borneo itu dilaksanakan sejak 10 Ogos hingga 2 September bertujuan untuk menanamkan rasa cinta di kalangan masyarakat untuk mencintai alam sekitar. Mengikut jadual , dalam satu tahun mereka berkunjung ke Sabah sebanyak dua kali. Rakan-rakan kita dari Jepun ini sanggup datang demi cinta mereka kepada alam sekitar, yang selama ini selalu kita abaikan. Padahal negeri kita kaya dengan alam semulajadi yang indah.
Di Sabah, mereka ditemani oleh 4 pelajar UMS, antaranya Lisa. Oleh kerana saya tidak bisa bicara Jepun maka saya ajukan soalan kepada Lisa dan rakan-rakannya. Mujur Masateru boleh berkomunikasi dalam bahasa Inggeris.

Alangkah baiknya kalau saya boleh bercakap dalam bahasa Jepun. Mereka nampak gembira bila saya menyebut dua tiga patah perkataan Jepun yang saya tahu.Sebenarnya minat belajar bahasa Jepun ini sudah lama, iaitu ketika mula-mula dasar padang ke timur diperkenalkan Perdana Menteri Dr Mahathir. Saya sempat berkenalan dengan dua tiga orang Jepun seperti Ms Akiko Iino, Kobayashi, Yamamoto, juga Haji Arifin Nagai, konsul Jepun yang dulu. Sekarang saya cuba belajar dalam rakan-rakan dalam Facebook yang boleh bercakap Jepun seperti Pagel dari Jogja. Maka dapatlah saya memahami erti Moshi-moshi, Okaga desuka (apa khabar) , arigato (terima kasih) , sayonara (selamat tinggal), dan sumimasen (maaf) saya terpaksa menamatkan coretan ini.






1 comment:

Pena Alam said...

tahniah buat kampung abg nad! mesti ada cerita bagus ttg negara kita yg akan dibawa balik oleh budak2 jepun itu..:-)