Friday, August 21, 2009

Catatan Pelancaran Taqwim Jakim di Terminal 1











Mujur saya terbangun, kalau tidak mungkin akan terlambat lagi ke Terminal 1 KKIA. Saya minta Amai Shafiq menghantar saya ke lapangan terbang.Mulanya dia ingat saya tergesa kerana khuatir terlewat penerbangan, tapi saya memberitahunya saya perlu menghadiri sidang media.
Nurisz berharap sangat agar Utusan Borneo dapat datang. Kebetulan waktu dia menelefon kelmarin, kami agak sibuk dan assignment list belum dibuat lagi. Akhirnya saya yang pergi. Saya hairan kerana ini pertama kali no ic dan nama penuh saya diminta untuk buat liputan. Rupanya untuk tujuan keselamatan bagi membolehkan kami masuk hingga ke dalam pesawat. Saya ternampak Haji Azhar, Ustaz Nasrun, Ustazah Noor Aisyah dan ramai lagi orang Jakim, yang saya pernah terjumpa sebelum ini.

Waktu ada setengah jam lagi sebelum majlis dimulakan. Saya sempat ke tandas dan berselisih dengan orang-orang yang pada umumnya memakai topeng muka.
Sementara menunggu majlis perasmian, saya sempat bercakapcakap dengan Ustaz Nurjeli, pengetua di PLDK Keningau. Juga Ustaz Sakaria Samela, yang mengingatkan saya bahawa dia juga ada membaca tulisan saya di facebook. Lama juga saya tak nampak Haji Osman RTM, dan Alhamdulillah terjumpa penyiar veteran ini.Dia juga katanya, minta membaca blog, tapi tak ikut menulis.

Majlis Pelancaran Taqwim Berbuka Puasa dan Imsak 1430H/2009 M JAKIM itu disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri , Datuk Seri Panglima Haji Yahya Hussin yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan.
Program itu adalah anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Cawangan Sabah dengan kerjasama Pejabat Mufti Negeri Sabah, Malaysian Airlines System (MAS), Maswings Sdn.Bhd dan Malaysia Airport Berhad, Kota Kinabalu.

Beliau menyifatkan Taqwim Berbuka Puasa yang diperkenalkan oleh JAKIM Sabah bersaiz poket dan mudah dibawa ke mana sahaja terutamanya golongan musafir atau pengembara (traveler) yang terpaksa bermusafir untuk sesuatu urusan yang diharuskan oleh syarak.

Menurutnya, Taqwim itu juga bertujuan untuk memberikan maklumat yang tepat tentang waktu berbuka puasa dan imsak mengikut zon bagi seluruh negeri Sabah bagi tahun ini.

Tambahnya, usaha ini merupakan sebahagian dari aktiviti dakwah menerusi penerbitan Islam yang membina minda dan jiwa, serta memberi kefahaman tentang Islam dan isu-isu yang berkaitan dengannya kepada masyarakat umum.

Katanya, taqwim berbuka puasa dan imsak bersaiz poket itu juga turut menyediakan panduan ringkas puasa Ramadhan berserta zikir solat sunat tarawih dan solat sunat witir bagi memudahkan masyarakat yang tiada kesempatan waktu untuk membaca buku-buku panduan yang bersaiz tebal.

“Ini merupakan satu langkah yang amat kreatif untuk memastikan masyarakat kita mendapat ilmu pengetahuan yang berguna tentang amalan-amalan yang berkait rapat dengan bulan Ramadhan yang mulia ini,” tambahnya.

Menurutnya, sasaran edaran Taqwim tersebut ialah sebanyak 5,000 naskhah kepada penumpang-penumpang pesawat Maswings (bagi penerbangan dalam negeri Sabah) dan pesawat MAS ( bagi penerbangan destinasi Kuala Lumpur – Kota Kinabalu dan Kota Kinabalu – Kuala Lumpur ).

Yahya berkata, edaran sebegini merupakan pendekatan secara proaktif mengenai pemahaman tentang puasa Ramadhan secara berkesan oleh Jakim Cawangan Sabah yang mampu memberi kesan mendalam kepada masyarakat.

Yahya turut menyerahkan “mock” Taqwim Berbuka Puasa dan Imsak 1430H/2009M kepada MASwings Sdn.Bhd di majlis itu.
Selepas itu, kami dibawa ke lapangan terbang dan menyaksikan Datuk Yahya membahagikan taqwim itu kepada penumpang-penumpang Maswings.

Turut hadir di majlis itu ialah Mufti Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Haji Ahmad Alawi Haji Adnan, Pengarah JAKIM Cawangan Sabah, Ustaz Aziz bin Haji Mohamad, Pengurus Kawasan Sabah Malaysia Airlines, Morris Ong, Pengurus Wilayah Sabah MASwings Sdn. Bhd, Shauqi Ahmad, Setiausaha Politik Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Negeri, Haji Mahlan Zinin, Pengerusi Operasi MAB, Haji Hasbi Mohd.Said, Setiausaha Agong USIA, Datuk Abdullah Hussein.
Pulang dari airport, saya menumpang kereta saudara Kamarudin, seorang wartawan kanan di New Sabah Times. Banyak juga cerita sepanjang perjalanan itu, antaranya ialah fi il seorang kenalan kami yang, mudah-mudahan diberikan hidayah dan tidak mengulangi hal-hal yang membuatkan dia dipandang negatif.
photo credit kepada saudara Liaw Sin Kuang untuk dua gambar sebelah atas) dalam posting ini

No comments: