Monday, August 3, 2009

Catatan selepas membaca Jendela Menghadap Jalan

Novel Jendela Menghadap Jalan telah menghantar Ruhaini Matdarin sebagai salah seorang penulis yang terpenting di negara ini, khususnya dalam genre Novel Remaja. Ruhaini berjaya menempatkan namanya sebagai seorang penulis yang layak diperhitungkan apabila memenangi hadiah kedua Hadiah Sastera Utusan-Exxon Mobil baru-baru ini.
Saya sendiri baru saja selesai membaca buku yang ditulis oleh penulis dari Sabah itu. Meskipun lulus dalam bidang kewangan dari Universiti Sains Malaysia, beliau membuktikan bahawa dirinya pengarang yang berpotensi.Sebelum ini beliau telahpun menghasilkan beberapa novel remaja, salah satunya Gadis Adikara juga pernah dinobatkan sebagai pemenang Hadiah Sastera Sabah.
Jendela Menghadap Jalan bercerita mengenai seorang remaja berusia 17 tahun bernama Lili, yang balik ke kampungnya di Dungun. Di sana beliau diserkap tanda tanya menghadapi hampir kesemuanya rumah di kampung itu dibina dengan jendelanya menghadap jalan. Inilah persoalan yang bermain di minda Lili. Persoalan yang sering diajukan Datuk dan Neneknya, tetapi jawapan mereka sering ditangguhkan dan ini menambahkan lagi keingintahuan Lili. Di kampung itu, Lili bertemu dengan Danel dan Geetha, dua rakan yang kebetulan satu bas dengannya dalam perjalanan dari ibu kota. Banyak persoalan yang mahu dikemukakan penulis, yang dirangkainya dengan baik dan meyakinkan dalam novel ini.
Saya suka novel ini. Saya yakin sekiranya Ruhaini terus menulis dan memberi komitmen terhadap karyanya, beliau boleh pergi lebih jauh lagi, khususnya menulis dalam genre novel dewasa.

3 comments:

Pena Alam said...

tahniah utk ruhaini, abg. nad.. :-)

Ruhaini M said...

terima kasih bang kerana sudi membaca novel kecil saya, Insyaallah saranan menulis novel dewasa akan saya usahakan (bahkan dalam proses)

abd naddin said...

Saya menunggu kelahiran novel itu. Saya merasa tidak puas selepas membaca Jendela Menghadap Jalan. Jangan terhenti sampai disitu.Teruskan