Thursday, August 13, 2009

Mengenang seorang sahabat, setelah lima tahun dia pergi

Pertemuan kami yang pertama berlaku di Sandakan, pada satu hari di bulan Disember 1986. Saya masih seorang anak muda dengan jiwa yang menggelora dan penghujah ketika itu. Mungkin juga seorang pemberani kerana dalam usia yang baru meningkat 17 tahun dan baru pertama kali pula menyertai acara sebesar itu `Perkampungan Sasterawan 1986', saya sering berada di depan mikrofon untuk menghujah pendapat pembentang kertas kerja, yang kebanyakannya daripada golongan cendikiawan dan penulis terkemuka.

Saya juga tidak menolak apabila diminta membaca puisi di halaman rumah Presiden Majlis Perbandaran Sandakan, Kamarudin Lingham, di hadapan para profesor, pensyarah, sasterawan dan penulis kawakan dan terkenal.
Di antara tokoh yang hadir pada malam itu, terdapat seorang penulis, seorang pemimpin pergerakan kesusasteraan dan kebahasaan yang terkenal dari Pantai Timur Sabah bernama Datu Bandira.Dialah orang yang saya caricari ketika itu. Yang saya selalu dengar hanya namanya, dan belum lagi bertemu dengan orangnya.Datu Bandira, bagi saya ketika itu sungguh satu nama yang luar biasa.Beliau datang dari arah Pantai Timur kerana pada masa itu, beliau merupakan Pengerusi Badan Bahasa Tawau dan datang dengan rombongan yang besar dari bandar yang sinonim dengan tanaman koko pada tahun-tahun 80-an itu. . Ketika itu Datu Bandira Datu Alang bertugas sebagai seorang pegawai turus di Felda Sabah, yang beribu pejabat di Tawau.Orang ini lah yang kemudian menjadi mentor dan rakan saya yang paling akrab dalam bidang penulisan dan penyelidikan kebudayaan khususnya dalam budaya Iranun.

Kami berkongsi minat yang sama. Tetapi saya banyak mengikuti perkembangannya dalam bidang penulisan terutamanya apabila pada waktu itu timbul polemik mengenai sukubangsa Iranun di suratkhabar. Saya suka membaca perdebatan dalam akhbar itu, biarpun masing-masing penulis Datu Bandira Al Sabah dan BHSM punya kebenaran dan hujahnya yang tersendiri mengenai bangsa Iranun. Tapi saya suka dan kepada saya, ia menimbulkan minat dan dorongan yang begitu kuat untuk menulis. Ada juga polemik antara Datu Bandira dengan Khalid al Walid dalam akhbar watan. Cukup menarik untuk diikuti dengan sebagai anak muda ketika itu, hati saya terpaut untuk menjadi seorang penulis.
Ketika bertugas sebagai Pegawai Perancang Bahasa dan Sastera di DBP Sabah, beliau telah menyelidiki khazanah budaya Iranun dan merakamnya, sebahagiannya kemudian diterbitkan dalam bentuk buku dan kertas kerja, makalah yang dibentangkan di seminar-seminar sama ada di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.
Dunia penyelidikanlah yang membuat kami akrab. Disamping Alkesah Bidin, Ladim Haji Abdul Rahman dan lain-lain yang turut membantu kerja-kerja penyelidikan, saya juga pada waktu itu giat masuk kampung keluar kampung untuk membuat penyelidikan guna untuk melengkapkan kajian mengenai budaya dan bahasa Iranun yang sampai sekarang belum selesai-selesai.

Rasanya penyelidikan itu tak akan selesai lagi kerana lima tahun lalu,Datu Bandira terlalu cepat pergi meninggalkan kita. Arwah meninggal dunia dalam satu kemalangan pada awal bulan Ogos 2004 di Tawau.Saya kebetulan berada di Tawau ketika itu. Dan rasamacam tak percaya apabila membaca pesanan sistem mesej singkat yang dikirimkan oleh beberapa orang rakan seawal jam 5.22 pagi. Kejadian itu berlaku diKilometer 22 (batu 15) kira-kira jam 1.20 pagi. Tempat kejadian itu benar-benar di sebelah jalan Kedai Runcit Ramai Ria.Ketika itu menurut pemandu, hujan renyai-renyai dan jalanan licin. Mereka baru selesai menghadiri satu mesyuarat di Bukit Garam Kinabatangan.Terpaksa balik malam itu juga kerana isteri arwah,Puan Natrah terpaksa berangkat ke Kuching untukmenghadiri kursus sementara Allahyarham dijadual merasmikan majlis di sebuah tadika PASTI di Tawau.Tiba di Batu 15, Kereta SR double cab yang dipandu oleh pakcik Norbin tiba-tiba gagal dikawal dan melanggar penghadang di tepi jalan. Pemandunya tidak mendapat kecederaan manakala seorang lagi rakannya,Disham Yadash yang duduk di hadapan patah kaki kanan.Allahyarham bersama-sama anak lelakinya duduk dibahagian belakang. Anaknya, Nizamuddin 6 tahun, terhumban keluar dan hanya cedera di bahagian kepala manakala Arwah terhimpit oleh kereta yang terbalik dan meninggal di tempat kejadian.

Saya betul-betul merasa kehilangan. Bukan saja kehilangan seorang sahabat, malah guru, mentor dan tokoh yang banyak menyumbangkan dedikasi terhadap bidang penyelidikan sejarah, bahasa Melayu dan sebagainya. Padahal kira-kira seminggu sebelum itu,kami sempat berbincang untuk menyusun KamusIranun-Melayu.Beliau juga berkira-kira untuk mengajak rakan-rakannya menyiapkan kamus Iranun-Melayu-Arab.

Saya (ditemani isteri dan anak) turut sama bersama-sama yang lain berada di Lapangan TerbangTawau untuk menghantar jenazah balik ke KK dengan penerbangan MAS jam 2.55 petang.

Saya sempat meninjau tempat kejadian dalam perjalananpulang. Tempat itu, menurut orang-orang yang tinggal di sekitarnya, merupakan satu tempat yang sering terjadi kemalangan. Jalannya menurun. "Hati-hati disini diantara batu 14-hingga batu 16 kerana di sini selalu terjadi kemalangan" kata orang kampung di sana.

Di lapangan terbang Kota Kinabalu rakan-rakan Allahyarham berkumpul di lapangan terbang Kota Kinabalu.Rakan-rakan dari segenap bidang: daripada tokoh penulis hinggalah tokoh politik, antaranya YB Datuk Abdul Ghapur Salleh, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, ahli-ahli PAS, KEADILAN, UMNO dan para penulis termasuk Pengarah DBP Cawangan Sabah.

"Sebutir bintang lagi meninggalkan kita.Saya secara peribadi melihatnyasebagai seorang tokoh budaya dan sejarah berbanding sebagai tokohpolitik yang dikenali dengan sifatnya yang kritis tetapi sentiasa membina pemikiran kita. Semoga roh Allahyarham ditempatkan bersama orang-orang yang beriman," tulis Ketua Satu Ikatan Penulis Sabah, Sukor Haji Usin.Ketika itu, allahyarham Datu Bandira merupakan Pesuruhjaya PAS Sabah.

Sebelum menjadi pemimpin PAS di negeri ini, Allahyarham merupakan bekas Ketua Penerangan UMNO Bahagian Tawau, malah pernah bertanding sebagai Ketua Pemuda UMNO Di Kota Belud tetapi tidak berjaya.Dari Tawau beliau berpindah kerja ke SAFMA sebagai Pengurus Sumber Manusia, hingga jawatan terakhinya sebagai Pengurus Besar SAFMA. Selepas itu, beliau menceburkan diri dalam bidang politik dan bertanding sebagai Calon PAS Tempasuk. Walaupun tewas, semangatnya dalam perjuangan terus membara.Dalam kegiatan berpersatuan, beliau juga merupakan Presiden Persatuan Bumiputera Iranun Sabah (PISBA) dan pada zamannya, PISBA begitu aktif.Beliau juga mengilhami tertubuhnya Persatuan Graduan Iranun Sabah (PAGISA).Kegiatannya juga pelbagai. Beliau turut aktif dalam bidang sukan dan setiasa memberikan galakan dan rangsangan dalam bidang bolasepak khususnya kepada belia.Kerana jasanya dalam usaha pengembangan bahasa Melayu, beliau telah dianugerahkan ijazah Doktor Kehormat dari Sto Nino University, di Mindanao. Beliau juga mengikuti pengajian dari Al Manaf International University, yang berpusat di Lousiana, Amerika sehingga mendapat PhD.Biarpun sudah lima tahun berlalu, jasa dan bakti beliau terhadap suku bangsa Iranun, terhadap bahasa Melayu, terhadap perjuangan bangsa, membawa makna yang besar kepada kelangsungan survival bangsa.

Semoga rohnya dicucurkan rahmat Allah S.W.T. Al-Fatihah

4 comments:

LutfiMikael.com said...

Saya tidak mengenali siapa Datu Bandira, terasa sadis kemalangan itu. pasti cerita itu sedih dikalangan kawan2 ketika itu... kan

Kabar Kinabalu said...

teringat sewaktu dialog antara kami tentang negara islam. datu kurang kemas munyusun hujah saat berbicara tapi mantap dan rapi berdebat lewat tulisan.

abd naddin said...

Cuplikan tulisan saya yang tersiar dalam Biografi Penulis Sabah terbitan DBP.

DATU BANDIRA DATU ALANG dilahirkan pada 3 Januari 1958 di kampung Peladuk, Kota Belud.
Selepas itu, beliau mendapat pendidikan awal di SRK Nanamun pada tahun 1965 sebelum melanjutkan pendidikan menengah di SMK Arshad Kota Belud dan kemudian di SMK Syed Arshad di Arau, Perlis.
Selepas memperolehi Ijazah Sarjana Muda dalam bidang sejarah daripada Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Datu Bandira berkhidmat sebagai guru dan kemudian sebagai Pegawai Penyelidik di Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah.
Selepas itu beliau berkhidmat di Felda Sabah sebagai Pegawai Tadbir dan Pengurus Sumber Manusia di Tawau selama 13 tahun sejak tahun 1984.
Kemudian beliau dilantik sebagai Pengurus Besar Sabah Fish Marketing (SAFMA) sebelum menceburkan diri dalam politik pada 1999.
Datu Bandira telah mendapat ijazah MA dan PHD daripada al-Manaf International di Louisiana State University. Beliau jug pernah dianugerahkan Ijazah Doktor Kehormat Persuratan daripada Sto Nino Collegio, salah sebuah kolej tertua di Filipina.
Ketika bertugas di Tawau, Datu Bandira turut menghidupkan kegiatan kesusateraan dan berjaya menganjurkan Perkampunag Sasterawan (1992) dan Diskusi Tenggara 1 (1989) dengan kerjasama DBP Cawangan Sabah.
Beliau juga seorang penyelidik dan pengkaji bahasa dan sastera. Malah banyak artikelnya mengenai perkembangan bahasa Melayu yang tersiar di dalam akhbar menjadi rujukan berguna untuk mahasiswa hingga ke hari ini.
Datu Bandira juga pernah menghasilkan beberapa buah buku termasuk buku Iranun Sejarah dan Adat Tradisi yang diterbitkan oleh DBP.
Peranan Dr. Datu Bandira Datu Alang dalam perkembangan dan gerakan sastera kebahasaan dan kesusasteraan di negeri ini tidak boleh dinafikan.
Beliau merupakan salah seorang tokoh yang sering diundang untuk menjadi jurubicara golongan sasterawan dan bahasa di negeri ini dengan membentangkan kertas-kertas kerja dalam seminar, forum sama ada di dalam dan luar negara.
Datu Bandira pernah membentangkan kertas kerja mengenai bahasa dan sastera Melayu di Sri Langka, Indonesia, Thailand, Filipina dan kebanyakan institusi pengajian tinggi (IPTA) di negara ini.
Dalam kegiatan kemasyarakatan, Datu Bandira merupakan bekas Presiden Persatuan Bumiptera Iranun Sabah, dan pengurus Persatuan Usahawan Islam Malaysia.
Beliau juga merupakan bekas AJK Tertinggi BAHASA dan Yang Dipertua BAHASA Tawau dan sebagai Pesuruhjaya PAS Negeri Sabah.
Datu Bandira kembali kerahmatullah pada 8 Ogos 2004. Al-Fatihah

natrah said...

Sdra Nadin, terima kasih di atas ingatan dan kesungguhan saugara menulis dan merakamkan mengenai almarhum, semoga saudara akan meneruskan usaha murni almarhum menulis khususnya mengenai iranun,kamus iranun- melayu yang telah dimulakan. Hampir 6 tahun Almarhum meninggalkan kita, rasa kehilangannya tidak dapat diluahkan dengan perkataan, namun syukur dengan rahmat Allah kami sekeluarga merasakan Almarhum sentiasa bersama kami, Semoga roh almarhum dicucuri rahmat dan di tempatkan di kalangan orang-orang yang beriman Amin.