Tuesday, August 11, 2009

Pakkamase, satu sebutan banyak maknanya







Pada mulanya, saya fikir namanya Pakkamase. "Bukan, itu nama syarikat," katanya sambil memperlahankan teksinya kerana kami sudah hampir sampai di Restoran Sri Pelangi, berdekatan Kompleks Karamunsing.
Apa maksud `pakkamase' itu?. Katanya, pakkamase adalah satu perkataan dalam bahasa Bugis bone yang boleh membawa pelbagai maksud antara `bertukar fikiran, saling menyayangi, silaturrahim, tolong menolong, bantu membantu, bertimbang rasa, toleransi dan sebagainya".
Satu sebutan banyak maknanya, kata Dullah Bache, pemandu teksi yang sudah lama terbabit dalam sistem pengangkutan awam di Kota Kinabalu.
Tidak lama selepas kami sampai, Datuk Haji Osman Jamal tiba untuk merasmikan mesyuarat pertama Persatuan Pengusaha dan Pemandu Teksi Rumpun Melayu Kota Kinabalu, atas kapasitinya sebagai penasihat persatuan itu.
Tapi sebelum itu kami menikmati makan malam terlebih dahulu. Kelihatan Datuk Haji Osman Jamal makan dengan berselera kerana makanan yang dihidangkan adalah makanan tradisi bugis.
Apatahlagi, beliau baru balik dari lawatan di China dan sudah tiga hari asyik makan roti dan tidak berpeluang makan nasi di sana.
Banyaklah cerita mengenai lawatannya ke China, mengenai makanan tradisi, mengenai Jusuf Kalla yang tewas dalam pemilihan presiden di Indonesia dan juga mengenai Datuk Seri Najib Tun Razak yang khabarnya masih keturunan Sultan Goa, Sultan Abdul Aziz yang ke-14.
Demi mengetahui bahawa saya berasal dari Kota Belud, Haji Osma bercerita bahawa dahulu ada seorang bangsawan Bugis yang terdampar di perairan Kota Belud setelah kapalnya pecah.
"Namanya Pattalena. Orang di sana memanggilnya Embo Lena, yang bersaudara dengan Embo Alis?."
Setelah kapalnya pecahnya, Pattalena mudik ke muara sungai Labuan, dan kahwin dengan gadis tempatan. Menurut Datuk Osman Jamal, salah satu keturunan mereka ialah nenek moyang Matlan Marjan, katanya. Peristiwa itu berlaku sekitar tahun 1837 iaitu sekitar kedatangan lima bersaudara, Daing Parani, daing Manambun dan lain-lain ke semenanjung tanah Melayu.
Malah sampai sekarang, ada pokok mangga besar yang tumbuh dekat tepi jalan di Kampung Labuan itu, pokok mangga besar itu datangnya dari tanah bugis, dan bibitnya itu di bawa oleh Pattalena atau Embo Lena itu.

Menarik sekali kisah yang dituturkan oleh Datuk Haji Osman Jamal itu. Kisah yang perlu dikaji dan diteliti sejauh mana kebenarannya dari segi sejarah. Para pengkaji sejarah perlu menyelidiki cerita sejarah ini.

Dalam ucapannya selepas itu, Osman Jamal menyifatkan bahawa peristiwa itu bersejarah dan bermakna.

Beliau memuji usaha yang diketuai oleh Haji Andi Mapiasse kerana menubuhkan persatuan itu pada tahun lalu untuk memupuk semangat kerjasama di kalangan pemandu teksi rumpun Melayu di ibu kota.

Penubuhan persatuan itu sudah tentulah dapat meningkatkan imej industri pengangkutan awam di negeri ini.

"Teksi amat penting dari dahulu hingga sekarang.Teksi menghubungkan antara satu sama lain, mendekatkan yang jauh. Teksi begitu dekat dengan manusia ," katanya.

Sambil itu tidak lupa juga beliau memuji pengusaha restoran Haji Bacho kada kerana menyediakan juadah yang `saya suka dari kecil', katanya. Ada ayam liko, ada kepala ikan, ada kuih muih, dan kita harus bangga dengan nenek moyang kita.

Usaha menyatupadukan pengusaha dan pemandu teksi Rumpun Melayu ini adalah satu usaha yang murni.
Haji Osman mengingatkan supaya mutu perkhidmatan teksi ditingkatkan lagi.
"Mutu bukan bermaksud pengusaha teksi harus menukar kepada kereta baru. Maksud mutu ialah kebersihan, cara kita berinteraksi dengan penumpang, malah memberi informasi kepada penumpang, itupun di sebut mutu.
"Kita harus menjadi teksi yang bermaklumat. Jika penumpang beragama Islam, tunjukkan dia dimana Masjid.Kalau Kristian, tunjukkan dimana gereja.Kita juga boleh memberi informasi mengenai tempat membeli belah yang murah dan sebagainya.
Jadilah kita masyarakat yang berilmu dan bermaklumat, memasarkan kecantikan negeri sabah dan pada masa yang sama membantu negara.
"Kita haruslah menjaga nama negeri dengan baik. Oleh kerana itu, kita harus bersopan santun. Kalau ada barang penumpang yang tertinggal, pastikan ia tidak hilang dan dipulangkan kepada pemiliknya," katanya. "Saya percaya, kata nenek saya, rezeki kita akan bertambah, jika hati kita jernih antara sesama kita.
Entah kenapa pula malam itu hujan turun dengan lebat.Pemandu dan pengusaha teksi menamakannya sebagai rahmat. Dalam mesyuarat pertama itu Persatuan Pengusaha dan Pemandu Teksi Rumpun Melayu Kota Kinabalu, Haji Ambo Tou Haji Mapiasse dipilih sebagai Pengerusi , Dullah Bache (Timbalan Pengerusi), Erwandy Rani (setiuasaha) Haji Abd.Kadir Arpah (Timbalan Setiausaha), Bendahari Mohd Hading Bombang, Penolong Bendahari jaiman Abd Samat. Ahli Jawatankuasa terdiri daripada Abd.Lali Abah, Haji Basri Haji Kasau, Saripudin Hasan, M Ikhwan Anasrudin, Baharudin Abd.Aziz, Talib Bandog dan Sabturani Maddasi.
Mesyuarat itu berjalan dengan lancar. Ahli -ahli persatuan menyatakan komitmen untuk sama -sama membantu menjayakan matlamat persatuan membela nasib pengusaha dan pemandu teksi di sekitar ibu negeri. Barangkali semua ini disimpulkan dalam satu sebutan yang banyak maknanya. `Pakkamase".

1 comment:

azrone said...

Nanti saya cari pokok mangga tu. Saya kenal susur galur keluarga Osman Jamal di Kampung Labuan antaranya Arwah Haji Yussuf yang adik beradik dengan bapa Marjan.