Thursday, August 27, 2009

Sekali lagi mengenai pahlawan wanita di Padas Damit

MENJEJAKI PAHLAWAN WANITA DI PADAS DAMIT
Oleh ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN

SAYA membayangkan seorang perempuan sedang menunggu kami. Perempuan yang sebahagian kisah hidupnya masih misteri.Masih banyak rahsia yang tersimpan dan sejarah yang tersembunyi itu, mungkin dapat dirungkai sepanjang perjalanan kami ke Padas Damit.
Perempuan itu, Dang Insum namanya.Dialah wanita perkasa yang gigih berjuang dan melawan penindasan atau apa saja yang bernama ketidakadilan.Kedatangan kami pada hari itu, sebenarnya hanya untuk melihat kampung halamannya tempatnya berkubu dari serangan lawan.
Dang Insum, pahlawan yang dilupakan.Namun begitu, wanita yang dikagumi ini merupakan salah seorang pejuang yang mempertahankan Kota Makarang dari serangan pihak kompeni kira-kira 120 tahun yang lalu.

Ketika itu, Padas Damit dibawah kuasa Pengiran Shahbandar Hassan yang menjadi wakil adinda Sultan Brunei yang memiliki Hak Tulin terhadap wilayah Damit.Beliau merupakan kuasa tunggal di Sungai Padas sebelum bertapaknya British North Borneo Chartered Company di wilayah itu.
Kawasan-kawasan ini termasuk sepanjang tebing Sungai padas hingga ke Kampung Bengkalakak dan Ke timur Jimpangah yang dikira sebagai jajahan takluknya.
Sejarah mencatatkan bahawa Pengiran Shahbandar Hassan dilantik oleh Puteri Sultan Jamilul Alam yang telah diberi Hak Tulin ke atas Wilayah Padas Damit.
Apabila North Borneo Chartered Company tiba di kawasan itu, mereka enggan mengiktiraf kuasa Pangiran Shabbandar Hassan. Lebih daripada itu, mereka menghasut orang-orang tempatan untuk agar menentang Pangeran dengan mengatakan bahawa jika mereka menjadi rakyat Pangeran Shahbandar, orang-orang tempatan itu akan dijadikan hamba abdi.
Pihak kompeni yang memiliki seribu helah juga mengenakan cukai kepala dan cukai tanah kepada orang tempatan. Peraturan dan undang-undang yang diperkenalkan itu sudah tentu amat menyusahkan rakyat di wilayah Padas Damit itu.
Perkara itu tidak menggembirakan Pengiran Shahbandar.Beliau telah mengadakan mesyuarat dengan rakyatnya mengenai pencerobohan kompeni yang memiliki niat jahat untuk menjajah. Pangeran Shahbandar Hassan yang disokong oleh pengikutnya setianya terdiri dari suku Bisaya mengambil keputusan untuk mengisytiharkan perang dengan kompeni.
Mereka mula bertindak dengan menyerang penduduk yang belot dan menyatakan setia kepada Kompeni.Tindakan itu menimbulkan kemarahan dan membimbangkan pihak kompeni. Di pihak lain, Kompeni telah membuat bantahan kepada Sultan Brunei berhubung kekacauan yang dilakukan oleh Pengiran Shahbandar itu dan mereka mendakwa Kawasan Semenanjung Klias telah dipajakkan kepada Kompeni pada tahun 1884.
Pengiran Shahbandar mengakui bahawa memang terdapat perjanjian pemajakan pada tahun 1884 tetapi perjanjian pemajakan sebanyak tiga ribu ringgit setahun itu tidak termasuk wilayah Sungai Padas yang telah dijadikan Hak Tulin adik perempuan Sultan.
Beliau selanjutnya mengisytiharkan bahawa penduduk di sebelah timur Sungai Padas adalah rakyat dibawah kekuasannya. Tindakan ini mendatangkan kemarahan kompeni kerana mereka menganggap bahawa penduduk di kedua-dua tebing sungai itu adalah dibawah kuasa kompeni.
Lanjutan daripada itu, maka berlakulah perselisihan. Kemudian C.V.Creagh, yang menjadi gabenor Labuan ketika itu telah mengarahkan polis kompeni menyerang kubu Manggalela yang dibina Pangeran Shahbandar Hassan.Bagaimanapun kompeni gagal dalam serangan itu dan tidak dapat menembusi Kota Manggalela. Sekali lagi, kompeni menghantar pasukan polisnya dengan kekuatan 200 orang untuk membantu D.Daly dan kapten R.D.Beeston dalam serangan bulan Januari 1889 ke Sungai Padas.
Apabila terkena bedilan meriam yang bertubi-tubi, kubu yang dibina dengan semangat mempertahankan tanahair itupun roboh.Ramai yang menjadi korban tetapi Pengiran Shahbandar Hassan enggan mengaku kalah. Sebelum itu, beliau telah membina empat buat kota di sepanjang tebing sungai Padas.
Salah satu kubu yang dibina itu ialah Kota Makarang, yang diketuai seorang wanita bernama Dang Insum. Setelah berperang kira-kira empat bulan, Gabenor Creagh diganti A.S Hamilton yang tidak begitu sukakan sengketa itu berlarutan dan meminta satu perundingan. Perdamaian hanya dicapai pada 10 Mac 1889.
Tetapi yang menimbulkan persoalan ialah siapa Dang Insum itu. Itulah tujuan kedatangan kami ke kota Makarang pada hari itu.
"Tempat ini mempunyai nilai sejarah yang tinggi. Ia boleh menjadi destinasi pelancongan yang menarik," kata Penolong Pegawai Daerah Beaufort, Mohd.Shaid Haji Othman.
"Dang Insum merupakan pahlawan Bisaya yang berjuang mempertahankan tanahairnya," kata beliau lagi dalam perjalanan kami ke Padas Damit untuk menjejaki pahlawan wanita Bisaya itu. Turut menyimpan minat yang mendalam mengenai Dang Insum ialah Mohd.Johawalia Jamsin, antara orang pertama yang mendedahkan mengenai kepahlawanan Dang Insum.
Sebelum itu, kami sempat bertemu dengan Omar Gara,yang kini berusia 103 tahun dan bercerita mengenai Dang Insum.Bagaimanapun, orang tua yang lahir pada 14 Julai 1906 memberitahu kekalahan Dang Insum dan orang-orangnya adalah disebabkan oleh pembelotan orang dalam.
"Menurut cerita, terdapat seekor ayam putih yang menyimpan tuah. Bila melihat musuh datang, ayam putih itu akan berkokok sebagai isyarat agar orang-orang kampung berjaga-jaga.
"Namun selepas ayam itu dibunuh, maka Kota Makarang akhirnya dapat ditawan," kata Omar lagi. Katanya, Kota Makarang jatuh kerana ada orang membelot. "Apabila ayam putih itu mati, kedatangan musuh tidak dapat dikesan lagi menyebabkan Kota Makarang dikalahkan musuh".
Menurut Omar lagi, Dang Insum mempunyai kaitan dengan atuknya Laksamana Idris. "Nama saya Omar.Omar bin Gara.Gara bin Laksamana Deris (Idris)," katanya. Omar berkata, selain Kota Makarang, kota-kota lain ialah Kota Balai, Kotaraja Besar, Kota Mapiau dan Kota Makarang.
Katanya, "Haji Ukin, bapa Datuk Lajim dengan Datuk Dun, bapa Dato' Azizah sepupu, kerana nenek dia orang adik beradik.Begitu juga dengan keluarga Datuk Rashid Gador, mereka mempunyai kaitan," katanya. Semua semua keturunan Dang Insum.
Penjelasan itu tidak dapat merungkai pertanyaan saya mengenai Dang Insum. Puan Asmah Banir,73 yang kami temui dirumahnya mengakui bahawa mereka masih mempunyai kaitan. Neneknya yang bernama Marasa merupakan anak Dang Insum.
Sebenarnya banyak lagi yang perlu diselidiki. Kjaian mendalam perlu dibuat untuk memperjelaskan kepada umum mengenai pahlawan Wanita Bisaya bernama Dang Insum ini.
Barang tinggalan Dang Insum seperti pedang, gelang dan sebagainya masih disimpan Haji Said.Khabarnya, kewujudan Dang Insum itu turut menarik perhatian krew RTM untuk membuat penggambaran untuk mendokumentasikan sejarah itu
Sesampainya kami ke Kota Makarang, tugu yang dibina bagi memperingatinya terletak di dalam Kebun Kelapa Sawit. Kami sempat meninjau mengenai bentuk kota yang menangkis serangan itu. Sungai yang dulunya lebar dan luas, kini ditumbuhi rumput.Kawasan itu seperti terbiar tetapi nilai sejarah yang dimilikinya amatlah tinggi.
Mujurlah kami sampai di sana ketika hari belum hujan."Kalau hujan, tanah lembab dan rumputnya basah serta sukar dilalui," kata Mohd.Shaid. Kawasan ini perlu dipulihara kerana selain menyimpan sejarah tersendiri ia juga mampu menarik pelancong untuk melawat tapak bersejarah itu.
Kami sempat untuk menyusuri denai yang mungkin dulunya digunakan Dang Insum dan pengikutnya.Tanah di kawasan itu sesuai untuk membina kubu. Kegigihan wanita itu melawan penjajahan bersama Pengiran Shahbandar Hassan mungkin ditelusuri lagi dengan lebih mendalam. Banyak tempat bersejarah di negeri ini yang perlukan perhatian daripada pihak kerajaan, dan kota Makarang salah satu tempat yang boleh dijadikan bersejarah. Petang itu, sebelum pulang,kami sempat bergambar di sisi makam Dang Insum

7 comments:

ulunbopot said...

Assalamualaikum sdr ANS...saya merakamkan ucapan terima kasih dan saya amat berbangga atas usaha saudara untuk Menjejaki Dang Insum-Pahlawa Wanita Bisaya yang mana sejarah Pahlawan Wanita ini kalau ditanya pada generasi muda Bisaya pada masa ini mungkin ramai yang tidak mengenali atau tidak tahu langsung siapa Wanita ini..saya sendiri pun baru mengetahui adanya seorang Pahlawan Wanita Bisaya dari bangsa saya sendiri..sangat memalukan..lebih malang lagi anak-anak muda Bisaya lebih mengenali pahlawa khayalan Superman,Spiderman,Transformers dsb,ini adalah disebabkan kurangnya pendedahan tentang Sejarah Bisaya Sabah kepada generasi muda dan lama Bisaya sedangkan ada Pertubuhan Persatuan yg sepatutnya membuat pendedahan fakta sejarah tentang keperitan nenek moyang mereka berjuang mempertahankan agama,bangsa dan negara..
apa salah kalau Adau Janang Gayuh dibuat dibekas tapak Kubu Padas Damit..
Semoga usaha saudara ANS diberkati Allah..amin..

kamisah liudin said...

Saya adalah cicit Datu Ideris.menurut ayah saya ada soerang wanita bernama Inang Maimunah adakah dia Dang Insum.Wanita ini isteri kedua Penggeran syahbandar Hassan.Dang insum juga ada kaitan dengan Datu Dun ayah datu Azizah dan mereka juga bersaudara dengan moyang saya Datu Ideris.Saya cadangkan kita buat family gathering untuk datu Ideris Family @ dang Insum.

Mrs Merak said...

saya ucapkan tahniah atas jasa tuan mengetengahkan tentang kisah Dang Insom.Selama ini hanya diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi tanpa penyelidikan. Namun untuk mendapatkan kebenaran tentang fakta perlu bukti kukuh bukan dari kalangan yang hanya mahu tumpang populariti.Amat menyedihka kerana walaupun dalam sejarah negeri ini terbukti betapa berani dan setianya orang-orang Padas terhadap negeri dan pemimpin tetapi mereka selalu dipandang rendah walaupun dari kalangan warga Bisaya di Beaufort sendiri.
Oleh itu, saya menyeru orang Padas generasi baru bangkit memperkenalkan sejarah kebanggaan kaum dan tanah air mu. Ditakuti hanya orang-orang tertentu yang dapat peluang tumpang nama Dang Insum kepentingan peribadi mereka, sedang sebelum ini mereka pandang rendah dengan kamu.

FATRIM SYAH said...

Assalamualaikum wbt. Saya Fatrim Syah bin Abd Karim cucu kepada Omar bin Gara. Wah, tak sangka ada juga wirawati bernama Dang Insum dari suku kaum Bisaya yang melawan penjajah, sesuatu yang unik seperti ini patut dibuat sebuah buku. Kita selalu mengenal Mat Salleh dan yang lainnya. Saya percaya, ada ramai lagi wanita-wania dahulu yang snaggup berjuang demi kemerdekaan seperti yang berlaku di dalam pertarungan Bukit Kepong.

ahmad zayani said...

salam..mohon share di blog sya ya.sebab bnyk yg mahu saya ketengahkan dlm blog sya..terutamanya berkaitan sejarah tapi kekurangan rujukan..sya jg ingin mengetengahkan perihal mengenai bangsa Bisaya di blog sya kerna sya berbangsa Bisaya.sya baru berjinak2 dlm dunia blog ini..diharap saudara dpt berkongsi ilmu melalui tulisan2 saudara...sekian..

blog sya:http://iniakupunyasendiri.blogspot.com/

ahmad zayani said...

salam..mohon share di blog sya ya.sebab bnyk yg mahu saya ketengahkan dlm blog sya..terutamanya berkaitan sejarah tapi kekurangan rujukan..sya jg ingin mengetengahkan perihal mengenai bangsa Bisaya di blog sya kerna sya berbangsa Bisaya.sya baru berjinak2 dlm dunia blog ini..diharap saudara dpt berkongsi ilmu melalui tulisan2 saudara...sekian..

blog sya:http://iniakupunyasendiri.blogspot.com/

Sabah-Borneo Info said...

Tunggu pendedahan saya tentang pahlawan padas.

Anak Jati Padas