Ahad, 27 September 2009
Gambar Pakcik Karbain
Sekitar Majlis Rumah Terbuka Pa' Min.
Kami datang terlampau awal sebenarnya. Oleh sebab itu, kami berkunjungi ke rumah saudara Laliman Haji Ahmad, yang baru sampai dari Kota Belud.Ketika kami tiba jam 10.30 pagi, Tan Sri sudah menunggu kedatangan kami. Ramai sudah tamu yang datang. Datuk Seri Salleh Tun Said baru saja beredar untuk menghadiri satu majlis perkahwinan .
Saya gembira melihat ramai pemimpin-pemimpin yang hadir. Saya nampak Pakcik Pinjaman Hassin, seorang pelopor dan pejuang bangsa yang membangkitkan kesedaran masyarakat Iranun. Kini semakin ramai generasi pemimpin muda Iranun yang lahir selepas zaman mereka.
Kebiasaannya setiap kali mengadakan rumah terbuka, Tan Sri akan menyediakan pelbagai juadah, tidak lupa makanan tradisi.
Walaupun banyak juadah yang disediakan, tetapi saya hanya memilih dua menu saja, iaitu siager dan satu lagi iaitu getik .
Ramai juga rakan bloggers yang datang ke majlis halal bi halal itu.
Tan Sri Pa' Min melayani setiap tamunya dengan mesra. Majlis juga turut diserikan dengan penyanyi yang tidak asing lagi, Nurul Fadzilah Nordin dan penyanyi-penyanyi dari Kota Belud. Saudara Aliasgar Haji Basri Pengarah UPKR turut menyumbangkan lagu.
Saya tidak dapat menunggu sampai habis acara kerana terpaksa bergegas semua balik ke pejabat.
Bersama pemimpin muda
Saya suka menatap gambar ini. Baharul sudah tentu representasi Bajau, Tadzul sudah tentu representasi Iranun pada masa depan sekiranya beliau ingin, beliau pasti boleh.
Saya fikir dan ramai juga yang berfikir seperti saya bahawa pemimpin yang akan dilahirkan di Kota Belud nanti sebenarnya,seorang pemimpin yang boleh diterima semua kaum. Beliau mungkin berasal dari suku bangsa Iranun tetapi bukan untuk memimpin sukukaum Iranun saja, begitu juga sebaliknya.
Dalam sekeping gambar ini juga ada orang lama, Pakcik Sekil dan Datu Raslin Gayong. Kalau ada gandingan orang lama dan baru, sudah tentu politik akan lebih mantap.
Dengan melihat mereka duduk bersama, hati saya bertambah gembira.
Haji Jamil Atan, antara Iranun yang awal belajar di UK
Saya ingat pertemuan saya yang pertama dengan Haji Jamil Atan. Beliau baru balik dari Wales UK waktu itu. Cita-citanya amat besar untuk membantu bangsa.
Sebagai seorang muda waktu itu, saya terkesan atas kata-katanya yang sanggup membuang sijilnya ke laut kalau tidak dapat membantu masyarakatnya jika mempunyai peluang.
Beliau termasuk antara orang yang ke Universiti ketika usianya sudah meningkat, ini kata-katanya sendiri.
Kalau tidak silap saya, beliau adalah Iranun yang ketiga belajar di UK selepas Pa' Min dan Salleh Lamsin. Kini beliau merupakan Timbalan Pengarah di Jabatan Air.
Pinjaman `sang guru bangsa'
Tanpa seorang lelaki yang bernama Pinjaman Hassin, kesedaran politik Iranun tidak mungkin tumbuh subur seperti sekarang.
Pinjaman muncul ketika masyarakat Iranun, yang minoriti dan waktu itu agak tertekan kerana merasakan mereka dipinggirkan mahukan seorang wakil, seorang jurubicara yang boleh memperjuangkan aspirasi mereka.
Dekad 60-an dan 70-an merupakan satu dasawarsa yang tidak begitu ramah bagi masyarakat ini. Mereka merasakan bahawa mereka patut diwakili supaya anggota komuniti yang rata-ratanya miskin dan tidak berpendidikan itu mempunyai masa depan yang lebih cerah.
Pinjaman muncul pada ketika masyarakat Iranun dalam kemelut.Sebagai seorang pemuda yang baru berusia 17 tahun, Pinjaman yang baru saja lulus LCE meninggalkan bangku sekolah untuk sama berjuang. Di peringkat awal beliau banyak membantu Haji Mulia dalam merancang gerakan kebangkitan bangsa.
Sebagai pejuang, banyaklah duri dan ranjau yang dihadapinya. Beliau pernah dikasari ketika dalam perjalanan ke pusat penamaan calon.Beliau hampir ditangkap dan terpaksa diseludup dalam bonet kereta dan dilarikan ke Brunei dan dari sana, terus ke Kuala Lumpur.
Semua ini tidak menghalangnya untuk meneruskan perjuangan. Ketika berada di Kuala Lumpur, bersama MA Rahman sebagai pengarang, beliau bertindak sebagai penerbit surat khabar Warta Sabah yang diterbitkan di Pulau Pinang pada tahun 1971.
Kesedarannya yang tinggi mengenai kepentingan media dan maklumat ini, jauh sebelum era informasi atau IT, menempatkan beliau sebagai salah seorang pemimpin yang mempunyai visi.
Pinjaman juga terlibat dalam penubuhan United Sabah Action Party (USAP) dan dipilih sebagai salah seorang central comitteenya.
Kerana sesuatu sebab, USAP tidak dapat bertanding. Ini menyebabkan sahabat baik Tan Sri Dr.Tan Chee Koon dan Ahmad Boestaman ini, membawa Parti Keadilan Masyarakat Malaysia (PEKEMAS) untuk mengembangkan sayapnya ke Sabah.
Gagasan politiknya yang menasional memberikan Pinjaman satu kedudukan yang istimewa dalam politik oposisi di Sabah.
Beliau pernah beberapa kali ditawarkan jawatan penting dalam USNO, asalkan saja beliau mendiamkan diri. Begitu juga, beliau pernah beberapa kali mendapat tawaran Parti BERJAYA tetapi beliau hanya menerima pelawaan Berjaya yang dibuat melalui Setiausaha Agung Berjaya, Datuk Haji Mohd.Noor Mansor yang ketika itu Menteri Kewangan Sabah pada tahun 1979. Satu majlis telah diadakan di Kampung Tamau, berdekatan perkarangan masjid Lilud dan beliau mengumumkan penyertaan dalam Berjaya di hadapan para penyokongnya.
Sejarah perjuangan Pinjaman dan peranannya dalam politik Sabah padaawal 1960-an dan 70-an terutamanya yang berkaitan kebangkitan politik iranun, saya kira perlu ditempatkan dalam perspektif yang lebih adil. Penyelidikan dan kajian perlu dibuat supaya sejarah perjuangan tidak dilupakan untuk membina asas persefahaman yang lebih kukuh pada masa depan.
Semua orang mempunyai zaman dan waktunya masing-masing. Pinjaman memulakannya dan kini pemimpin lain menyuburkannya.
"Keadaan pada waktu, situasi pada ketika itu mewajarkan tindakan politik Pinjaman," kata Datuk Seri Salleh Tun Said, yang kini sedang menyiapkan skripsinya untuk mendapat gelar PhD.
Sebagai seorang pemimpin yang berjiwa besar, Salleh dapat melihat rasional langkah politik Pinjaman meskipun pihak yang ditentang oleh Pinjaman ialah arwah Tun Said (ketika itu masih bergelar Tan Sri).
Dalam pilihanraya 1981, sekali lagi Pinjaman menjadi salah satu faktor yang menyebabkan arwah Abdul Mumin Haji Mulia bertanding atas tiket Bebas menggunakan lambang Harimau sebagai respon masyarakat Iranun selepas Pinjaman tidak dicalonkan sebagai calon Berjaya pada ketika itu.
Pada tahun 1982, seorang peguam yang ketika itu menjadi penasihat undang-undang di Jabatan Perhutanan, Pandikar Amin Haji Mulia (kini Tan Sri Datuk Seri Utama Pandikar Amin Haji Mulia ini) bertanding dalam Parlimen Kota Belud menentang Datuk Yahya Lampong tetapi kalah. Beberapa bulan selepas itu, Pandikar Amin, ketika itu berusia 27 tahun, bertanding sebagai calon USNO menentang Salleh Said (kini Datuk Seri Panglima Salleh Tun Said) yang menjadi calon Berjaya pada masa itu. Pandikar menang.
Sejarah kemudian mencatatkan, Pandikar yang ketika itu Naib Presiden USNO keluar parti lalu membawa diri selepas melihat ada kendala untuknya dan untuk generasi muda seangkatannya untuk memegang teraju yang penting dalam USNO.
Selepas kembali ke tanahair, beliau menubuhkan Parti BERSIH. Pinjaman turut terlibat di dalam penubuhan parti itu. Bersih bertanding dalam pilihanraya 1985 tetapi mereka kalah kesemua kerusi.
Pandikar kemudian dilantik Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah dan merupakan speaker termuda di komanwel. Selepas itu beliau dilantik Ahli Dewan Negara.
Tetapi apabila PBS semakin dilihat sebagai kurang adil, dan kurang memperjuangkan golongan bumiputera Islam, Pandikar bersama rakannya keluar parti dan menubuhkan Parti AKAR bersama Mark Koding dan Kalakau Untol. Parti inilah yang menjadi instrumental kepada detik-detik kejatuhan Kerajaan PBS.
Politik masyarakat Iranun ketika itu menjadi terbagi. Pinjaman tetap bertahan di PBS sementara Pandikar Amin menjadi tenaga penting dalam AKAR. Bermula sebagai setiausaha agung hinggalah menjadi Presiden parti itu. Selepas menang kerusi Temapsuk dalam pilihanraya 1994 atas tiket BN-AKAR, Pandikar dilantik dalam Kabinet sebagai Menteri Belia dan Sukan.
Selepas tidak bertanding dalam pilihanraya 1999, Pandikar dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Dengan itu, segala hasrat dan aspirasi masyarakat itu untuk melihat pemimpinnya duduk dalam arus kepimpinan negara seperti yang dihasratkan masyarakat ketika perjuangan awal dahulu telah tercapai.
Politik Iranun yang kemudian banyak bersandar kepada Pandikar Amin kemudian tersentak lagi apabila Pandikar Amin membubarkan parti AKAR dan semua ahlinya menyertai bahtera yang lebih besar iaitu UMNO.
Beliau kemudian dilantik sebagai Ketua bahagian UMNO Kota Marudu.Selepas pilihanraya 2004, beliau menjadi ADUN Tempasuk.Namun waktu itu beliau tidak lagi memegang apa-apa jawatan sebaliknya hanya menjadi Pengerusi IDS.
Beliau digugurkan dari senarai calon pada pilihanraya 2008. Tetapi nasib masih menyebelahinya apabila beliau dilantik sebagai Yang Di Pertua Dewan Rakyat pada tahun 2008.
Sejarah dan gelora perjuangan bangsa terdahulu kini amat difahami oleh Tan Sri Pandikar Amin, lebih suka dipanggil Pa' Min. Beliau yang menjadi `Datu Kabugatan' Iranun kini memikirkan bahawa sudah waktunya perjuangan bangsa tidak lagi berasaskan kaum dan pemikiran yang sempit kerana dunia sudah berubah.
Sejarah juga membuktikan bahawa bangsa yang besar boleh hancur jika pemimpinnya lalai. Paling penting ialah penyatuan rumpun bangsa supaya bergerak seiring mengetepikan perbezaan dan menonjolkan persefahaman dan persamaan antara mereka.
Jikalau Pinjaman dahulu meletakkan batu asas perjuangan, kini Pa' Min mengemudi hala tuju bangsa sebelum baton beralih tangan kepada generasi pemimpin selepas mereka.
Bagaimanapun, saya sangat menaruh hormat yang tinggi kepada tokoh Pinjaman ini. Sudah sewajarnya jika jasa-jasa bakti beliau dihargai, sekurang-kurangnya oleh masyarakat Iranun.
Tidak ada sesiapapun yang boleh menafikan bahawa Pinjaman adalah salah seorang pelopor kesedaran masyarakat Iranun di negeri ini.
Pertemuan kawan lama
Bagaimanapun, minat mereka dalam bidang seni tidak pernah luntur. Vokal suara Sharif Asmawan dalam deklamasi puisi masih sukar ditandingi. Pertemuan mereka di Majlis Rumah Terbuka Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia di Likas pada Ahad 27 September, mengubat kerinduan yang lama. Kerinduan Sharif Asmawan dan Datu Masdan untuk kembali merancakkan dunia sastera di negeri ini.
Sabtu, 26 September 2009
Bersama orang lama
Berbaju biru itu, saya sendiri. Di sebelah kanan, saudara Mohd.Azrone Sarabatin, wartawan Berita Harian yang mencatat banyak prestasi cemerlang dan pernah beberapa kali menang Shell Press Award.
Bersama kami ialah Saudara Emin Madi, mantan Ketua Pengarang Sabah Times, pernah menjadi wartawan Bernama yang juga seorang cerpenis dan novelis yang terkemuka. Ketika di Sabah Times dulu, beliau banyak memberi peluang kepada kami, penulis kampungan untuk menyumbangkan karya ke Sabah Times khususnya berita. Cerpen saya juga tersiar buat pertama kalinya di sabah times tahun 87 ketika dikelola oleh arwah Pak K.Bali.
Berdiri dua dari kiri itu ialah saudara Ali Hassan Omar., yang katanya sudah 11 tahun pencen setelah 32 tahun berkhidmat dengan Jabatan Penerangan Malaysia.
Gambar ini dirakamkan di rumah ADUN Pantai Manis, Datuk Haji Abdul Rahim Ismail ketika beliau mengadakan majlis rumah terbuka dengan konsep 1 Malaysianya pada 26 September 2009.
Bergambar bersama tokoh-tokoh wartawan yang berpengalaman seperti mereka, amat bermakna.
Andainya kelebihan dan keistimewaan mereka boleh difotokopi, saya ingin memfotokopinya.
"Ini lorong ke rumahku"
"Ini papan tanda ke rumah saya." katanya bergurau ketika kami ternampak papan penunjuk jalan itu dalam perjalanan ke Pantai Manis beberapa waktu yang lalu.
Kelmarin, selepas menghadiri majlis rumah terbuka Datuk Haji Abdul Rahim Ismail di Kampung Kuala, kami sengaja berhenti supaya Rashid dapat merakamkan gambar kenangan di papan tanda itu.
Kebetulan nama mereka sama. Saya ingat beberapa tokoh yang bernama Abd.Rashid Abd.Rahman, antaranya mantan Pengerusi SPR. Juga kalau tak silap, mantan Menteri Besar Pahang sebelum Datuk Seri Najib menjadi Menteri Besar Pahang.
Sebenarnya kami tak sempat berjumpa dengan orang yang bernama Abd.Rashid Abd Rahman dalam papan tanda ini . Tapi yang pasti, Abd Rashid Abd Rahman yang merakam gambarnya ini, adalah rakan karib kami di Utusan Malaysia Kota Kinabalu.
Menurut Azrone, selain kampung di Papar yang kami lalui ini, kampung lain yang turut meletakkan nama lorong menggunakan nama orang yang menetap di situ ialah di kampung Jawi-Jawi dan Kampung Bobot di Kota Belud.Mungkin ada lagi di tempat lain, yang kami tak tahu.
Jumaat, 25 September 2009
Dari `maap jo aaa' sampai `smart kau tu'
Dimana-mana di Tawau sekarang, ungkapan `smart kau tu' selalu hadir di hujung satu ayat atau percakapan. Bunyinya kadang melucukan, atau ungkapan itu menggambarkan keakraban atau juga mungkin olok-olok.
Smart maksudnya bestari, bagus, baik, bijak dan sebagainya.Ini menurut seorang yang saya pernah ditanya apa maksud ungkapan itu. `Smart kau tu', hampir semua remaja di Titingan Hujung, menggunakan ucapan smart kau tu, biasanya untuk mengolok-olok atau membawa erti entah apa apa.
Saya jadi teringat, satu ketika dahulu, kami selalu mengucapkan jogo bana setiap kali bertemu. Jogo bana yang bermaksud supaya kita sentiasa berhati-hati, diungkapkan begitu saja kadang tanpa maksud tertentu. Sekadar satu bentuk sapaan untuk rakan. Jogo bana, satu ketika jadi slogan pasukan bolasepak sabah di zaman kegemilangannya.
Begitu juga jika terjumpa kawan di sekolah dahulu, selalu ucapan yang biasa ialah `maaf jo aaa". Saya kira orang yang paling kerap mengucapkannya ialah cikgu Lamsyur Haji Gunggong, ketika berjumpa dengan kami atau siapa saja, yang meluncur di lidahnya ialah ucapan `maaf jo aaa.", yang diucapkan dengan manis, sebagai satu ucapan untuk memohon maaf walaupun tiada yang perlu dimaafkan.Ia boleh diertikan sebagai `maafkan saya' tetapi disebut secara berlagu.
Maap jo aaa.maap jo aaa.
Khamis, 24 September 2009
Selepas membaca Obama-Keberanian Menggapai Harapan
Akhirnya Obama mencipta sejarah sebagai lelaki kulit hitam pertama menjadi Presiden Amerika yang ke 44 pada 4 November 2008. Ketika pertama kali saya melihat bukunya The Audacity of Hope di KLIA, saya teringin membelinya tetapi rasanya agakmahal harganya. Saya bernasib baik kerana baru-baru ini saya menemui buku terjemahannya dalam Bahasa Melyu Keberanian Menggapai Harapan, Gagasan Meraih Kekmbali Impian Amerika yang diterjemahkan dengan sangat baik oleh Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM). Buku setebal 424 halaman itu mengisahkan mengenai pergolakan politik di Amerika, antara Republikan dan Demokrat, nilai-nilai budaya Amerika, tulisan mengenai perlembagaan Amerika, mengenai pelbagai kaum yang mendiami Amerika, mengenai kepercayaan agama, mengenai peluang, mengenai kedudukan Amerika di persada dunia dan sebagainya.
Tetapi saya lebih tertarik dengan pengalaman Obama ketika bersekolah rendah di Jakarta. Beliau pernah mengejar ayam, pernah dikejar kerbau, pernah menonton wayang kulit dan merasai denyut andi kehidupan di negara Islam terbesar di dunia itu.Semua ini memperluas wawasan obama terhadap iklim dunia.
Ketika disana beliau bersekolah di sebuah sekolah rendah kerajaan bersama anak-anak orang gaji, kerani, tukang jahit dan sebagainya. Semua ini memberikan pengalaman manis bagi Obama.
Kemunculan Barack Obama di pentas politik Amerika mengejutkan ramai orang.
Buku The Audacity of hope itu menurut The New York Times merupakan buku paling laris di Amerika. Keberanian Obama mengutarakan pandangannya, visinya, berkongsi pengalaman mengenai keluarganya, pengalamannya ketika berada di senat, mengenai sikapnya terhadap terhadap perang, memberikan kita harapan baru mengenai peranan yang beliau boleh mainkan, peranan yang boleh dimainkan oleh Amerika dalam politik antarabangsa tanpa bersikap arogan terhadap negeri negeri kecil yang tidak sependapat dengannya.
Buku ini ditulisnya, ketika beliau menjadi senator, sebelum menjadi Presiden Amerika Syarikat yang ke 44. Ia menyerlahkan sisi lain Obama yang telus, tanpa bersikap partisan, dan visi masa depan meraih impian Amerika.
Saya kira dengan membaca buku terbitan ITNM ini akan membantu kita memahami pemikiran Obama, dan juga politik Amerika, dan dengan itu dapat memperluas wawasan dan meneguhkan sikap kita ketika berhadapan dengan hegemoni Amerika.
Rabu, 23 September 2009
Percakapan dengan Zahir dan Jerry
Ketika singgah di Jeddah, mereka sempat mengerjakan umrah, di Mekah dan Madinah.
Apa yang Zahir lakukan jika rindukan keluarga?
"Kami cuba sibukkan diri dengan kerja. Selain itu, dalam kapal juga banyak indoor game," katanya.
Seorang lagi yang sempat ditemui, Jerry Koyoh berasal dari Kota Belud menceritakan pengalamannya sepanjang empat tahun berada di Perancis.
Walaupun bukan beragama Islam, beliau ikut berpuasa kerana rakan-rakannya yang lain berpuasa.
"Saya sempat berpuasa selama tujuh hari," katanya tersenyum. Di Perancis, jika ingatkan isteri beliau berhubung menggunakan kemudahan internet, telefon atau sms. Tugasnya dalam kapal selam itu ialah Staff keselamatan Selam.
Sejak kecil lagi, impiannya ialah memakain uniform.Di sekolah beliau memasuki kadet polis. Sebelum itu, ia ernah memohon jadi polis dan pegawai keselamat di lapangan terbang tetapi rezekinya menjadi anggota tentera laut.
Menceritakan pengalaman di rantau orang, banyak kisah yang boleh dikongsikan bersama Jerry tetapi antara yang paling dirindukannya ialah jeruk bambangan, bahkan ia pernah me`napau'nya untuk dibawa ke Perancis.
Setelah kapal selam itu tiba
Walaupun matahari agak terik, kami mengambil peluang yang amat jarang diperolehi itu untuk merasakan sendiri denyut kehidupan di perut kapal selam.
Setelah berlayar dari Toulun, scorpene tiba di Sepanggar
Pengalaman peribadi menyaksikan kapal selam
Kapal selam itu perlahan-lahan merapat ke pangkalan.Wartawan dan jurugambar bersedia mengambil gambar manakala pelajar-pelajar sekolah mengibarkan bendera Jalur Gemilang.
Tuan Yang Terutama Yang Di Pertua Negeri, Tun Datuk Seri Panglima Haji Ahmadshah Abdullah telahpun tiba. Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Haji Aman juga hadir menyaksikan peristiwa bersejarah itu. Begitu juga kenamaan-kenamaan lain termasuk Speaker, Datuk Haji Juhar Mahiruddin dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Haji Sukarti Wakiman.
Kapal Selam itu menarik perhatian kerana ia tiba ketika 75 tahun Sambutan Jubli Intan TLDM sejak ditubuhkan 1934.
Saya sebenarnya suka menonton filem berkaitan kapal selam, tapi ini berbeza kerana kali ini pengalaman nyata. Sebelum ini, sebuah kapal selam Amerika pernah singgah di KK tetapi ada keengganan untuk melawatnya kerana menunggu kapal selama negara.Biarlah lawatan ke dalam kapal selam negara menjadi peristiwa bersejarah bagi saya secara peribadi.
Saya teringat adik saya Mabulmaddin pernah memohon menjadi anggota TLDM. Ketika akan berangkat untuk menjalani latihan di Woodland,Singapura , beliau bagaimanapun gagal ujian kecergasan dan terpaksa pulang dengan rasa kecewa.
Tidak ramai orang kampung kami yang menjadi anggota tentera laut.Kebanyakan jadi army, bukan navy. Seingat saya cuma arwah Asgana Jamas, yang pernah menjadi anggota Navy dari kampung kami.
Saya pernah membayangkan kapal selam itu seperti ikan paus. Ketika diberi peluang untuk berada dalam peut kapal selam itu-sayangnya kami tidak dibenarkan mengambil gambar-terbetik kekaguman tersendiri betapa tabahnya anak kapal selam itu yang sanggup berada berbulan-bulan di kedalaman laut, meluncur dalam samudera.
Walaupun tidak seperti yang dibayangkan, pengalaman menyaksikan ketibaan kapal selam itu dan berpeluang pula melawat di dalamnya memberikan pengalaman tersendiri bagi diri saya.
Tidak semua orang punya kesempatan seperti kami, dan saya bersyukur kerananya.
`Spiderman' pun solat di masjid
1-Ahmad Fawzan beria-ia ikut ke Masjid. Saya sebenarnya agak enggan untuk membawanya kerana khuatirkan peristiwa tahun lalu berulang. Ketika itu, Fawzan baru berusia dua tahun lebih sikit. Setiap kali kami melihat kubah masjid, Ahmad fawzan akan menunjukkan bahawa bangunan yang dilihatnya itu masjid. Saya kemudian membawanya solat Jumaat di Masjid Babul Khair Kampung Titingan. Ketika sujud, ketika semuanya senyap tiba-tiba di tengah keheningan sujud itu, Fawzan menangis. "Abah, pulang abah". Nasib baik kami berada di rakaat terakhir dan kemudian tergesa pulang.
Jadi ada kekhuatiran untuk membawanya kali ini. Januari nanti, usianya masuk empat tahun.Dia sudahpun bersiap. Saya membawanya dengan menasihatinya supaya jangan menangis, jangan nakal-naka, jangan bising dan bermacam-macam nasihat lagi.
"Abang tak nangis, abang tak nakal-nakal," katanya. "Abangkan spiderman, Ben 10," katanya.
"Abang spiderman kan, " kata saya lagi.
"Tapi spiderman pun sembahyang di masjid abah" katanya. Dan tidak seperti tahun yang lalu, kali ini Fawzan tidak menangis. Cuma doa saya pada hari itu ialah ya Tuhan, janganlah fawzan menangis dan ternyata, tidak seperti tahun lalu, kali ini dia tidak menangis. .
2. Hari Raya Aidil Fitri tahun ini jatuh pada hari Ahad. Selepas solat, saya bergegas pulang kerana biasanya ramai orang yang akan datang singgah dan berhari raya di rumah. Dari pagi hingga ke malam, kami melayan tetamu. Banyak sms yang masuk sejak semalam tapi saya tak dapat membalasnya.Maaflah. Benda yang dinamakan joystick dalam telefon rosak dan tidak dapat digerakkan ke bawah untuk menjawab sms. Saya keluar masuk ke kedai handphone dan diberitahu bahawa part itu kehabisan stock. Kalau adapun, mengambil masa dua hari untuk siap kerana esoknya cuti raya. Saya mengucapkan selamat hari raya maaf zahir batin kepada semua sahabat handai, rakan taulan yang mengirimkan sms dan tak sempat dijawab.
Beraya di tempat pakcik Majid
3. Kami sempat beraya di rumah pakcik Majid Jamal iaitu abang kepada ibu mertua saya. Saya sempat bertanya kenangan ketika beliau muda belia. Pakcik Majid merupakan antara Ahli Jawatankuasa Badan Bahasa Sabah (BAHASA) Cawangan Tawau, yang ketika itu dipimpin Matin Haji Pandin pada awal 70-an. Mereka adalah orang-orang yang ikut berjuang mendaulatkan bahasa Kebangsaan, memastikan papan tanda menggunakan bahasa Melayu yang betul. Selain BAHASA, pakcik Majid juga terlibat dalam SANYA, Rukun Tetangga dan aktiviti kemasyarakatan yang lain.Beliau juga pernah bekerja di Jabatan Air sebelum melibatkan diri dalam Koperasi Kopesta. Pakcik Majid kini merupakan Wakil Ketua Anak Negeri (WKAN) dan merupakan tenaga penting UMNO di Zon Titingan. Tetapi saya hairan juga mengapa orang-orang yang telah berjuang begini, pingat BK (Bintang Kinabalu) pun tak dapat.Mungkinkah terlepas pandang.Sementara orang yang baru kelmarin berjuang sudah dapat bintang PGDK, ASDK, ADK, BSK dan paling kurang BK.
4. Sempat juga kami berhari raya ke Batu Payung di rumah Pakcik Anting (Ahmad Alim). Pakcik Maing (Cikgu Ismail Alim) tak ada di rumah mungkin ke kebunnya di Sg Matahir. Pakcik Anting tinggal di rumah barunya. Rumah arwah atuknya yang dibina pada tahun 1958 itu baru saja dirobohkan seminggu yang lalu.
Pakcik Anting adalah saudara sepupu bapa saya. Bapanya Alim dan ibu kepada bapa Saya, Sablah adalah adik beradik. Begitu juga Takim, iaitu ayah kepada pakcik Ahmadshah, Takim di Kampung Jaya Bakti, Beluran, mereka semuanya adik beradik yhang terpisah puluhan tahun lamanya.
5. Pakcik Bakar, adalah antara tamu yang datang beraya ke rumah. Beliau membesar bersama arwah bapa mertua saya. Banyaklah kenangan yang tersemat di ingatan.Salah satunya ialah mereka pernah berlawanmana yang paling banyak boleh menghabiskan rokok.Pakcik Bakar setiap hari boleh menghabiskan enam kotak rokok Surya 12 batang. Tapi kini sejak 2004, atas nasiaht beliau sudah berhenti merokok. Dulunya, pakcik bakar juga terlibat dalam kegiatan teater bangsawan ketika itu di Tawau, ia dipanggil Memanda dan pernah membuat persembahan di seluruh Tawau.
"Apa watak pakcik?"
"Saya berlakon sebagai Jin.Jin Api," katanya.
6. Hanya pada hari raya kedua, barulah kami berkesempatan untuk berziarah ke kuburan arwah bapa mertua saya berdekatan Islamiah. Sepanjang kami melewati kuburan itu, anak saya Mehran dan sepupunya Nabiela berhenti pabila ternampak tulisan makam bertulis Al fatihah sampai habis. Oleh kerana banyak kuburan, mereka hanya menyebut Al Fatihah. Di kuburan atuk mereka, mereka membaca Al-Fatihah dan Al-Kautsar.
Tapi ini lebih baik berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Ketika itu, mereka berhenti pada setiap kuburan dan membaca doa Allahuma Bariklana.
"Itu doa makan, Iyan," . Abah, macam mana Atuk makan dalam kuburnya?
7. Setiap kali hari raya, antara tempat yang tak dilewatkan ialah tempat Ya' Giak di Taman Semarak. Di tempat makcik ini, selalu menunya sup. Hebat juga rasanya. Ada juga Ya' Kahar, yang ketika musim perang Jepun sudah berusia 15 tahun. Beliau menceritakan keperitan dan kepahitan perang. Banyak orang banyak ragamnya. Ada yang minat memancing, ada yang minat berburu. "Hari itu, kami berkonvoi 13 kereta semuanya ke arah Luasong, tapi pulang dengan tangan kosong".
"Padahal beberapa bulan sebelum itu, saya dapat enam ekor payau," katanya. Banyak kisah menarik. Orang Tawau berburu di Nabawan tapi orang Nabawan pula ke kawasan Tawau untuk berburu.
8. Di Kampung Muhibbah, kami beraya ke rumah Ya' Jelis. Suasananya ramai. "Kami keluarga besar, katanya.
"Kami enam adik beradik saja, punya 41 orang anak kesemuanya. Itu belum masuk Cucu, belum masuk cicit. Mereka termasuk keluarga yang banyak anak.
Kami juga sempat bertemu Kak Ot. Suaminya abang Padlee Shaibon, itu orang Kota Belud. "Kami satu daerah. Sempat juga saya mengambil gambar anak-anaknya , antaranya Faizal dengan Mehran, Fawzan dan Farhan kerana kebetulan di rumah itu, mereka adalah orang yang berasal dari satu daerah-Kota Belud- dan kebetulan pula punya darah Iranun.
9. Sejak hari raya pertama hingga hari raya ketiga menunya, kalau tidak daging, ayam! Jadi masuk hari ketiga, kami belum sempat makan nasi. Jadi waktu bersarapan itu, kami makan burasak', sejenis makanan di Tawau-yang originnya mungkin Bugis dan Bulungan, dengan berlaukkan ikan masin -liking dari Kota Belud-. Aduh sedapnya tidak terkira.
10. Ramai tamu yang memuji masakan mama. Ramai yang bertanya resipinya. Tapi masakannya memang sedap.Ada class, bukan kerana dia ibu mertua saya tapi memang ramai yang memujinya. Tapi ketika ditanya apa rahsianya, katanya sederhana saja.
"Kalau masak, jangan marah-marah.Muka jangan cemberut kerana kalau marah-marah, masakan tidak sedap.
11. Sempatlah juga kami mengadakan hari ulang tahun Sitti Mehran Yasmine Abd.Naddin yang ke 9 tahun dan sepupunya Izzatul Nabiela Shukri, yang ke tujuh tahun. Sebenarnya hari lahir Iyan jatuh pada 10 September tapi kerana puasa, majlisnya ditunda pada hari raya ketiga.Lagipun Iyan minta supaya dia menyambut hari lahir menunggu kepulangan sepupunya dari Pusa, Betung Sarawak. Itulah sebabnya majlis itu diadakan untuk mereka berdua.
Bagi kanak-kanak, barangkali yang paling pentin g ialah memiliki belon-belon, makanan dan kek mungkin bukan keutamaan mereka.Maka kami membeli 100 belon dan apabila alat peniup belon itu rosak maka kami bersama-sama meniup belon.
Kami berharap belon-belon itu boleh terbang dan hinggap ke masa depan.
Selasa, 15 September 2009
Catatan balik kampung
Liking, ikan masin istimewa dari Kota Belud
bercerita 1 malaysia di tengah sawah
Ah mana mungkin! orang sekarang asyik bicara 1 Malaysia tapi lupa sejarah malaysia.
Meniti jambatan bahaya di Kampung Tawadakan
Atau mungkin inilah yang menjejaskan hubungan kita bila tiba pilihanraya akan datang.
Barangkali inilah keluhan penduduk Kampung Tawadakan Kota Belud yang hampir keletihan menunggu ihsan supaya jambatan yang penting sebagai jalan perhubungan mereka, dapat diperbaiki. Jambatan di sebelah bawah digunakan oleh kanak-kanak sekolah untuk ke SK Kesapang manakala jambatan di sebelah atas digunakan untuk menyeberang ke SMK Taun Gusi Kota Belud.
Ahad, 13 September 2009
Kenangan berama pengamen di Bandung
Kami terhibur ketika dia menyanyikan lagu-lagu Ebiet G.Ade. Ketika di bandung selepas membeli belah di kebun kalapa, kami makan di restoran yang menyediakan pelbagai jenis makanan. Walaupun sudah lama berlalu, foto februari tahun lalu, gambar ini saya terjumpa ketika mengemas fail. Kelihatan pelukis dan penyair, seniman Nandra Hitong atau nama penanya Nandrayanatirow bergambar dengan penyanyi ini sebaik-baik beliau selesai menyanyikan lagu semalam di malaysia. semalam di malaysia sekarang mungkin berlainan di kalangan segelintir orang di sana.segelintir orang yang entah kenapa bisa marah tanpa usul periksa.