Friday, September 25, 2009

Dari `maap jo aaa' sampai `smart kau tu'

Entah apa maksudnya, ungkapan `smart kau tu" begitu digemari kini. Khususnya di Tawau, dimana pertama kali saya mendengarnya diucapkan oleh remaja. Apakah ini bahasa slanga? paling terkejut ialah apabila anak saya Fawzan mengucapkan `smart kau tu" selepas disapa gadis KFC.
Dimana-mana di Tawau sekarang, ungkapan `smart kau tu' selalu hadir di hujung satu ayat atau percakapan. Bunyinya kadang melucukan, atau ungkapan itu menggambarkan keakraban atau juga mungkin olok-olok.
Smart maksudnya bestari, bagus, baik, bijak dan sebagainya.Ini menurut seorang yang saya pernah ditanya apa maksud ungkapan itu. `Smart kau tu', hampir semua remaja di Titingan Hujung, menggunakan ucapan smart kau tu, biasanya untuk mengolok-olok atau membawa erti entah apa apa.

Saya jadi teringat, satu ketika dahulu, kami selalu mengucapkan jogo bana setiap kali bertemu. Jogo bana yang bermaksud supaya kita sentiasa berhati-hati, diungkapkan begitu saja kadang tanpa maksud tertentu. Sekadar satu bentuk sapaan untuk rakan. Jogo bana, satu ketika jadi slogan pasukan bolasepak sabah di zaman kegemilangannya.

Begitu juga jika terjumpa kawan di sekolah dahulu, selalu ucapan yang biasa ialah `maaf jo aaa". Saya kira orang yang paling kerap mengucapkannya ialah cikgu Lamsyur Haji Gunggong, ketika berjumpa dengan kami atau siapa saja, yang meluncur di lidahnya ialah ucapan `maaf jo aaa.", yang diucapkan dengan manis, sebagai satu ucapan untuk memohon maaf walaupun tiada yang perlu dimaafkan.Ia boleh diertikan sebagai `maafkan saya' tetapi disebut secara berlagu.
Maap jo aaa.maap jo aaa.

1 comment:

abd naddin said...

Satu lagi yang tertinggal, satu ekpresi `boli ba kalau kau'.