Sunday, September 13, 2009

Osman bingkas jawab isu tanah di Sabah

Beberapa isu berkaitan tanah yang dibangkitkan PKR Sabah khususnya oleh AMP PKR, Haji Ansari Abdullah yang tersiar di akhbar tempatan menjadi isu hangat yang dibahaskan di kalangan rakyat Sabah.

Antara isu yang dibangkitkan Ansari antaranya seperti berikut
Isu 1.Kehilangan Harta Pusaka Anak Negeri kepada Individu Bukan Anak Negeri Melalui Pindahmilik Tanah. Isu yang dibangkitka oleh PKR adalah menyentu tentang kelemahan undang-undang sedia ada berkaitan dengan pindahmilik tanah dengan penggunaan nominees of Public Listed Company, dan penggunaan sijil Anak Negeri.

Isu kedua Tukar syarat Geran Tanah NT kepada CL, Isu ketiga Menghadkan pemilikan tanah melalui pindahmilik kepada Non Sabahan, dan isu keempat, mengujudkan tanah simpanan untuk anak negeri dll.

Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur, Datuk Haji Osman Jamal ketika menanggapi perkara itu berkata Kerajaan Negeri sentiasa mempertahankan hak dan keistimewaan Anak Negeri dalam pemberimilikan tanah.

Katanya, kerajaan juga menganugerahkan tanah kerajaan kepada individu dan syarikat dengan syarat C.L seluas 1,432,410 hektar atau 76% jumlah tanah keseluruhan keluasan tanah bergeran bertujuan untuk menjana hasil Negeri dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Negeri Sabah.

Beliau berkata, dari segi pindahmilik N.T dan tukar syarat geran tanah daripada geran tanah N.T kepada C.L, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Tanah dan Ukur sentiasa memastikan prosedur yang diamalkan mematuhi undang-undang yang sedia ada dan tidak memudaratkan kepada pembangunan negeri dan menjejaskan kepentingan Anak Negeri.

Mengikut Ordinan Tanah Bab 68, geran tanah syarat N.T boleh dipindahmilik kepada seseorang seperti berikut iaitu bakal pemilik tanah adalah seorang yang berstatus Anak Negeri seperti termaktub dalam peruntukan di bawah Seksyen 2 (1) (a) Interpretation (Definition of Native) Ordinance Cap 64.

Geran tanah NT juga boleh dipindah milil kepada Bakal pemilik tanah yang memiliki Sijil Anak Negeri Yang sah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Anak Negeri berdasarkan kepada peruntukan di bawah seksyen 2 (1) (b) hingga (d) Interpretation (Definiton of Native) Ordinance Cap 64.

Seseorang Anak Negeri boleh memiliki bilangan geran tanah NT tanpa had dan boleh memajakkecil kepada mana-mana individu atau syarikat berdaftar selaras dengan seksyen 17 (5) Ordinan Tanah Sabah.

Sekiranya tanah dimiliki melalui proses pindahmilik yang tidak bertentangan dengan mana-mana peruntukkan undang-undang, maka ianya tidak seharusnya dilabelkan sebagai isu yang serius. Walau bagaimanapun, jika cara pindahmilik yang menggunakan Sijil Anak Negeri yang palsu, maka Jabatan Tanah dan Ukur boleh membatalkan pindahmilik tersebut dan mengembalikan hak pemilikan kepada pemilik asal.

"Sekiranya Haji Ansari atau mana-mana individu mempunyai bukti-bukti seseorang itu menggunakan Sijil Anak Negeri yang palsu yang telah diputuskan oleh Mahkamah maka perkara ini boleh dilaporkan dan dikemukakan kepada Jabatan Tanah dan Ukur untuk tindakan lanjut dengan kuasa-kuasa yang diperuntukkan di bawah Ordinan Tanah bab 68.

Menurutnya, pada tahun 2008, Jabatan Tanah dan Ukur telah mewujudkan Jawatankuasa Permohonan Pindahmilik geran tanah NT yang bertanggungjawab untuk memastikan Sijil Anak Negeri yang digunakan adalah sah di sisi undang-undang atau bakal pemilik tanah yang tidak memiliki Sijil Anak Negeri tetapi layak memiliki geran tanah NT mengikut undang-undang sedia ada.

Mengenai dakwaan tukar syarat geran tanah N.T kepada C.L yang memakan masa lima hari, Osman berkata mengikut rekod, Jabatan Tanah dan Ukur tidak pernah memproses permohonan tukar syarat geran tanah N.T kepada C.L dalam masa yang begitu singkat dan mustahil untuk dillaksanakan.

"Ini adalah disebabkan permohonan bagi tujuan tersebut perlu ditentukan terma dan syarat penukaran gerana tanah berdasarkan kepada pelan pembangunan yang diluluskan Pihak Berkuasa Tempatan dan seterusnya dirujuk kepada Pejabat Setiausaha Hasil Bumi untuk kelulusan Ketua Menteri. Kecepatan memproses permohonan tersebut di atas adalah bergantung kepada bebanan kerja yang sedia ada," katanya.

Beliau juga berkata, tidak ada undang-undang yang melarang atau menghadkan pemilikan tanah di negeri Sabah kepada non-sabahan. Sehingga kini Jabatan Tanah dan Ukur belum menerima laporan secara rasmi yang membuktikan bahawa pemilikan tanah melalui pindahmilik oleh non-Sabahan memudaratkan dari segi pembangunan sosial dan pertumbuhan ekonomi malah memberi manfaat kepada penduduk negeri sabah.

"Oleh itu, tidak harus ada sekatan menghadkan pemilikan tanah kepada non-Sabahan," katanya.

Beliau menegaskan Kerajaan Negeri Sabah memang prihatin terhadap hak Anak Negeri sabah untuk memiliki tanah sama ada melalui pemilikan hakimilik tanah atau ekuiti dan juga mewartakan kawasan tanah kerajaan sebagai Tanah Simpanan Anak Negeri untuk masa hadapan.

Beliau berkata,sehingga 31 Disember 2008, Jabatan Tanah dan Ukur telah mengeluarkan geran tanah N.T sebanyak 185,122 geran tanah dengan keluasan 1.2 juta ekar iaitu 57% daripada jumlah keseluruhan geran tanah yang telah dikeluarkan dan 24% daripada jumlah keluasan tanah bergeran.

Katanya, di samping itu, seluas 44,515 hektar di seluruh Negeri Sabah telah diwartakan untuk Simpanan Anak Negeri bagi tujuan rizab padang ragut.

Menurutnya, Kerajaan Negeri mempunyai dasar untuk membolehkan Anak Negeri memiliki tanah pertanian samaada secara pindahmilik atau ekuiti sebanyak 30 peratus ke atas tanah C.L yang berkeluasan lebih 1,000 yang telah dibangunkan selama lima tahun.

Sehingga 31 Disember 2008, jumlah keluasan tanah yang perlu dipindahmilik kepada Anak Negeri sama ada melalui hakmilik tanah atau ekuiti ialah seluas 223,393 ekar.

Katanya,Pemilikan hartanah Anak Negeri melalui projek membasmi kemiskinan yang dilaksanakan oleh Agensi Kerajaan atau swasta secara komersial dengan konsep menang-menang antaranya, projek usahasama seluas 4,500 hektar di antara SLDB dengan penduduk in-situ di Keningau (1999-2005).

Selain itu, projek pembangunan ladang sawit seluas 4,039 hektar secara usahasama di antara Borneo Samudera Sdn.Bhd. (BSSB) dengan penduduk in-situ di Kalabakan (1999), Projek pembangunan ladang sawit seluas 1,793 hektar di antara BSSB dengan penduduk in-situ di Tongod (2000), Projek Pembangunan Ladang getah seluas 10,000 hektar diantara Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) dengan penduduk in-situ di Semenanjung Bengkoka Pitas (2005) dan projek pembangunan ladang getah seluas 4,500 hektar di antara FELCRA dengan penduduk in-situ di Lok Tohok, Pulau Banggi Kudat (2006).

Menurutnya, Kerajaan juga menyediakan tanah seluas 41,400 ekar untuk Projek Agropolitan dan seluas 12,741 ekar untuk projek MESEJ bertujuan membasmi kemiskinan di luar bandar.

Tambahnya, Kerajaan juga mewartakan tanah kerajaan yang sesuai untuk pembangunan tanah pertanian bagi Simpanan Anak Negeri di bawah Seksyen 79 Ordinan Tanah Bab 68.

Osman juga berkata, Kerajaan juga mempercepatkan proses pemberimilikan tanah bersyarat NT kepada Anak Negeri melalui kaedah baru iaitu Fast Track Planned Land Alinenation.

"Kaedah ini digunakan untuk menjamin tanah kerajaan yang masih tersedia di setiap kampung diberi miliki kepada penduduk kampung yang layak memiliki hak milik tanah N.T.

"Kaedah tersebut sedang dilaksanakan di daerah Nabawan dengan keluasan 8,000 ekar tanah merangkumi 20 buah kampung," katanya.

4 comments:

markmoress said...

Kenapa masih ada tanah yang di duduki.orang kampung di sook lebih dariapada 20 tahun dan geran tanah belum di keluarkan

markmoress said...

Hmm

MISS SUE said...

Saya setuju dgn markmoress! mak ayah saya sudah lebih 15 tahun mengusahakan tanah di semporna tp smpi skrg xda geran! just surat CL jerk! skrg nie org suka2 nak ambik tanah tu! tolong la kalu anda betol2 dengan kenyataan dalam blog nie!

MISS SUE said...

Mak ayah saya sudah mengusahakan tanah di semporna selama 15 tahun dan dalam proses nak dapat kan geran! sampai skrg geran belum diluluskan dan skrg nie kebun ayah saya sudah ditolak oleh jentolak yang tidak tahu dtg dari kontraktor mana! di mana keadilan untuk org2 tua mcm ayah saya?saya amat sedih dengan keadaan politik di sabah!