Sunday, September 27, 2009

Pinjaman `sang guru bangsa'


Tanpa seorang lelaki yang bernama Pinjaman Hassin, kesedaran politik Iranun tidak mungkin tumbuh subur seperti sekarang.

Pinjaman muncul ketika masyarakat Iranun, yang minoriti dan waktu itu agak tertekan kerana merasakan mereka dipinggirkan mahukan seorang wakil, seorang jurubicara yang boleh memperjuangkan aspirasi mereka.

Dekad 60-an dan 70-an merupakan satu dasawarsa yang tidak begitu ramah bagi masyarakat ini. Mereka merasakan bahawa mereka patut diwakili supaya anggota komuniti yang rata-ratanya miskin dan tidak berpendidikan itu mempunyai masa depan yang lebih cerah.

Pinjaman muncul pada ketika masyarakat Iranun dalam kemelut.Sebagai seorang pemuda yang baru berusia 17 tahun, Pinjaman yang baru saja lulus LCE meninggalkan bangku sekolah untuk sama berjuang. Di peringkat awal beliau banyak membantu Haji Mulia dalam merancang gerakan kebangkitan bangsa.

Sebagai pejuang, banyaklah duri dan ranjau yang dihadapinya. Beliau pernah dikasari ketika dalam perjalanan ke pusat penamaan calon.Beliau hampir ditangkap dan terpaksa diseludup dalam bonet kereta dan dilarikan ke Brunei dan dari sana, terus ke Kuala Lumpur.

Semua ini tidak menghalangnya untuk meneruskan perjuangan. Ketika berada di Kuala Lumpur, bersama MA Rahman sebagai pengarang, beliau bertindak sebagai penerbit surat khabar Warta Sabah yang diterbitkan di Pulau Pinang pada tahun 1971.

Kesedarannya yang tinggi mengenai kepentingan media dan maklumat ini, jauh sebelum era informasi atau IT, menempatkan beliau sebagai salah seorang pemimpin yang mempunyai visi.

Pinjaman juga terlibat dalam penubuhan United Sabah Action Party (USAP) dan dipilih sebagai salah seorang central comitteenya.

Kerana sesuatu sebab, USAP tidak dapat bertanding. Ini menyebabkan sahabat baik Tan Sri Dr.Tan Chee Koon dan Ahmad Boestaman ini, membawa Parti Keadilan Masyarakat Malaysia (PEKEMAS) untuk mengembangkan sayapnya ke Sabah.

Gagasan politiknya yang menasional memberikan Pinjaman satu kedudukan yang istimewa dalam politik oposisi di Sabah.

Beliau pernah beberapa kali ditawarkan jawatan penting dalam USNO, asalkan saja beliau mendiamkan diri. Begitu juga, beliau pernah beberapa kali mendapat tawaran Parti BERJAYA tetapi beliau hanya menerima pelawaan Berjaya yang dibuat melalui Setiausaha Agung Berjaya, Datuk Haji Mohd.Noor Mansor yang ketika itu Menteri Kewangan Sabah pada tahun 1979. Satu majlis telah diadakan di Kampung Tamau, berdekatan perkarangan masjid Lilud dan beliau mengumumkan penyertaan dalam Berjaya di hadapan para penyokongnya.

Sejarah perjuangan Pinjaman dan peranannya dalam politik Sabah padaawal 1960-an dan 70-an terutamanya yang berkaitan kebangkitan politik iranun, saya kira perlu ditempatkan dalam perspektif yang lebih adil. Penyelidikan dan kajian perlu dibuat supaya sejarah perjuangan tidak dilupakan untuk membina asas persefahaman yang lebih kukuh pada masa depan.

Semua orang mempunyai zaman dan waktunya masing-masing. Pinjaman memulakannya dan kini pemimpin lain menyuburkannya.

"Keadaan pada waktu, situasi pada ketika itu mewajarkan tindakan politik Pinjaman," kata Datuk Seri Salleh Tun Said, yang kini sedang menyiapkan skripsinya untuk mendapat gelar PhD.

Sebagai seorang pemimpin yang berjiwa besar, Salleh dapat melihat rasional langkah politik Pinjaman meskipun pihak yang ditentang oleh Pinjaman ialah arwah Tun Said (ketika itu masih bergelar Tan Sri).

Dalam pilihanraya 1981, sekali lagi Pinjaman menjadi salah satu faktor yang menyebabkan arwah Abdul Mumin Haji Mulia bertanding atas tiket Bebas menggunakan lambang Harimau sebagai respon masyarakat Iranun selepas Pinjaman tidak dicalonkan sebagai calon Berjaya pada ketika itu.

Pada tahun 1982, seorang peguam yang ketika itu menjadi penasihat undang-undang di Jabatan Perhutanan, Pandikar Amin Haji Mulia (kini Tan Sri Datuk Seri Utama Pandikar Amin Haji Mulia ini) bertanding dalam Parlimen Kota Belud menentang Datuk Yahya Lampong tetapi kalah. Beberapa bulan selepas itu, Pandikar Amin, ketika itu berusia 27 tahun, bertanding sebagai calon USNO menentang Salleh Said (kini Datuk Seri Panglima Salleh Tun Said) yang menjadi calon Berjaya pada masa itu. Pandikar menang.
Sejarah kemudian mencatatkan, Pandikar yang ketika itu Naib Presiden USNO keluar parti lalu membawa diri selepas melihat ada kendala untuknya dan untuk generasi muda seangkatannya untuk memegang teraju yang penting dalam USNO.
Selepas kembali ke tanahair, beliau menubuhkan Parti BERSIH. Pinjaman turut terlibat di dalam penubuhan parti itu. Bersih bertanding dalam pilihanraya 1985 tetapi mereka kalah kesemua kerusi.
Pandikar kemudian dilantik Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah dan merupakan speaker termuda di komanwel. Selepas itu beliau dilantik Ahli Dewan Negara.

Tetapi apabila PBS semakin dilihat sebagai kurang adil, dan kurang memperjuangkan golongan bumiputera Islam, Pandikar bersama rakannya keluar parti dan menubuhkan Parti AKAR bersama Mark Koding dan Kalakau Untol. Parti inilah yang menjadi instrumental kepada detik-detik kejatuhan Kerajaan PBS.

Politik masyarakat Iranun ketika itu menjadi terbagi. Pinjaman tetap bertahan di PBS sementara Pandikar Amin menjadi tenaga penting dalam AKAR. Bermula sebagai setiausaha agung hinggalah menjadi Presiden parti itu. Selepas menang kerusi Temapsuk dalam pilihanraya 1994 atas tiket BN-AKAR, Pandikar dilantik dalam Kabinet sebagai Menteri Belia dan Sukan.

Selepas tidak bertanding dalam pilihanraya 1999, Pandikar dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Dengan itu, segala hasrat dan aspirasi masyarakat itu untuk melihat pemimpinnya duduk dalam arus kepimpinan negara seperti yang dihasratkan masyarakat ketika perjuangan awal dahulu telah tercapai.

Politik Iranun yang kemudian banyak bersandar kepada Pandikar Amin kemudian tersentak lagi apabila Pandikar Amin membubarkan parti AKAR dan semua ahlinya menyertai bahtera yang lebih besar iaitu UMNO.

Beliau kemudian dilantik sebagai Ketua bahagian UMNO Kota Marudu.Selepas pilihanraya 2004, beliau menjadi ADUN Tempasuk.Namun waktu itu beliau tidak lagi memegang apa-apa jawatan sebaliknya hanya menjadi Pengerusi IDS.

Beliau digugurkan dari senarai calon pada pilihanraya 2008. Tetapi nasib masih menyebelahinya apabila beliau dilantik sebagai Yang Di Pertua Dewan Rakyat pada tahun 2008.

Sejarah dan gelora perjuangan bangsa terdahulu kini amat difahami oleh Tan Sri Pandikar Amin, lebih suka dipanggil Pa' Min. Beliau yang menjadi `Datu Kabugatan' Iranun kini memikirkan bahawa sudah waktunya perjuangan bangsa tidak lagi berasaskan kaum dan pemikiran yang sempit kerana dunia sudah berubah.

Sejarah juga membuktikan bahawa bangsa yang besar boleh hancur jika pemimpinnya lalai. Paling penting ialah penyatuan rumpun bangsa supaya bergerak seiring mengetepikan perbezaan dan menonjolkan persefahaman dan persamaan antara mereka.

Jikalau Pinjaman dahulu meletakkan batu asas perjuangan, kini Pa' Min mengemudi hala tuju bangsa sebelum baton beralih tangan kepada generasi pemimpin selepas mereka.

Bagaimanapun, saya sangat menaruh hormat yang tinggi kepada tokoh Pinjaman ini. Sudah sewajarnya jika jasa-jasa bakti beliau dihargai, sekurang-kurangnya oleh masyarakat Iranun.

Tidak ada sesiapapun yang boleh menafikan bahawa Pinjaman adalah salah seorang pelopor kesedaran masyarakat Iranun di negeri ini.






6 comments:

NqZj said...

saudara,
saya berpendapat bahawa perjuangan saudara Pinjaman Hassin ini membantu mengubah mentality masyarakat Iranun dan memberi 'harga' yang tinggi kepada 'dignity' masyarakat Iranun pada pandangan masyarakat lain.saya sangat sokong gelaran yang diberi oleh saudara ini.

NqZj said...

saudara,
saya berpendapat bahawa perjuangan saudara Pinjaman Hassin ini membantu mengubah mentality masyarakat Iranun dan memberi 'harga' yang tinggi kepada 'dignity' masyarakat Iranun pada pandangan masyarakat lain.saya sangat sokong gelaran yang diberi oleh saudara ini.

abd naddin said...

dipetik daripada blog http://watababai.blogspot.com

membaca catatan abang Naddin dalam blog nya ,mengenai pakcik Pinjaman, benar-benar menyentuh kalbu saya. Kerana saya boleh dikatakan membesar dengan cerita perjuangan Pakcik Pinjaman ini. Sebagai orang Marampayan saya cukup mengenali pakcik Pinjaman juga keluarganya..sangat rapat ! kerana keluarga saya juga merupakan benteng perjuangan Pakcik Pinjaman. Saya juga kenal dengan "datu kabugatan" Iranun yang dikatakan oleh abang naddin..juga rapat dan tahu sejarah perjuangannya. Bapa saya suka sangat bercerita tentang kedua tokoh ini. Biarpun bapa saya bukan terpelajar tetapi ceritanya mengandungi perjuangan bangsa yang bila mendengarnya, membuatkan saya meremang bulu roma.


Biarpun pakcik Pinjaman, tidak mendapat tempat dalam politik Sabah, seperti Tan sri Pandikar..tetapi beliaulah pejuang sebenar-benarnya yang mendaulatkan kuasa politik Iranun. Beliau ada karisma, idea perjuangan yang kental...tawaduk dan istiqamah. tidak muda lentur semangat juangnya....sentiasa memberikan keutamaan kepada bangsanya..tidak pernah membiarkan kuasa politik Iranun dipersendakan..jauh sekali mengutamakan kepentingan peribadi dan mengaut keuntungan harta dan pangkat dengan menggadaikan maruah Iranun.


Kadang-kala saya menitiskan air mata bila mendengar sejarah perjuangannya. Malahan pernah diceritakan bahawa dalam politk beliau pernah tidak sependapat dan Tan Sri Pandikar...tetapi tidak membuatkan dia lupa diri bahawa Tan sri Pandikar itu adalah orang Iranun yang mewarisi perjuangan bangsanya. Lihatlah wahai generasi muda sekarang..lihatlah pejuang bangsa iranun yang sebenar..biar dimamah usia..tetapi segar minda dan perjuangannya. semoga pakcik pinjaman terus diberikan kekuatan untuk bangsa biar 1000 tahun mendatang...Andainya usia menjadi batasan..namun pemikirannya dan perjuangannya menjadi ikutan pejuang baru yang lebih banyak cabarannya.

AgShariff said...

Kita menyanjung tinggi malah amat berterima kasih pada pemimpin terdahulu..klau bukan mrk siapa kita pada hari ini...

sebagai genarasi/waris keturunan (pejuang)saya bertanya pada pemimpin dan masyarakat suku kaum irranun...apakah kita sekadar meratapi perjuangan mereka-mereka terdahulu seperti Abg Saya (pinjaman) atau adakah kita sedar selepas Pa'Min SIAPA PELAPIS politiknya contoh terdahulu Pinjaman-Pa'Min- dan sekarang ?????

Justeru itu, sebagai org awam dlm arena politik kini merasakan... bangkitlh/sedarlah wahai bangsaku bersatu dalm membentuk satu m'yarakat yg bersatu dan jitu. buanglah tabiat politik kedai kopi dan sedarlah kita sebenarnya jauh ketinggalan daripada arus politik/pembangunan Malaysia kini..

Noor Aina Rireen said...

Perjuangan seorang insan untuk memperjuangkan suara bangsa..:)..Matabanshah Pinjaman Apitan Panayaman...

Punch Hasham said...

Syabas penulis. Sentiasa mengkaji dan 'mengorek' kisah dan sejarah Iranun.
Dalam politik, masyarakat Iranun sepatutnya menilai perbezaan politik adalah untuk menghasilkan pati kepada memantapkan ekonomi sosial yang menyeluruh.