Wednesday, September 9, 2009

Syabas untuk saudara Milus

Betapa gembiranya kami mendengar khabar Saudara Milus sudah menyelesaikan viva masternya di UMS. Tahniah. Beliau melangkah setapak lagi untuk menjadi sejarahwan yang tidak boleh lagi disangsikan ketokohannya.


Saudara Milus kini bertugas sebagai seorang guru di daerah kelahirannya di Kota Belud. Beliau merupakan mantan Yang Di Pertua Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Kota Belud dan juga merupakan Setiausaha Persatuan Graduan Iranun Sabah (PAGISA), sebuah persatuan yang menghimpunkan tokoh-tokoh Iranun muda berpendidikan yang diharapkan dapat memacu kemajuan bangsa pada masa kini dan masa depan.

Milus adalah salah seorang senior kami di SK Tamau dahulu. Beliau abang dua kelas di atas saya.Ketika itu, saya ingat Milus bersama Akriah Haji Abdullah (pemilik Farmasi Aslam) dan Musa Haji Omar,(kini seorang pendidik) adalah bintang di sekolah kami, . Seorang lagi, Sarimah Ekong (kalau tak silap kini merupakan pegawai pertanian di Tawau).Mereka inilah role model kami sewaktu di sekolah dahulu.

Mereka bertiga melanjutkan pelajar di SMK Limau-Limauan ketika itu dan Sarimah ke SMK Menggatal. Selepas itu kami lama tidak bertemu.

Hanya beberapa tahun kemudian, masih segar di ingatan saya ketika kami berjumpa di Maktab Perguruan Keningau, ketika beliau menjadi pelatih dan saya menjadi peserta Manifestasi Puisi, tahun 88.

Pertemuan kami itu amat mengesankan kerana sebagai seorang yang belasan tahun ketika itu, sudah tentulah saya berasa bertuah kerana diberi perhatian oleh rakan sekampung yang kebetulan pula menjadi YDP Abim di MP Keningau ketika itu.
Saya dibawa melihat kawasan maktab dan bilik tempatnya tinggal dan kami sempat juga bertukar pendapat mengenai isu belia dan bermacam lagi.

Kami menjadi rakan yang akrab kerana kami masing-masing meminati sejarah. Selain itu, dalam bidang sejarah itu, yang banyak memberi dorongan kepada kami ialah Allahyarham Dr.Datu Bandira Datu Alang. Bersama arwah, ada kalanya kami terlibat dalam perbincangan yang mendalam, ada kalanya kami terlibat dalam perdebatan sejarah kerana arwah itu kadang suka berhujah, memprovok dan seperti sengaja menguji pemikiran dan pengetahuan kami.

Ketika orang tidak menunjukkan minat dalam bidang sejarah, Milus hampir sendirian menekuni bidang itu. Sebagai seorang pemikir, beliau pernah menulis dan membuat kajian terperinci mengenai Perang Pandasan 1915, yang memunculkan seorang tokoh tempatan bernama Sharif Ali.

Melalui ABIM yang dianggotainya, mereka menyarankan agar kerajaan memelihara dan memulihara tempat bersejarah di negeri ini dan diwartakan sebagai tapak bersejarah. Selain, Sharif Ali, perlu diwartakan juga ialah Kuburan Sharif Osman di Kota Marudu, Pak Musa di Beaufort dan sebagainya.

Beliau seorang yang tekun. Kalau beliau lebih serius menekuni bidang akademik, sudah tentulah Milus akan menjadi salah seorang sejarahwan dan pemikir bangsa.

2 comments:

Pena Alam said...

abg.naddin, teruskan tulisan abang nad yang damai...tak berbaur perasaan amarah, innuendo...sakastik dan sebagainya...pa'al suka tulisan abg. nad..tak lekat dpd unsur2 itu...tahniah abg nad. tak salah pa'al jadikan abg nad idola..:-)

abd naddin said...

Terima kasih pa al.Terima kasih banyak atas ulasan.