Monday, October 19, 2009

Catatan ringkas mengenai kampung kami

Ustaz Haji Yusof Abdul Rahman telah lama kembali ke kampung halamannya. Beliau berasal dari Melaka. Selama beberapa tahun, beliau bertugas sebagai guru agama di Sekolah Ugama Islam (SUI) An Nuar, Kampung Taun Gusi Kota Belud dalam tahun-tahun 70-an dan 80-an.
Saya sempat menjadi muridnya meskipun sebentar.
Tetapi nama inilah yang akan kita temui kalau kita mengkaji bagaimana mulanya anak-anak Kota Belud terdorong untuk belajar di sekolah-sekolah pondok di merata tempat di Tanah Melayu.
"Beliau datang sendiri ke rumah kami, jumpa ibubapa kami .Kemudian tanya berapa ekor kerbau milik kami," kata Ustaz Daiman Salalah, salah seorang pelajar yang pernah belajar di Kedah dan Pulau Pinang.
Ketika itu masih ramai orang yang memiliki kerbau di kampung. Ustaz Yusof mencadangkan supaya seekor kerbau dijual untuk mendapatkan tambang penerbangan untuk menyambung pelajaran di semenanjung.
Beliau sendiri yang datang ke rumah, itulah sebabnya ramai pelajar dari kampung Tamau, selain dari kampung-kampung lain juga, untuk belajar disekolah pondok Semenanjung khususnya Kedah dan Pulau Pinang, kata Ustaz Daiman lagi ketika saya menemubualnya di kantin Yayasan Sabah.
Kemudian ramai di antara mereka mendapat dermasiswa dari Yayasan Sabah tetapi kehidupan di pondok, memang menuntut mereka untuk berdikari sendiri.
Antara pelajar pertama dari Kampung Tamau yang bersekolah di sekolah agama di Semenanjung, ialah Ustaz Haji Awang Laiman Haji Ekin.
Beliau mula belajar di Sekolah Khairiyah pada tahun 1981.Pemergian Awang Laiman ke semenanjung kemudian diikuti oleh Ustaz Abdullah Maria, Ustaz Matning Rajunah, Ustaz Daiman Salalah, Ustaz Saifudin Haji Sepion, Ustaz Abdi Haji Mansor, Ustaz Satri Putong dan Imam Khatab Haji Ekin.
Sebelum itu, seorang lagi pelajar Mokdin Haji Mansor pernah belajar di Pasir Putih sebelum melanjutkan pelajaran di Maahad Muhammadi Kota Bharu.
Bagaimanapun, peluang belajar di sekolah agama dan sekolah sekolah lain juga dimanfaatkan dengan baik oleh pelajar-pelajar itu dengan memberi galakan dan dorongan kepada anak-anak kampung selepas mereka untuk melanjutkan pelajaran di Semenanjung, juga dengan belanja sendiri.Ketika itu, untuk ke Semenanjung, payahnya bukan main. Keluarga harus menjual sapi atau kerbau, menggadai sawah mereka semata-mata untuk memastikan anak-anak mereka melanjutkan pelajaran demi untuk masa depan mereka.
Bahkan ada di antara mereka mencuba nasib belajar di Semenanjung selepas gagal meraih keputusan yang baik dalam peperiksaan di SMK Taun Gusi.
Lewat tahun 87, Amirun Haji Rajun (Rampayan Ulu) , Ahmad Shah Buludtu, Ahmad Jaidin Kumai menyusul untuk belajar di Pokok Sena. Sebelum itu, mereka juga turut belajar di Yayasan Budi, sebuah sekolah yang diusahakan ABIM sekitar penghujung 80-an di Kota Kinabalu.
Selepas itu, semakin ramai pelajar dari Kota Belud yang mengecap pelajaran mereka (dengan belanja sendiri) ke Semenanjung.
Selepas menamatkan pelajaran di sekolah agama di Khairiah, ada beberapa pelajar melanjutkan pelajaran ke Timur Tengah, antaranya Ustaz Haji Awang Laiman Haji Ekin, Ustaz Abdullah Maria dan Ustaz Matning Rajunah. Ustaz Matning terpaksa dari Jordan angkara Perang Teluk manakala Awang Laiman dan Ustaz Abdullah yang belajar di Universiti Al Azhar pulang ke tanahair selepas beberapa tahun di bumi seribu menara itu.
Bagaimanapun, Ustaz Daiman Salalah dan Ustaz Satri Putung, kemudian mengambil langkah untuk melanjutkan pelajaran ke IAIN Sunan Gunung Jati Bandung. Saudara Akmal @ Kamia Haji Abdullah juga belajar di Sunung Gunung Jati dalam bidang sejarah.
Ketika itu, antara pelajar Sabah yang belajar di Bandung termasuklah Drs. Edham Haji Sakmad, Ustaz Norjeli Haji Deli (Tuaran), Aziz Muji (Ranau) Japran Haji Kusin, Ustaz Meli dan lain-lain lagi.
Penghantaran pelajar ke Semenanjung Malaysia dengan perbelanjaan sendiri ini pernah disoroti antaranya oleh arwah Dr.Datu Bandira Datu Alang dalam bukunya Iranun Sejarah dan Adat Tradisi.
Pemergian puluhan pelajar untuk belajar di sekolah agama di Semenanjung menjadikan Kampung Tamau terkenal berbanding kampung-kampung lain di Kota Belud.

Kampung Tamau bukan saja melahirkan ramai pelajar lulusan agama, malah kampung itu juga melahirkan ramai qari dan qariah. salah seorang yang pernah menjadi wakil sabah ke peringkat Kebangsaan , ialah Imam Madli Haji Mansor.Ayahnya seorang guru mengaji quran. Ramai muridnya yang telah berjaya menjadi qari dan qariah.Imam Madli dan saudara-saudaranya, antaranya Ustaz Abdi, Rafli dan lain-lain pernah menjadi juara qari di daerah Kota Belud.

Perkembangan agama di Kota Belud sebenarnya bermula lebih jauh dari itu. Ada riwayat yang menyatakan menyatakan bahawa nama Tamau itu, Apu' Tamau itu sendiri adalah guru mengaji. Sebab itu, Tamau mendapat namanya Kampung Tamau, satu pendapat yang kemudian mendapat sanggahan daripada pengkaji yang lain.

Namun hakikat bahawa Apu Tamau, seorang guru mengaji diakui kerana masih ada mengakui nenek moyang mereka pernah berguru dengan Apu Tamau itu. Guru-guru mengaji yang lain ialah Haji Omar (Paka'), seorang ilmuan tradisi yang sukar dinafikan kedalaman ilmunya. Selain itu, Haji Samad Lantukan juga pernah menjadi guru. Tetapi antara reformis yanga agak terkenal ialah Imam Sidek (Guru Sa dalem a alad) yang pernah belajar dengan Imam Suhaili Haji Yakub di Putatan. Haji Mohd.Salleh (Haji Sebang) juga mempunyai murid mengaji yang ramai.

Kecuali Tuan Guru Sidek, hampir kesemua mereka hanya mengajarkan ilmu bacaan al-Quran namun Guru Sidek juga mengajarkan mengenai fiqah, tauhid dan sebagainya.

Namun kepulangan Awang Laiman dari belajar pondok di semenanjung sempat juga menghasilkan pertentangan antara fahaman tradisional dan lain-lain lagi. Beliau pada mulanya dilihat agak `keras' dalam menentang sesuatu yang dianggapnya amalan kurafat dan bidaah dalam masyarakat. Contohnya ialah `pangalay' amalan perubatan tradisi yang dilihat bercanggah dan juga amalan meletakkan `bangkai-bangkaian' di tengah rumah apabila berlaku kematian.bangkai-bangakian itu merupakan pakaian dan barang kepunyaan arwah yang diletakkan di tengah rumah yang menandakan bahawa ada orang yang berpulang ke rahmatullah di rumah itu.

Bagaimanapun ada orang-orang tua yang menganggap bahawa itu adalah ganti simati dan menangisinya.

Selain itu, terdapat juga amalan untuk memberi jamuan kepada orang ramai yang berziarah ketika berlaku kematian.Ada diantaranya malah sanggup berhutang semata-mata untuk menjamu orang ramai. Padahal sepatutnya mereka yang datang itulah yang menghulurkan bantuan untuk meringankan beban keluarga simati.

Inilah antara lain, yang ditentang oleh Ustaz Awang Laiman dan kawan-kawan ketika itu. Namun, akhirnya amalan ini sedikit demi sedikit hilang hasil kegigihan mereka yang menjalankan dakwah dengan penuh berhikmah selepas itu.

Kepulangan mereka dari belajar di sekolah agama di semenanjung memang membawa banyak kesan dalam bidang sosial budaya di kampung Tamau.

Bahkan dari segi politik juga, masyarakat di kampung Tamau adalah antara kumpulan yang tidak segan-segan menyatakan pendirian politik mereka, dari dahulu ketika zaman USNO,BERJAYA,PBS dan UMNO kini. Malah sebahagian mereka tidak berasa canggung untuk menyatakan sikap politik meskipun berlawanan dengan arus politik perdana.

Bangkitnya kesedaran di kalangan masyarakat, sama ada dari kesedaran sosial, pendidikan, agama, politik dan sebagainya pada masa kini , saya kira tidak terlepas daripada peranan dan dorongan yang dimainkan oleh pendahulu-pendahulu mereka dan kesedaran ibu bapa mereka yang hidup dalam keadaan daif dan miskin.

Perlu juga dicatatkan bahawa orang pertama dari SK Tamau (dibuka pada tahun 1966), yang lulus dan mendapat ijazah yang disebut `kopia a pasagi' ialah saudara Musram Haji Rakunman yang lulus sebagai sarjana dalam bidang agribisnis dari Institut Pertanian Bogor (IPB). Di susuli kemudian Razak Rakunman dalam bidang Forestry dari Southern Illinois University (SIU) Carbondale (USA), Akriah Haji Abdullah dalam bidang Farmasi di USM.

Selepas tiga nama itu, kampung Tamau menghasilkan ramai graduan, termasuk di kalangan mereka berkelulusan peguam-Rupilin Alik, dan ramai lagi graduan sama ada dari universiti tempatan dan luar negara. Ada diantara mereka mengecap pendidikan hingga peringkat tinggi.

Bagaimanapun, saya melihat usaha yang dimainkan oleh Ustaz Haji Yusof Abd.Rahman, -yang telah kembali ke kampung halamannya, yang gigih memujuk ibubapa untuk menyekolah anak-anak mereka dan mengingatkan ibubapa betapa pentingnya pendidikan, adalah satu titik penting dalam sejarah perkembangan sosial di kampung itu, yang pada gilirannya turut mewarnai senario perkembangan sosial di daerah itu.

*Penulis mengakui bahawa tulisan ini belum sepenuhnya lengkap untuk berkisah mengenai cebisan sejarah di kampung Tamau dan perlukan input dari rakan-rakan lain

3 comments:

Abdul Maruf Ismail said...

Jemput beri komen dalam tulisan terbaru saya di blog. T.Kasih.

Laliman Ahmad said...

Tulisan Sdr. ini pada saya amat menarik. Ia merupakan satu kisah kisah pensejarahan yang baik dan mempunyai fakta yang tepat.

Tulisan ini membawa saya mengimbau kembali bagaimana saya bersua dengan beberapa kalangan pelajar pondok ini melalui sdr. Akriah yang juga kebetulan rakan saya di Universiti [USM].

Di samping itu,saya juga mengenali beberapa orang mereka [pelajar dari Tamau ini] serta sebahagia pelajar dari Daerah Ranau ketika mereka belajar di pondok Pokok Sena dan lain-lain sekolah [1989/90] kerana kebetulan pada masa yang sama saya juga adalah sebahagian dari petugas Jawatankuasa Suruhanjaya Di Raja [wakil pelajar] ketika Universiti Sains Malaysia membuat kajian tentang permasalahan sekolah pondok Malaysia, khususnya yang terdapa di negeri-negeri utara Malasyia spt. Kedah, Pulau Pinag dan Perak.

Saya mengakui dan berpendapat bahawa jauh di sebalik gerakan ini, ia bukan sahaja dapat menzahirkan begitu ramai golongan muda Tamau menjadi ilmuan Islam tetapi jugalah ia turut melahirkan satu bentuk aliran pemikiran baru dalam dunia politik Kota Belud, di kalangan generasi muda di Tamau, dengan memilih Islam sebagai wadah baru politik mereka terutamanya partiPAS.

Sementara itu terdapat beberapa orang yan lebih sederhana memilih Umno yang dianggap parti yang juga memperjuangkan Islam [melalui moto:demi Agama, Bangsa dan Negara] sebagai wadah atau landasan politik mereka.

Namun begitu, pada saya sesuatu yang agak menyedihkan saya, walaupun begitu ramai golongan belia ini yang mendapat pendidikan Islam secara formal dan mendalam, namun setahu saya belum sebuah sebuah sekolah pondok atau sekolah agama rakyat yang terbina melalui gerakan ini, di mana pengetuanya dari kalangan graduan pondok. Wallahu alam. Sekian!

abd naddin said...

komen saudara Depu-depu dalam blognya http://www.depu-depu.blogspot.com.

Antara perkara yang paling mencuit hati saya dengan semangat yang berkobar atas keinsafan bahawa masih ada lagi penulis yang berkesempatan membuka lembaran tinta bagi sebuah kampung bernama Tamau, ialah apabila menatapi coretan seorang wartawan ternama Sdr.Abd.naddin sahiddin yang juga mebesar bersama siulan kedamaian kampung yang teletak di pinggir pantai laut china selatan ini. Dan rasanya begitu terbuai membaca catatan itu yang dilukiskan oleh beliau di dalam blog nya. catitan itu turut juga menjadi perhatian Sdr. Musram yang juga "pagari" dan anak jati kampung berkenaan.


Menceritakan bagaimana perkembangan minda intelek dalam dunia pendidikan keagamaan dan moden di kampung itu, membuatkan saya banyak mengimbau akan keadaan yang brelaku lewat 30-40 tahun yang lepas. Mengingatkan saya bahawa perkembangan itu turut 'membesar' dengan jiwa dan raga kerana tokoh -tokoh berpendidikan di kampung itu, seperti yang disebutkan oleh sdr Naddin adalah saya kenali secara dekatnya dan beranggapan bahawa mereka adalah pelopor kepada dunia pendidikan di kampung Tamau.


Nama-nama seperti sdr. Musram, Sdr razak, Sdr Akriah, Sdr Rupilin, Sdr haji sain, sdr Milus, sdr Yusof Rakunaman,Ustz. Satri, Ustz Laiman, Ustz Daiman, ustz Sawi, Ustz saipul ,ustz Abdi, Ustz Madli dan beberapa orang lagi yang tidak sempat saya senaraikan adalah antara tokoh terpelajar yang merintis kepada pencapaian kampung Tamau dari sudut keilmuan berkaitan dengan bidang keagamaan juga ilmu-ilmu moden. Dan benar bahawa sekarang inipun sudah begitu ramai graduan lepasan Universiti yang dikeluarkan oleh kampung Tamau. rasa saya adalah patut jika satu kajian mendalam sama ada berbentuk kaji selidik dan laporan perlu diusahakan untuk mendapatkan data terkini bilangan graduan di kampung Tamau. di samping sebagai rujukan masa depan, data berkenaan juga menjadi pembakar semangat kepada generasi baru di kampung tamau untuk terus berusaha meningkatkan pencapaian akademik mereka.


Sebagai salah seorang anak jati kampung Tamau, sekali-sekala persoalan 'sumbangan' berlegar di kepala saya.. Apakah peranan para cerdik pandai di kampung Tamau..? Adakah perlu satu program dirancang untuk menghimpunkan tokoh-tokoh cerdik ini? Untuk apa..? dan bagaimana..? Siapa yang memulakanya..? berpesatuan pada peringkat kampung mungkin kecil faedahnya tetapi besar manfaat jika dibuat untuk mengukuhkan tali silaturahim yang mula rengang akibat kesibukan kehidupan yang masing-masing ketahui. kalau dulu tokoh-tokoh ilmuan di kampung Tamau, kerap bermuzakarah di majlis keramaian seperti majlis perkahwinan dan kematian, budaya itu terbantuk pada zaman generasi cerdik pandai ini mengambil posisi dalam masyarakat kampung.


Budaya bermuzakarah, bersoal jawab dan perbincangan secaras ilmuan akan mewujudkan suasana pentarbiyahan yang berkekalan. dan atas kesedaran itu, pada hemat saya ahli-ahli fikr ini perlu segera dikumpul..sebelum kelewatan, kerana pada minda mereka terdapat mutiara yang amat besar sinarnya jika dimanfaatkan untuk pembangunan kampung Tamau.