Monday, October 26, 2009

Perjalanan ke lapangan terbang, buku dan kawan lama

Flight saya jam 1.30 petang dari Tawau ke Kota Kinabalu.
Biasanya saya memilih penerbangan jam 10.45 dari Tawau, tapi entah kenapa kali ini, penerbangan yang paling awal dari Tawau jam 1.30 petang.
Mahu tidak mahu, terpaksalah saya pulang dengan penerbangan itu.
Biasanya Bas ke Lapangan Terbang berangkat jam 8.30 pagi. Tapi kerana penerbangan kali ini awal petang maka saya berangkat dari rumah jam 10.00 pagi.
Sesampainya di stesen, bas yang paling awal berangkat ke airport ialah 12.30 tengahari. Tentu tak sempat kerana perjalanan ke airport mengambil masa 40 minit untuk tiba ertinya saya boleh tiba di airport jam 1.10 petang manakala air asia mensyaratkan penumpang tiba satu jam lebih awal.
Kalau naik teksi, kosnya agak mahal mencecah RM45. Mahu telefon kawan, malas pula mengganggu. Tapi teksi mahal sangat berbanding bas ke airport itu hanya sekadar RM10.
Tapi mengapa tak ada pula bas yang akan ke sana, padahal pihak syarikat menjanjikan perkhidmatan selang dua jam sekali?
Akhirnya saya menumpang Bas ke Semporna. Tambang ke Semporna hanya RM13.00. Tetapi kalau naik bas Semporna ,perjalanan dari simpang ke lapangan terbang sejauh 3 km. Takkan nak berjalan kaki?
Pemandu bas itu, namanya Idlana Jaafar memberitahu kalau mahu dihantar di lapangan terbang, tambangnya cuma RM15 saja. Rupanya lebih baik naik bas Semporna berbanding naik teksi dari bandar Tawau. Katanya, bayangkan untuk tambang teksi dari Semporna ke Tawau itu biasanya mencecah RM100. Terlalu mahal, kata Idlana.

2. Saya tidak menyangka dapat berjumpa rakan sekolah setelah 24 tahun kami tidak bertemu. Hi, masih kenal saya lagi? ," katanya ketika kami berjumpa di Hotel Le Meridien dalam satu acara anjuran Safoda dan anak syarikat MTIB.
"Kenal, kenapa tidak, saya tiga tahun lebih senior di SMK Taun Gusi," kata saya. Kini rakan sekolah saya itu, Rosni Anjun bertugas di Safoda. Kami dulu sama-sama menjadi pengawas sekolah, kalau tak silap saya tahu 1985. Rupanya, saya baru tersedar, sudah 24 tahun saya meninggalkan bangku sekolah.

.3.Melihat badan saya agak gemuk sikit, saudara saya Hasan Haji Biruar memberitahu bahawa badannya juga gemuk seperti saya satu ketika dahulu. Tapi sekarang agak tegap sedikit.
Mertua saya, katanya sudah 70 tahun usianya tetapi tetap cergas.
Apa rahsianya? saya bertanya.
Minum pati peria saja.Amalkan minum tiga kali seminggu sebelum tidur, katanya.
Pergi kedai beli juicer, bukan blander. Jadi minum patinya, necsaya akan lebih baik lagi.

4. Buku Ketemu di Alur Zaman, karya terakhir Rustam A.Sani amatlah menarik. Buku itu merupakan himpunan rencana tentang beberapa tokoh masyarakat di Malaysia, antaranya Usman Awang, Kassim Ahmad, H.M Dahlan, Dr.Syed Husin Ali, Razak Ahmad, Johan Jaafar, Zainudin Maidin juga Ezam Mohd.Noor, Khairy Jamaluddin dan tidak kurang pentingnya ialah rencananya mengenai Lee Kuan Yew.

Rustam juga menulis sedikit kisah mengenai ayahnya Ahmad Boestamam. Satu esei menarik, Wujudkah `Pasukan Impian' dalam kepimpinan politik Melayu?.
Pandangan terhadap tokoh-tokoh ini bukan saja langsung dari sudut hatinya sendiri tetapi mungkin juga dari pengalamannya bersama tokoh itu. Sebahagian besar mereka adalah rakan rakannya seperjuangannya.

Selain mengenali rupa diri dan watak tokoh-tokoh itu pendedahan dan ulasan terhadap mereka boleh dianggap mewakili sebahagian besar manusia politik dan tokoh sosial lain yang tidak jauh bezanya daripada apa yang ada pada tokoh-tokoh berkenaan, ini seperti yang tertulis di bahagian kulit luar buku berkenaan.
Mengapa sembilan halaman akhir buku setebal 86 muka surat dibiarkan kosong? Ini mungkin menunjukkan bahawa masih banyak lagi tulisan allahyarham yang ingin ditulisnya sebelum beliau meninggal. Buku terbitan Media Icon Sdn.Bhd patut dimiliki jika kita ingin menyelami ulasan allahyarham terhadap tokoh-tokoh dan senario politik di negeri ini.

5. Saya agak terkejut juga bila Fairuz Abdullah memberitahu novelnya sudah terbit. Buku autobiografi bertajuk Epilog Terakhir yang diterbitkan Pekan Ilmu Publications Sdn Bhd sudah berada di pasaran, katanya kepada saya melalui sms. Saya mengenali Fairuz ketika kami sama-sama menghadiri Hari Sastera di Melaka tahun 1995.

Buku setebal 220 menceritakan liku-liku hidup yang beronak duri yang mengajak pembaca menyelami isi hati seorang penderita depresi. Kita diajak untuk mengetahui bagaimana beliau mengatasi permasalahan ini dibantu sokongan keluarga, teman-teman dan pakar psikaitri yang merawatnya.
Kini beliau sudah mampu mencorakkan masa depannya yang lebih gemilang dan dengan terbitnya buku ini, membuktikan bahawa beliau mampu menjadi penulis yang baik.
Hayati perjuangan hidupnya, semoga ia mampu mencetuskan inspirasi kepada orang lain yang mengalami nasib yang sama seperti beliau .

6. Sebagai maklumat jika anda berminat menjadi penulis.Sekiranya anda mempunyai bakat dalam bidang penulisan kreatif, jangan sia-siakan peluang ini.
Karya berbentuk kreatif (fantasi.misteri, cinta dsb) amat digalakkan.
Sila hantarkan karya ke Pekan Ilmu Publications Sdn.Bhd No 35 & 35 M, Jalan 6/4 Pandan Indah Commersial Park, 68000 Ampang Selangor DE pertanyaan lanjut 03-42970792 atau emelkan pekan_ilmu@yahoo.com .

7. Saya sedang menelaah Paradise of Love, yang berisi ungkapan cinta Kahlil Gibran.

Cinta memiliki jemari sehalus sutera, tetapi kuku-kukunya yang runcing meremas jantung dan membuat manusia menderita kerana duka.

No comments: