Thursday, October 29, 2009

Halangan kami selaut, telapak kami pendayung

Ustaz Hamdani Omar sedang berucap ketika kami sampai ke Hotel Promenade. Dewan penuh sehingga kami tidak mendapat tempat duduk.
Hari itu merupakan hari istimewa bagi 700 guru Sekolah Agama Islam (SAN)- dulunya Sekolah Ugama Islam (SUI)- dan Sekolah Agama Rakyat dari Seluruh Sabah.
Hampir kesemua warga SAN berhimpun untuk sambutan Hari Guru JHEAINS Peringkat Negeri Sabah. Ramailah ustaz dan ustazah menghadiri majlis itu yang dirasmikan oleh Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Haji Datu Nasrun Haji Mansur mewakili Datuk Haji Nasir Tun Sakaran yang menghadiri mesyuarat di KL.

Ucapan Ustaz Hamdani agak menarik.Saya agak tertarik kerana ucapannya diselitkan dengan gurindam.

Ketika melukiskan keadaan sekolah agama di negeri ini,yang serba kekurangan, Ustaz Hamdani berkata halangan dan kekangan yang dihadapi pihak sekolah bukanlah sedikit di sebalik harapan ibubapa yang menggunung. Katanya, kemampuan guru agak terbatas.


Koleh kami sedepa, halangan kami selaut, telapak kami pendayung, harapan tuan segunung, katanya. Selain itu, Hamdani juga menceritakan mengenai permasalahan pelajar, prasaran yang tidak menc ukupi, bangunan yang semakin uzur dan sebagainya.

Keadaan fizikal kebanyakan sekolah agama, katanya; "condong ke datar tanah, meja yang kurang, kursi yang hampir patah.

"Bilangan guru yang makin pupus, tilam bantal kusam". tambahnya lagi yang berucap bagi mewakili guru-guru.

Walau bagaimanapun, kata Hamdani, kita harus menghadapi pelbagai cabaran untuk terus cemerlang, melaksanakan yang terbaik bak kata pepatah "umpama memiliki beras segenggam bagi menjamu jiran sekampung".


Seterusnya beliau meminta; "maaf jika ketidakselesaan ketika ke sekolah kami,yang rimbun dengan rumput, yang lusuh pudar warna, yang padat lagi sendat,pintu tak berdaun,tingkap tak berkelopak, taman tak berbunga,halaman tanah merah , tempat riadah sekangkang kera.

JIka dibandingkan dengan sekolah-sekolah lain yang serba lengkap, pencapaian sekolah agama juga agak memuaskan dan setanding dengan sekolah lain. Oleh sebab itu, kerajaan hendaklah memberikan perhatian terhadap kekurangan tenaga pengajar, dan kekurangan dana yang dihdapi sekolah.
Kerajaan perlu menyediakan peruntukan kerana; "masih ada lagi sekolah menengah agama yang menumpang, dan sekolah rendah yang makin uzur.
Ucapan ustaz Hamdani itu menarik perhatian dan memang perlu diberikan perhatian

No comments: