Jumaat, 9 Oktober 2009

Kg Tawadakan dapat jambatan baru dalam tempoh enam minggu

Tags





JAMBATAN TAWADAKAN SIAP DALAM TEMPOH ENAM MINGGU

KOTA BELUD: Masalah dua jambatan usang yang menjadi laluan utama lebih 200 pelajar ke Sekolah Kebangsaan (SK) Kesapang dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taun Gusi akan selesai dalam tempoh enam minggu dari sekarang selepas kerajaan meluluskan RM200,000 untuk memperbaiki jambatan itu.
Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan ketika dihubungi berkata, peruntukan RM200,000 itu akan disalurkan melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan Negeri Sabah dan kerja-kerja pembaikan akan dimulakan secepat yang boleh.
Katanya, kerajaan sentiasa peka dan prihatin terhadap masalah yang dihadapi penduduk dan berusaha menanganinya dengan kadar segera.
Abdul Rahman yang kini sedang rangka kerja rasmi di Afrika berkata demikian ketika dihubungi Utusan Borneo melalui telefon petang kelmarin.
Masalah jambatan usang yang membahayakan itu pernah didedahkan Utusan Borneo baru-baru ini selepas menerima aduan daripada penduduk kampung Tawadakan yang bimbangkan keselamatan anak-anak mereka.
Ekoran itu, Jabatan Pembangunan Persekutuan Negeri Sabah diketuai Pengarah Kemajuan Negeri, Haji Matusin Sunsang bersama pegawainya bergegas untuk meninjau keadaan jambatan usang itu yang menjadi laluan utama pelajar-pelajar sekolah.
"Kita mahu memastikan keperluan rakyat diberi keutamaan," katanya.
Turut serta dalam lawatan itu ialah wakil Pegawai Daerah Kota Belud, Asrin Sadi dan Pemimpin Kemajuan Rakyat (PKR) Tempasuk, Baghdad Haji Turogan.
Beliau memberi jaminan jambatan itu dijangak siap dalam tempoh enam minggu dan pelajar sekolah boleh menggunakannya dengan selesa menjelang musim persekolahan akan datang.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan pelajaryang berulang alik melalui jambatan itu supaya berhati-hati ketika menggunakan jambatan berkenaan.