Friday, October 2, 2009

Perpaduan perlu dijadikan panduan di semua sekolah

PERPADUAN PERLU DIJADIKAN PRINSIP PANDUAN SEMUA SEKOLAH

KOTA KINABALU: Perpaduan hendaklah dijadikan prinsip panduan kepada semua sekolah dalam menjalankan aktiviti-aktiviti dari sukan hinggalah ke aktiviti-aktriviti ko-kurikulum yang bertujuan untuk memupuk pemahaman antara kaum yang lebih tinggi, kata Pemegang Amanah Yayasan 1 Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye.
Katanya, pelbagai program juga perlu diperkenalkan dan dimulakan untuk menemukan para pelajar dari sekolah yang berlainan seperti sekolah rendah kebangsaan, Cina dan Tamil untuk membolehkan mereka berinteraksi dan berkenalan berdasarkan kepentingan utama untuk membina negara.
Beliau berkata, pelajar hari ini adalah pemimpin masa hadapan kita. "Di bahu merekalah terpikulnya tanggungjawab membina sebuah negara Malaysia yang bersatu dengan perkongsian masa depan dan matlamat yang serupa," katanya dalam satu kenyataan media di sini, kelmarin.
Menurutnya, perpaduan dan keharmonian mesti ditanamkan di dalam budaya kita dan lebih banyak peluang wajib diwujudkan untuk anak-anak dan para remaja dari pelbagai kaum bertemu bagi menjalinkan persahabatan lebih erat dan membina pemahaman demi masa hadapan negara dan 1 Malaysia.
Lee menegaskan, ibu bapa memainkan peranan sangat penting dalam memupuk semangat 1 Malaysia dengan menggalakkan anak-anak mereka bercampur gaul dan mempunyai kenalan berbilang kaum.
Sungguhpun kerajaan memainkan peranan utama memenuhi matlamat perpaduan melalui pembentukan polisi yang sesuai dan pelaksanaannya, anak-anak juga perlu dididik tentang perpaduan melalui penglibatan dan penyertaan ibu bapa.
"Saya bersetuju bahawa kanak-kanak adalah kanak-kanak. Mereka adalah ikhlas dan jujur dan pemikiran mereka tidak dicemari oleh isu-isu perkauman.
"Mereka mampu bercampur gaul dan bermain dengan satu sama lain tanpa mengira bangsa," katanya dalam kenyataan media, di ibu negeri petang kelmarin.
"Saya telah beberapa kali menekankan bahawa kanak-kanak dan para remaja sewajarnya tidak menyedari langsung akan kenyataan bahawa sesiapa sahaja di sebelah mereka adalah daripada bangsa dan agama yang berbeza," jelasnya.
Untuk setiap hari yang berlalu para remaja Malaysia mesti berterusan berusaha menghapuskan jurang perkauman, menghulurkan salam dan mewujudkan persahabatan dengan mereka yang datang dari kumpulan etnik yang lain, katanya.
Menurutnya, ibu bapa yang sendiri dibesarkan di dalam suasana kepelbagaian kaum dan bersahabat dengan mereka dari pelbagai bangsa lain sewajarnya menggalakkan anak-anak mereka bercampur gaul mereka akan sedar betapa pentingnya keharmonian antara kaum dan antara agama.
"Anak-anak dan para remaja dari pelbagai kaum hendaklah dididik untuk menghormati satu sama lain berteraskan semangat 1Malaysia," katanya.

No comments: