Wednesday, November 4, 2009

Catatan singkat mengenai Almudin Kaida

Setakat ini saya belum sempat menemubual Saudara Almudin Kaida.
Beliau merupakan salah seorang tokoh yang saya hormati. Saya mengenali beliau ketika beliau masih berkhidmat di Jabatan Audit Negara. Kemudian setelah beberapa lama berjuang dalam politik, Almudin yang memilih Parti Bersatu Sabah (PBS) sebagai wadah perjuangannya tetap setia dengan perjuangannya. Beliau tetap dalam PBS walaupun PBS satu ketika berada dalam kelompok pembangkang.
Dari sana, Almudin bertanding dan menang jawatan Ketua Pemuda PBS selama beberapa tahun dan berjaya mempertahankan jawatannya dalam beberapa pertandingan sehinggalah beberapa tahun lepas, beliau kecundang dalam persaingan dengan Datuk Jahid Jahim.
Namun begitu, Almudin terus berjuang dalam parti itu dan meskipun tidak memegang jawatan penting dalam parti komponen BN itu, Almudin yang juga Ketua Bahagian PBS Tempasuk terus setia pada prinsip perjuangannya.
Minggu ini, beliau mengesahkan hasratnya untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden PBS (kouta bumiputera Islam) yang kini disandang Pengiran AK Aliuddin, seorang tokoh veteran dalam politik.
Almudin, yang merupakan lulusan Universiti Malaysia Sabah (UMS), adalah anak kelahiran Nanamun Kota Belud.
Sepanjang yang saya ingat, Almudin merupakan seorang tokoh yang tidak pernah memperlekeh orang lain atau merendah-rendahkan pemimpin lain di hadapan umum. Inilah antara sebab mengapa beliau begitu disenangi di kalangan masyarakat.
Selain itu, Almudin merupakan seorang pemimpin Pemuda yang terserlah kepimpinannya dalam Pergerakan Pemuda PBS.
Saya fikir, sebagai seorang pemimpin sederhana, Almudin juga merupakan pemimpin berwawasan, dan punya visi untuk memajukan masyarakat kita. Saya kira jika beliau diberi peluang untuk menyandang jawatan Timbalan Presiden PBS itu, beliau akan mampu memberi sumbangan yang bermakna kepada PBS, sebagai sebuah parti berbilang kaum di negeri ini.

2 comments:

musli oli said...

Salam sdra Nadin, saya kenal alimuddin kaida sebagai seorang yg menghormati kawan dan lawan.

selamat berjuang dan semuga beliau berjaya.

salam MO

abd naddin said...

saya fikir itulah salah satu aset terpenting beliau, iaitu menghormati kawan dan lawan, yang memungkinkan dia terselamat dari serangan pihak lawan.
Kerana dia tidak mencerca orang, maka diapun tidak dicerca orang.
Selain itu, saya kira beliau mempunyai kualiti sebagai pemimpin yang baik