Friday, November 6, 2009

dapai uran urai bulawan

Walaupun hujan emas di negeri orang, sesungguhnya kita tetap merindukan gerimis di negeri sendiri.

dapai uran urai bulawan,
sa tanayun a inged,
mataan, na ikaranun ta ban su tarintik sa ganatan.

Meskipun hujan emas di perantauan, hujan rintik di kampung halaman tetap kita rindukan.

Peribahasa Iranun yang semakin lama semakin dilupakan orang itu tetap membawa makna yang mendalam. Saudara Mabulmaddin Hj Shaiddin yang kini sedang mendalami seni budaya Iranun mengutip peribahasa ini daripada OKK Haji Masrin Hassin, seorang tokoh budaya Iranun, yang `dalomangkob' atau paling terkemuka dalam membicarakan budaya dan bahasa Iranun.

Sukubangsa Iranun yang satu ketika dahulu paling dominan di rantau ini khususnya dalam abad ke 17 dan 18 hingga awal abad ke-19, kini semakin marginal kedudukannya di negeri ini. Jumlahnya cuma sekitar 25,000 orang dan mendiami 22 kampung di kota belud, satu kampung di Kudat iaitu Kampung Indarason Laut (Kampung Marimbau dan Kaniong telah ditinggalkan suku Iranun), tiga buah kampung di Tungku lahad Datu iaitu Kampung Barigas, Bakolod dan Kampung Nala. Terdapat juga penutur bahasa Iranun yang ramai di Likas, Inanam, kota Marudu, Umas-Umas di Tawau dan lain-lain lagi.

Sememangnya diakui bahawa suku bangsa Iranun memiliki khazanah budaya yang kaya. Bagaimanapun bahasa Iranun kini dengan kemungkinan yang perit jika bangsa minoriti itu kehilangan bahasa ibundanya dalam tempoh tiga hingga lima puluh tahun lagi. Atau lebih awal dari itu sekiranya tiada usaha yang dilakukan untuk memelihara dan memulihara bahasa ibunda.

Masyarakat Iranun, barangkali masih memiliki banyak khazanah. Antaranya alat-alat kebesaran, cap mohor, kasut emas, pakaian, dan berbagai artifak lagi yang masih disimpan oleh keluarga Iranun. Saya fikir sudah sampai masanya bagi kita mewujudkan muzium Iranun atau galeri untuk menyimpan khazanah-khazanah berharga itu. Ada baiknya juga jika cara hidup masyarakat Iranun dapat dirakamkan, sewaktu menyambut kelahiran, adat perkahwinan, cara bertani, cara hidup nelayan dan bermacam-macam lagi cara hidup termasuk alat-alatnya yang dihimpunkan dalam muzium atau galeri atau rumah budaya itu nanti.

Seperti kata orang-orang tua Iranun, i yuna su taras, i apa' sa kauladan. Perumpamaan yang padanannya dalam bahasa Melayu berjagung-jagung dahulu sementara menunggu padi masak.

Saya fikir kita perlu membangunkan semula jatidiri bangsa, su tindeg dan `maratabat' kita sebagai bangsa.

u pun ya sumagad,
su ika ina i kada'
ai ka geled bangsa
ai ka lanyap a nyawa
na mananguntaman ako
dapai o malab ako
da aku run kadawaian
mid saripag a garing
.

Puisi yang bermakna, biarpun kita kehilangan nyawa tetapi untuk memastikan bangsa tidak tenggelam, kita sanggup berjuang kerananya.

Saya tertarik dengan perkataan dalomangkob. Dalomangkob dalam bahasa Iranun boleh diertikan sebagai lebih gagah, lebih pintar, lebih perkasa, lebih dominan dan sebagainya berbanding dengan yang lain.

ainungka ib paar
bainungka di' dsabut
saken man ih dalomangkob
sa langun a redsa aken.

Mengapa kau persoalkan,
kenapa tak ingin mengerti,
akulah yang terbaik,
di antara rakan sebaya.

Penegasan bahawa `saken man i dalomangkob', atau `akulah yang terbaik' itu, jangan-jangan itulah yang membuat bangsa kita agak ketinggalan.

No comments: