Monday, November 23, 2009

Mengenai orang-orang yang diarah berpindah

Petang Isnin itu, 23 November, kami ke Likas. Ketua Bahagian UMNO Sepanggar, Jumat Haji Idris mengadakan sidang media mengenai masalah yang menimpa penduduk kampung di Lembaga Padi Inanam. Sesampai di rumahnya, beliau menceritakan mengenai duduk perkara,mengenai kampung yang wujud sejak tahun 78 dan kemudian kelulusan tanah itu diberikan kepada sebuah syarikat pada tahun 2003.
Kerana itu, penduduk kampung yang lebih dulu duduk di situ dituduh menduduki tanah orang atau dengan istilah kasarnya menceroboh, walaupun ketika mereka menduduki tanah itu, ia masih tanah kosong.
Mereka melawan di mahkamah. Di satu peringkat, kata mereka, peguam yang dilantik bagi mewakili penduduk kampung itu menghilang tidak dapat dikesan menyebabkan penduduk kampung akhirnya kalah dalam proses pengadilan.
Oleh kerana itu, Mahkamah kemudian mengeluarkan perintah supaya penduduk berpindah dalam tempoh 14 hari.
UMNO Sepanggar, kata Jumat akan mencari kaedah terbaik untuk membantu penduduk mendapatkan rumah di Telipok Ria, dan juga mahu membantu untuk meringankan beban mereka supaya mendapat kelonggaran membayar deposit RM780 seorang,
Seramai 378 buah keluarga terlibat . Jumat menasihatkan mereka supaya tidak membuat perkara yang bertentangan dengan undang-undang. Perintah mahkamah haruslah dipatuhi kerana jika perintah mahkamah tidak dipatuhi, dunia cepat kiamat. Katanya separuh benar, separuh berjenaka. Beliau memberitahu ADUN Karambunai juga, YB Datuk Hajah Jainab Haji Ahmad sedang berusaha untuk injunksi di mahkamah sipaya perintah itu tidak dilaksanakan.
Umno Sepanggar juga mahukan agar penduduk diberi tempoh yang lebih lama untuk membolehkan mereka berpindah tanpa tergesa.
Beliau berkata, kunjungannya ke kampung itu adalah bagi menyempurnakan amanat Ketua Menteri,Datuk Seri Musa Haji Aman yang mengarahkan Ketua Bahagian UMNO sepanggar dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Hajiji Haji Noor supaya mencarikan tempat untuk penduduk kampung Lembaga padi berpindah dalam mesyuarat UMNO yang lalu iaitu pada 21 Nov. Tapi belumpun sempat `payung disediakan' hujan sudah turun. Arahan mahkamah diterima pada 23 Nov, menyebabkan berlaku kehebohan di kampung itu. Timbalan Ketua Bahagian, Yakub Khan dan Setiausaha UMNO Bahagian, Razali haji Radzi turut menyertai sesi untuk memberi penerangan kepada penduduk Kampung Lembaga Padi itu.




No comments: