Wednesday, November 4, 2009

Samira Gutoc, wartawan Maranao di Mindanao


Wanita cantik ini bernama Samira Gutoc. Di sebaliknya senyumannya yang menawan itu, Samira merupakan seorang yang luar biasa.
Barangkali beliau merupakan wanita Maranao yang paling terkenal dalam bidang kewartawanan di rantau ini.
Pemegang sarjana undang-undang dari University of Philippines, sebuah universiti paling terkemuka di Filipina juga merupakan seorang pejuang hak asasi manusia yang cekal.
Saya sering membaca Moro Notes yang ditulisnya, dan disiarkan dalam www.maranao.com.
Mantan Presiden Persatuan Pelajar Islam di University of Philippines ini, wanita Maranao yang pertama memegang jawatan berprestij itu, dalam persatuan yang pernah diterajui oleh pejuang Moro Prof Nur Misuari, sesungguhnya seorang yang menguasai pelbagai bidang, dari isu-isu hak asasi, isu-isu sosial, ekonomi hinggalah ke isu-isu berkaitan kebudayaan Moro.
Samira dilahirkan dan dibesarkan di Arab Saudi hingga beliau berusia 15 tahun.Ayahnya merupakan diplomat dari bangsa Maranao yang berkhidmat di kedutaan Filipina di negara itu.
Tidak hairanlah kalau beliau dekat dengan golongan ulama di Mindanao.
Bagaimanapun, peminat lagu-lagu Rihanna dan J Lo ini merupakan seorang aktivis sosial yang memperjuangkan hak-hak golongan minoriti khususnya Islam Moro.
"Tanpa hak minoriti, tiada hak asasi," katanya dalam satu wawancara yang diterbitkan dalam majalah baru-baru ini. Sebagai pejuang hak asasi khususnya wanita Islam di Mindanao, beliau tampil di pelbagai forum antarabangsa seperti di Canada, India, Taiwan dan sebagainya.
Samira juga merupakan tokoh utama dalam Young Moro Profesional Network (YMPN) yang menghimpunkan golongan profesional dan intelektual Moro untuk memperjuangkan nasib dan masa depan bangsa Moro dalam pelbagai bidang di Filipina.
Beliau kini merupakan salah seorang Pengarah Al-Amanah Islamic Investment Bank of Philippines.
Saya fikir, Kecekalan dan perjuangan Samira, kebolehannya menulis dan mengetengahkan isu-isu berhubung hak-hak masyarakat Islam di Mindanao telah memberikan informasi dan maklumat kepada khalayak yang lebih luas sehingga mereka mengetahui dengan lebih jelas masalah dan perjuangan bangsamoro di Mindanao.

No comments: