Monday, November 30, 2009

Sedikit catatan mengenai Ampatuan dan Mangudadatu

Pertelingkahan keluarga Ampatuan dan Mangudadatu yang berpunca daripada perseteruan politik sampai pada kemuncaknya pada 23 November lalu. Kita semua tahu, 57 orang mati termasuk isteri Esmael Mangudadatu, Datu Bandar Buluan, dua adik perempuannya, dua peguam, 27 wartawan dan 15 orang pengguna jalanraya yang melalui Barangay Salman dalam peristiwa mengerikan itu.
Permusuhan antara keluarga, yang biasa dipanggil rido, bukanlah sesuatu yang luar biasa di Mindanao. Ia sering terjadi di wilayah itu tetapi kali ini, tragedi itu mendapat perhatian seluruh dunia apabila 27 orang wartawan turut dibunuh dalam kejadian itu. Pembunuhan wartawan, dalam jumlah yang begitu besar, belum pernah terjadi di belahan manapun di dunia ini, sama ada di Afghanistan, Somalia, Iraq, dan wilayah kacaubilau yang lain malah sepanjang perang di Mindanao sendiri tidak pernah terjadi peristiwa seperti itu. Wartawan yang biasanya belindung di sebalik press card nya itu tetapi selamat ketika membuat liputan sepanjang perang antara MILF dan Kerajaan Filipina.
Namun kali ini, wartawan turut terkorban dalam kancah perseteruan politik tempatan antara dua keluarga yang bersaing merebut jawatan Gabenor Maguindanao.
Keluarga Ampatuan merupakan keluarga yang amat berpengaruh di Maguindanao. Sebanyak 18 daripada 22 Datuk bandar diwilayah itu merupakan anak, anak saudara atau keluarga Datu Andal Ampatuan. Andal Ampatuan, 65, yang mempunyai empat isteri dan 31 anak, hampir tidak pernah dicabar dalam pemilihan Gabenor kerana begitu berpengaruh. Seorang anaknya, Zaldy Ampatuan merupakan salah seorang Gabenor di wilayah ARMM manakala Andal Ampatuian Jr, yang dituduh sebagai dalang disebalik peristiwa itu merupakan Datu Bandar di Bandar Datu Unsay. Seorang abang mereka, mati ditembak oleh dalam satu serangan pejuang, beberapa tahun lalu manakala seorang lagi mati ketika sedang menari di disko.
Sebagai keluarga yang berkuasa, Andal Ampatuan Sr mempunyai pengawal peribadi bersenjata. Keluarga ini amat berpengaruh dan menjadi sekutu Arroyo.
Mangudadatu sebaliknya merupakan Datu Bandar di Buluan, juga di wilayah Magundanao. Keluarga Mangudadatu juga merupakan keluarga besar. Bagaimanapun, hasratnya bertanding sebagai gabenor pada Mei 2010 itu mendapat tentangan hebat daripada Ampatuan, yang mengancam jika Mangudatu menghantar borang pencalonannya beliau akan dibunuh. Itulah sebabnya beliau menghantar isterinya, adik perempuan dan ahli keluarganya, kebanyakannya wanita untuk menghantar kertas pencalonan itu dengan harapan mereka tidak akan diserang.
Ampatuan yang menguasai hampir semua wilayah di maguindanao, hampir semua jentera kerajaan tidak berpuas hati dengan tindakan Esmael mangudaddatu itu, apatahlagi mereka mahukan biarlah Mangudadatu berkuasa di buluan, tanpa membuat kacau di Maguindanao dengan bertanding dan merosakkan status qou yang yang ada. Sebelum ini ada berita yang menyatakan bahawa ketika Esmael menyatakan hasratanya untuk bertanding itu, beliau membawa bersamanya ramai pengawal bersenjata yang menimbulkan kemarahan Andal Ampatuan. Itulah sebabnya, Ampatuan mengeluarkan amaran bahawa jika sekiranya Esmael terus mencalonkan diri, beliau akan dibunuh.
Kedua-dua keluarga ini merupakan rakan Arroyo di selatan filipina. Sengketa mereka bukanlah baru, dan bahkan menjadi sesuatu yang biasa.
Peristiwa ini menjadi tumpuan seluruh dunia kerana ia melibatkan kematian wartawan, yang membuat liputan proses pencalonan itu.
27 orang semuanya, dan ini bukannya angka yang kecil. Sengketa antara keluarga, berpunca daripada politik itu sepatutnya diselesaikan antara mereka dan tidak melibatkan pihak lain.
Kita mengutuk kekerasan dan keganasan, kita mengutuk tindakan yang tidak berperikemanusiaan ini. Soal-soal politik seharusnya diselesaikan secara politik dan bukan dengan pembunuhan.

No comments: