Selasa, 10 November 2009

SK St Peter Kudat hargai pelajar cemerlang

Tags

















-Sekitar Majlis Anugerah Kecemerlangan SK St PETER KUDAT 2009

Sejak awal pagi lagi warga SK St Peter Kudat memenuhi Dewan Tun Mustapha untuk menghadiri Majlis Anugerah Kecemerlangan 2009 yang diadakan secara besar-besaran bagi meraikan pelajar-pelajar yang cemerlang dalam pelbagai bidang.
Majlis dimulakan dengan perarakan masuk Pegawai Pelajaran Daerah Kudat yang diwakili Penolongnya, Datuk Akdan Datu Basran, Guru Besar Sk St Peter, Puan Rose Shang On Yin, Pengerusi PIBG, Puan Norma Kudus, Pengerusi Majlis Guru Besar Daerah Kudat dan Guru-guru Penolong Kanan ke dalam dewan dengan diiringi bunga manggar.
Puan Rose berkata mengiktiraf kebolehan pelajar adalah satu tuntutan yang mulia dan dinantikan setiap penghujung semestar akhir setiap tahun.
"Pada waktu seperti inilah kita dapat dengan jelas menyatakan pentingnya potensi pelajar yang perlu dibangunkan sama ada di dalam pencapaian kurikulum, ko-kurikulum, sahsiah dan bakat mereka melalui penghargaan atau anugerah yang disampaikan.
"Perlu diingatkan bahawa usaha mereka hendaklah berterusan.Komitmen yang tiada akhirannya, terutama di kalangan ibu bapa sendiri, adalah amat penting yang mana ianya menjadi asas kepada kecemerlangan anak-anak," katanya.

Guru Besar SK St Peter itu berkata, adalah menjadi harapan agar Majlis Anugerah Kecemerlangan 2009 yang diraikan secara besar-besaran ini akan menjanjikan semua perkara yang baik dan terbaik kepada semua pihak khasnya kepada para pelajar untuk terus bersaing secara sihat di antara satu sama lain, seterusnya memberikan impak maksima kepada warga pendidik dalam memberikan seratus peratus dedikasi dalam bidang kerjaya masing-masing.
"Semoga menjadi inspirasi kepada setiap individu yang terlibat dan yang datang menyaksikan kejayaan-kejayaan kami," katanya sambil memberi penghargaan kepadan semua jemputan, dermawan, ibu bapa dan orang perseorangan yang sudi berkampung untuk memeriahkan majlis itu.
Yang Di Pertua PIBG, Puan Norma Kudus berkata matlamat untuk melahirkan generasi pewaris yang berdaya saing bukan saja memerlukan guru yang berkomited.
Oleh itu, beliau berharap agar ibu bapa dan masyarakat dapat memainkan peranan dan kerjasama yang jitu untuk memastikan SK St Peter sentiasa gah dan kekal sebagai sekolah yang melahirkan ramai pelajar Cemerlang 5A di daerah Kudat.
Sebenarnya penambahbaikan ini memang amat bermakna bukan saja kepada anak-anak didik yang bersekolah di sini, tapi juga telah jelas mencerminkan usaha warga pendidik yang tidak sekadar melakukan sesuatu kerana tanggungjawab semata.
"Saya amat pasti bahawa perancangan semua perancangan yang dibuat demi para pelajar, adalah juga disulami dengan kasih sayang mereka.Buktinya tidak hanya dapat dilihat pada majlis anugerah. Jika kita lihat sejarah keputusan peperiksaan UPSR sekolah ini yang menunjukkan peningkatan, dapat kita pastikan takat usaha warga pendidik khasnya kepada anak-anak kita.
Sementara itu, Datu Akdan Datu Basran yang mewakili Pegawai Pelajaran Daerah Kudat menasihatkan para pelajar supaya memastikan usaha mereka mencapai kejayaan cemerlang tidak bernoktabh.
"Tanggungjawab anda bertambah untuk memastikan kecemerlangan sentiasa menjadi indikasi diri untuk menjadi individu berminda kelas satu dan didoakan agar semuanya mampu meningkat selepas ini.
"Apa yang menjadi harapan adalah kelangsungan semua isi sekolah untuk menjayakan misi dan visi pendidikan.
Majlis seumpama itu adalah contoh kejayaan kita sebagai pendidik yang mesti dilengkapkan dengan kerjasama. Beliau meminta golongan pendidik supaya menjalankan tugas dalam suasana hormat menghormati, ceria, mesra tutur kata serta tidak melupakan etika-etika sebagai seorang pegawai profesional.
Untuk para ibu bapa, penglibatan anda dalam pendidikan anak-anak adalah amt di alu-alukan. "Sokongan dan keprihatinan anda pasti dapat merubah banyak perkara yang membawa kebaikan.
"Semoga sikap cemerlang anda sebagai ibu bapa akan menjadi contoh dan penggerak pada kemajuan anak-anak anda khususnya," katanya ketika merasmikan majlis yang gilang gemilang itu.
Sementara itu, Majlis Anugerah Kecemerlangan 2009 pastilah memberi kenangan manis kepada Adik Jedd Howell Bidin yang menerima anugerah Tokoh Pelajar dan Tokoh Kurikulum SK St Peter.
Jedd yang dilahirkan pada 12 Mei 1997 di Hospital Daerah Kudat merupakan anak kepada Bidin Kinzin dan Puan Rosmi Gata merupakan seorang pelajar yang cemerlang dan sentiasa mendominasi kedudukan nombor 1 setiap kali peperiksaan dari Tahun 1 hingga Tahun 6.
Kecemerlangan dalam akademik diserlahkan lagi dengan menerima hadiah pencapaian terbaik dalam beberapa mata pelajaran seperti bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Sains. Dalam bidang kokurikulum pula, pelajar ini seorang yang sangat aktif dan banyak terlibat dalam pelbagai pertandingan.
Antara penglibatannya dalam kokurikulum ialah wakil Dojo Karate Kudat ke Kejohanan Karate bawah 12 tahun, tahun 2007 peringkat Negeri sabah, mewakili sekolah ke Pertandingan Hoki bawah 12 tahun pada tahun 2008, pertandingan catur sehinggalah ke peringkat bahagian pada tahun 2008 dan 2009, naib johan pertandingaan pidato Shell 2008 dan terlibat dalam English in Camp peringkat daerah Kudat.
Jedd yang mempunyai kepimpinan dan kewibawaan yang tinggi merupakan merupakan Ketua Pengawas Sekolah SK St Peter.
Bagi Anugerah Tokoh Kokurikulum 2009,Adik Dorothy George Mintu yang membuktikan keunggulannya apabila anak kelahiran 16 Mei ini terpilih mewakili Sabah dalam pertandingan bola jaring di peringkat kebangsaan pada tahun 2009.
Anak pasangan George Jackson dan Puan Julia Anak Robert Juan itu bercita-cita menjadi pramugari. Dorothy merupakan seorang yang sangat aktif dalam pelbagai aktiviti termasuklah bidang sukan. Antara aktiviti yang pernah disertainya ialah pertandingan menyanyi dan mendeklamasikan sajak, sukan olahraga dan sukan bola jaring dan sebagainya.
Dalam sukan olahraga, pelajar ini mewakili sekolah dalam acara balapan seperti 100 dan 200 meter sera acara lompat jauh manakalah pencapaian terbaiknya ialah mewakili zon dalam acara lompat jauh dalam MSSS peringkat daerah Kudat.

Pelajar ini menjadi penjaring terbanyak untuk tahun 2008 dan 2009 pertandingan bola jaring peringkat sekolah, membantu pasukan sekolah muncul juara dalam sukan bola jaring MSSS Daerah Kudat 2008 dan dipilih pemain terbaik dan seterusnya mewakili daerah Kudat dan Gabungan Kota Marudu ke Kejohanan MSSS Bola Jaring Peringkat Negeri Sabah.
Dorothy diberi kepercayaan untuk memegang jawatan Ketua Pasukan Bola jaring sekolah, daerah Kudat dan Bahagian Zon Utara kategori bawah 12 tahun.
Pada tahun ini, Pelajar ini juga menjadi pemain terbaik MSSS bola jaring Bahagian Zon Utara seterusnya membantu Kudat muncul johan dalam kejohanan itu, membatu Zon Utara muncul tempat ketiga dalam MSSS Bola Jaring Peringkat Negeri sabah dan terpilih mewakili negeri sabah ke Kejohanan MSSM Bola Jaring Peringkat Kebangsaan di Melaka.

Anugerah juga disampaikan kepada pelajar Cemerlang UPSR 2008 iaitu Anisthesiahyuni Durman, Nur Faezah Singgan, Precy Win dan Emrine Amre Misong. Sijil Penghargaan Khidmat Bakti, Sijil Penghargaan Kehadiran Penuh dan Anugerah Pencapaian Mata Pelajaran Terbaik turut disampaikan dalam majlis bersejarah yang diselangselikan dengan persembahan koir murid-murid tahun 6, Persembahan Bacaan Bijak Sifir, Persembahan kalam Jama'i, Wahidun Malezia, Persembahan Bercerita Bahasa Inggeris dan sebagainya.
Setiap kali pelajar SK St Peter Kudat naik ke pentas menerima sijil dan anugerah, kelihatan Guru Besar Puan Rose Shang On Yin tersenyum tanda bahagia melihat kejayaan anak-anak muridnya. Kejayaan yang dikongsi bersama oleh semua guru, pihak sekolah, ibu bapa dan pelajar itu sendiri untuk melakar kejayaan pada masa depan.